Raja Muda Selangor yang berjiwa rakyat! Itulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan keperibadian DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah. Mana tidaknya, baru-baru ini, Baginda berjaya menamatkan misi pendakian dan menakluk puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania.
Melalui perkongsian di laman Instagram @selangorroyalofficial, ekspedisi yang dicetuskan sendiri oleh DYTM Tengku Amir Shah ini bertujuan untuk mengumpul dana menubuhkan sebuah pusat penjagaan bagi kanak-kanak-kanak yang berhadapan masalah pendengaran dan bantuan pertuturan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.
Pendakian Baginda ke puncak Gunung Kilimanjaro setinggi 5,895 meter ini, diiringi oleh sepupu Baginda, YDM Engku Panglima Setia Diraja Dato’ Syed Haizam Jamalullail; kekanda ipar Baginda, YBhg. Dato’ Setia Aubry Rahim Mennesson; Orang Besar Istana, YM Tengku Ezrique Ezzuddean dan rakan Baginda, Keong Yeen Keoh.
Pada tahun 2012, ekspedisi hampir serupa pendakian ke Gunung Kinabalu, Sabah turut disertai DYTM Tengku Amir bersama 23 kanak-kanak OKU dari Cheshire Home. Untuk rekod, Tengku Amir Shah merupakan Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY).
Kepada yang ingin membantu menyumbang kepada misi dana ini boleh berbuat demikian di https://www.simplygiving.com/speech-and-hearing-aid-centre-yprtu.
This website uses cookies.