Perjuangan Datin Adzliana Profesor Dato’ Sri Dr Hasan mengangkat martabat kaum wanita menerusi dunia keusahawanan sememangnya wajar mendapat penghargaan. Meskipun pembabitan Datin Adzliana dalam bidang pembangunan usahawan bukan untuk mengejar anugerah mahupun pengiktirafan namun kerja keras yang dicurahkan selama ini kian menarik perhatian kementerian, agensi swasta dan korporat.
Mesra disapa Datin Nana, wanita berkaliber dan penuh dedikasi ini enggan menjadikan status keluarga yang mempunyai empayar niaga sendiri sebagai tiket mudah untuk hidup bersenang-lenang.
Sebaliknya, dia dididik mempelajari selok-belok ilmu perniagaan bermula dari bawah dan pernah menjadi pekerja di syarikat bapanya selepas tamat pengajian pada tahun 2006. Waktu itu, dia ditugaskan sebagai kerani untuk mendalami bidang pengurusan perniagaan di peringkat bawahan.
Tidak hanya memiliki perniagaan fesyen dan kecantikan malah dia juga peneraju USANITA Sdn Bhd iaitu syarikat pemudahcara di antara usahawan dan pihak kerajaan atau badan-badan berkaitan keusahawanan.
Sebelum menjadi Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datin Nana membuka butik pengantin dan salun kecantikan pada tahun 2008 serta mengeluarkan produk kolagen jenama Amber kira-kira sembilan tahun kemudian.
“Melalui platform USANITA, kami membina satu penjenamaan dengan mengajak lebih ramai wanita di luar sana sama ada yang sudah bekerja, suri rumah atau pelajar menjadi Perintis USANITA dalam menjana pendapatan seterusnya bergelar usahawan.
Fokus USANITA tertumpu kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) B40 dan M40 yang tiada ilmu serta pendedahan tentang perniagaan. Justeru, kami jadi pemudahcara menyampaikan aspirasi pihak kerajaan dan badan-badan korporat untuk usahawan IKS ini.”
Sehingga kini, USANITA berjaya melahirkan 1,000 komuniti usahawan di bawah kendaliannya yang digelar sebagai Perintis.
“USANITA sentiasa ada program give back to community. Kami juga jalin kolaborasi bersama usahawan selebriti iaitu Dato’ Rosyam Nor yang menjadi rakan strategik USANITA dalam membantu usahawan luar bandar. Dengan penglibatan usahawan selebriti ini dapat melonjakkan penjenamaan mereka kembali.
Kali ini kami mengetengahkan usahawan selebriti dan sejurus penyertaan dibuka, USANITA terima seramai 1,000 penyertaan. Menariknya, Perintis USANITA dapat menggunakan penjenamaan Dato’ Rosyam Nor sebagai duta produk mereka secara percuma selama setahun.
Bukan saja dapat duta, mereka juga ada platform marketing dengan muncul dalam rancangan Street Smart Rosyam X USANITA.
Dalam rancangan ini, saya dan Dato’ Rosyam akan turun ke tempat usahawan ini berniaga tidak kira di rumah mahupun kilang untuk melihat sendiri bagaimana golongan IKS berkenaan memulakan bisnes dan mengembangkan perniagaan,” tutur graduan Ijazah Perniagaan Antarabangsa dari Multimedia University ini.
Oktober lalu, USANITA melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AirAsia Academy diterajui Presiden (Ventures) Capital A yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Academy, Aireen Omar.
Kata Datin Nana, program berkenaan menjurus kepada pemerkasaan pendigitalan usahawan wanita khususnya B40 dan M40.
Lebih membanggakan, sumbangan Datin Nana mendapat perakuan KPWKM apabila dia dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara selama dua tahun mulai 12 Ogos 2022 hingga 11 Ogos 2024.
Meniti cabaran perniagaan menjelang 2023, Datin Nana sudah pun membuat persiapan dengan strategi pemasaran yang rapi agar empayar niaga miliknya kekal relevan di pasaran.
Antara perancangan yang disusun atur termasuklah mengembangkan bisnes fesyen Amber Kuala Lumpur dengan kolaborasi bersama pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya.
“Tak lama lagi mereka akan bersama di Amber. Ini sesuatu yang menarik untuk tahun 2023 dan mereka adalah orang yang tepat untuk memberi khidmat nasihat mengenai ketrampilan dan fesyen.
Untuk tahun depan, saya mahu mengembangkan bisnes dalam industri fesyen yang turut melibatkan kosmetik dan kecantikan tetapi ia dikeluarkan secara seasonal atau limited edition.”