Sebut sahaja Dayang Nurfaizah pasti ramai yang mengenali pesona penyanyi bersuara lunak ini. Berada dalam kelas tersendiri dan eksklusif, Dayang antara selebriti tanah air berbakat besar namun bebas daripada sebarang kontroversi. Berpeluang mendekati anak seni kelahiran Sarawak ini, baru penulis faham mengapa Dayang mampu bertapak kukuh dalam industri muzik negara dan diminati ramai hingga sekarang. Malah, persahabatan yang terjalin di antara Dayang dan pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim sejak bertahun-tahun lamanya tersimpul erat sampai hari ini.
Berjaya menggegarkan pentas Istana Budaya menerusi Kesuma Jiwa malam tadi, Datuk Rizalman secara terbuka mendedahkan sisi sebenar pelantun lagu Dayang Sayang Kamu ini kepada peminat. Tak sangka, dengan kejayaan dan vokal mantap yang dimiliki… Dayang masih berpegang kepada resam padi, ‘Makin berisi makin tunduk’.
Kongsi Datuk Rizalman di Instagram miliknya, “Saya nak pecahkan satu rahsia kat sini. Walaupun kos produksi Kesuma Jiwa sudah mencecah jutaan ringgit untuk hanya persembahan satu malam sahaja namun, ianya tidak termasuk bayaran nyanyian kepada artis utama kita pada malam itu Dayang yang tidak mengenakan bayaran satu sen pun tidak berkira untuk sama-sama berhempas pulas tanpa rasa mengeluh dan menyesal untuk menyumbangkan suara beliau demi sebuah silaturrahim.
Beliau berkata, tiada nilai wang ringgit yang dapat menggantikan persahabatan kami berdua. Kerana beliau tidak mahu memperdagangkan anugerah Allah itu atas sesuatu yang tidak terungkap keagungan manfaatnya ke atas orang lain.
Bagi membalas budi beliau dek kerana cabaran yang saya berikan untuk beliau menyampaikan lagu-lagu dalam bentuk irama asli yg bukannya sesuatu di dalam zon selesanya. Saya hadiahkan sebuah pentas untuk sekalian jiwa melihat bakat dan keupayaan beliau di dalam bidang nyanyian supaya insyaAllah dunia akan menjadi saksi dan senantiasa Dayang menjadi KESUMA kita semua.”
Ketika diminta mengulas tentang penganjuran Kesuma Jiwa, ini reaksi jujur Dayang. “Saya rasa bertanggungjawab untuk buat yang terbaik. Lagu-lagu yang saya nyanyi pun lain daripada lagu yang saya biasa nyanyi. Memang sebelum ini saya pernah simpan niat yang one day saya nak nyanyi lagu macam ni… selalu imagine dan teringin sangat.
Alhamdulillah diberi peluang ini dan saya nak make sure beri the best untuk hari tu. Dayang taknaklah hampakan team. Tipulah tak nervous tambahan pula lagu klasik ini dibuat dengan arrangement baru. Selain teringin nak nyanyi lagu-lagu klasik ini, sebab utama saya terima pelawaan ini kerana saya nak ambil peluang terlibat dalam ‘konsert’ yang menggabungkan fesyen dan muzik.
Saya rasa rugi kalau tak terlibat sebab bukan senang dapat. Rasa nervous dan teruja tu memang lain macam. Lagi-lagi Datuk sendiri yang ajak untuk celebrate penglibatannya
selama 20 tahun dalam bidang fesyen. Saya sifatkan ia satu penghargaan bukan saja buat Datuk tetapi bagi saya juga,” ujar Dayang yang mengakui agak mencabar membawakan
lenggok lagu-lagu klasik.