Berjiwa Rakyat, TENGKU PERMAISURI SELANGOR Prihatin Beri Sumbangan Kepada Asnaf & Fakir Miskin!

Meniti zaman serba mencabar dengan keadaan ekonomi tidak menentu lebih-lebih lagi ketika situasi pandemik Covid-19 hari ini, tidak dinafikan ramai rakyat yang terpaksa mencatu makanan dek kekurangan sumber kewangan selain ada yang diberhentikan kerja.

3 Ogos lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan prihatin kepada asnaf dan fakir miskin. Memetik kenyataan di laman Facebook Selangor Royal Office, sumbangan berkenaan dibuat menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) Negeri Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Pada majlis penyerahan serba ringkas yang diadakan dalam pematuhan SOP itu, Tengku Permaisuri Norashikin anggun mengenakan persalinan kurung rona merah jambu dan berselendang polos berwarna putih serta memakai pelitup muka.

Difahamkan, sumbangan berupa bekalan makanan segar dan beras tersebut disalurkan kepada 120 keluarga asnaf dan fakir miskin di sekitar daerah Petaling dan Klang.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Haji Saifulyazan M. Yusop dan Pengarah FAMA Negeri Selangor, Aida Abdul Rashid.

Mendekati peribadi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, tanggal 4 Jun lalu merupakan hari ulang tahun kelahiran baginda yang ke-50. Menerusi perkongsian gambar di Selangor Royal Office, terpancar wajah jelita Tengku Permaisuri Norashikin yang membuatkan rakyat terpegun dengan peribadi dan keanggunan milik baginda.

Lima tahun bergelar Tengku Permaisuri Selangor, penampilan baginda ketika berada di khalayak sering mencuri perhatian. Malah, ramai wanita menjadikan Tengku Permaisuri Norashikin sebagai sumber inspirasi bukan hanya dari segi keperibadian bahkan penampilan dan gaya baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin sebelum ini merupakan bekas penyampai berita TV di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pernah memenangi Anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa.

 

 

Kredit foto: Facebook Selangor Royal Office

Share
Published by
Suzi