Satu ketika dulu, berlumba-lumba orang nak buka pra sekolah dan taska sendiri. Perkhidmatan seperti ini memang tidak ‘basi’ kerana setiap hari, pasti ada kelahiran bayi dan ibu bapa memerlukan tempat untuk menghantar anak-anak. Tertubuhnya jenama Al Kauthar Eduqids bukanlah semata-mata untuk bersaing tetapi menawarkan pilihan lebih baik.
Pasangan suami isteri, Nor Fadilah Alias dan Bakhtiar Aliff Ibrahim yang datang dari latar belakang kerjaya berbeza membuka lembaran baru buat anak-anak seawal usia satu hingga enam tahun. Al Kauthar Eduqids, sebuah pra sekolah dan taska berkonsep Islamik kini sedang meningkat naik, menandingi jenama pra sekolah Islamik lain yang sudah bertapak lama di dalam industri.
Bertemu pasangan ini ketika sesi fotografi, Fadilah membuka bicara. “Al Kauthar Eduqids berhasil selepas saya melalui pengalaman mengajar selama tujuh tahun di tadika kerajaan dan swasta. Ilmu dan maklumat yang saya terima di salah sebuah tadika terkenal membuatkan saya teruja untuk membuka tadika sendiri.
Cabaran ketika bekerja dahulu yang membuatkan saya lebih teliti untuk menjalankan operasi Al Kauthar. Kebolehan menaikkan semula nama tadika swasta yang hampir bankrap menyedarkan saya tentang kebolehan sendiri. Kepada suami, saya sampaikan hasrat untuk memiliki pra sekolah sendiri. Walaupun pada awalnya suami kurang yakin dengan impian saya namun selepas saya membuktikan kemampuan, dia menerima dengan hati terbuka.
Di Al Kauthar Eduqids, kami memberi ilmu dan kemahiran dalam kehidupan. Mereka tidak hanya disogokkan dengan ilmu membaca seawal usia paling muda sehingga perlu merasai tekanan dalam pelajaran. Pada usia satu hingga enam tahun, mereka lebih cenderung untuk bermain jadi ilmu pembelajaran diserapkan dalam persekitaran yang lebih menyeronokkan. Konsep ini yang mendorong saya untuk membuka cawangan Al Kauthar Eduqids,”ujarnya.
BUKAN FRANCAIS
Tambah Bakhtiar, Al Kauthar Eduqids mula melebarkan sayap dengan pembukaan lebih banyak cawangan bukan secara francais tetapi pemberian lesen. Sehingga kini mereka sudah mempunyai 40 cawangan di seluruh Malaysia.
“Harga lesen yang perlu dibayar setiap bulan sangat rendah berbanding tadika lain berkonsep francais. Harga bayaran royalti setiap bulan kedengaran tidak masuk akal tetapi kami mahu semua yang terlibat di dalam perniagaan ini mendapat pulangan masing-masing. Setiap pendapatan yang diperolehi tidak sedikit pun kami ambil tetapi kami menggalakkan pemilik untuk memberi penghargaan kepada guru-guru.
Kami sangat menekankan pemilik untuk memberikan persekitaran yang baik dan kondusif untuk guru-guru. Di Al Kauthar, guru tadika tidak selamanya menjadi guru tadika. Ada target yang mereka perlu capai dan dari situ mereka boleh dinaikkan pangkat menjadi penyelia, pengurus atau mereka juga berpeluang untuk membuka taska sendiri bersama Al Kauthar,”katanya.
MODUL BERBEZA
Memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, Fadilah sendiri mengambil tanggungjawab melatih guru-guru di Al Kauthar Eduqids kerana dia mahu hasil daripada pengajaran yang disampaikan kepada anak-anak seiring dengan matlamatnya.
“Saya lebih selesa mengendalikan urusan operasi AKE kerana daripada ilmu serta pengalaman terdahulu, saya perlu fokus untuk menjadikan jenama AKE dikenali dan dipercayai. Suami pula lebih kepada pengurusan. Selain kerjaya sebagai juruterbang, dia juga mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan. Kombinasi latar belakang inilah yang menguatkan kami dalam bidang ini.
Saya tak mahu orang yang membuka perniagaan pendidikan hanya bersandarkan kepada keuntungan dan duit semata-mata tanpa ada guide atau ilmu. Mereka perlu tahu apa yang penting untuk anak-anak. Malah ibu bapa sendiri tidak tahu apa yang mereka perlu utamakan sekiranya ingin mencari taska atau tadika. Pendidikan awal kanak-kanak ini sangat penting kerana di Shah Alam sendiri kebanyakkan sekolah adalah sekolah kluster. Hanya pelajar terpilih yang boleh dapat berada di sekolah jenis kluster jadi ibu bapa perlu cakna soal pendidikan anak sedari kecil lagi.
Jadi saya di AKE cuba mengubah paradigma ibu bapa yang mempunyai mindset, ‘anak-anak perlu pandai membaca sejak umur empat tahun’ sedangkan pada usia begitu mereka masih seronok bermain. Untuk meletakkan pembelajaran dalam diri mereka ada caranya, tetapi bukan dalam bentuk keterpaksaan. Ada modul milestone yang ibu bapa perlu tahu.
Malah AKE juga menawarkan pendidikan khas untuk anak-anak autism. Yuran kami kenakan sangat berpatutan kerana kami tahu ramai ibu bapa berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah istimewa atau kelas khusus untuk anak autism.
Di AKE, semua orang berhak mendapat pendidikan terbaik. Niat kami untuk membantu, langsung tidak terfikir untuk ‘bunuh’ perniagaan orang lain.”Ujarnya.