
Pekahwinan yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat pasangan hangat Bollywood, Deepika Padukone & Ranveer Singh akhirnya terjawab. Pasangan sama cantik sama padan ini melangsungkan perkahwinan Khamis lalu dalam majlis tertutup di Lake Como, Itali.
Kedua-dua pasangan kelihatan cukup anggun dengan mengenakan persalinan tradisional India yang menonjolkan budaya dan tradisi tempat kelahiran mereka. Nuansa rona merah hati, emas dan putih menjadi pilihan Deepika dan Ranveer untuk merealisasikan busana impia perkahwinan mereka.
Tiada kapsyen yang diletak hanya emoticon jantung mudah untuk merungkaikan perasaan pasangan merpati dua sejoli ini. Ternyata perkongsian gambar menjadi viral dan dihujani pelbagai komen dan ucapan tahniah dari peminat dan selebriti serata dunia.
Majlis penuh adat ini juga dihadiri oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja.
Mangsa TRAGEDI MH17 ‘Hadiahkan’ MASJID AL-GHAZALI Buat Penduduk Kuching, Sarawak!

MashaAllah, besarnya saham akhirat satu keluarga mangsa nahas tragedi MH17 ini. Mengimbas kembali insiden tragis yang berlaku hampir lima tahun lalu saat umat Islam sedang menjalani hari ke-19 berpuasa, Tambi Jiee dan isteri serta empat anak mereka telah pergi menghadap ilahi selepas pesawat yang dinaiki mereka ditembak jatuh di sempadan Ukraine-Rusia pada 17 Julai 2014.
Seakan mengulangi ‘sejarah’ sama tahun ini… tanggal 13 Mei lepas bersamaan 8 Ramadan, nama kesemua mereka kembali menjadi bualan apabila sebuah masjid indah di Kuching, Sarawak dikhabarkan siap dibina hasil wang pampasan keenam-enam keluarga berkenaan. Allahu, sesungguhnya niat waris keluarga Tambi Jiee dan isterinya, Ariza Ghazalee untuk menggunakan wang yang diterima ke arah kebaikan dimakbulkan.
Diberi nama Masjid Al-Ghazali yang terletak berdekatan kawasan perumahan di Petra Jaya, kos pembinaan masjid yang dihias dengan reka bentuk serba moden berunsurkan rona kelabu ini bernilai RM3.5 juta yang sebahagian besarnya adalah wang pampasan keenam-enam mangsa yang maut dalam tragedi menggemparkan dunia itu.
Menurut pengerusi masjid yang juga adik bongsu Ariza, Sumardi Ghazalee yang ditemubual Bernama… idea untuk membina masjid tercetus ketika ibu mereka meluahkan hasrat untuk melihat wang yang diterima disalurkan kepada perkara yang memberi manfaat kepada semua arwah.
“Kami memang sedih semasa menerima berita kematian semua Allahyarham tapi dengan adanya wang pampasan itu… kami sebagai keluarga mangsa berharap usaha ini dapat membantu mereka di alam sana. Jadi kami adik-beradik sepakat mendirikan masjid ini dan berharap agar ia dapat dimanfaatkan oleh penduduk sekitar di samping memberi pahala yang berterusan untuk arwah.”
Katanya lagi, sebahagian besar kos pembinaan masjid adalah wang pampasan mangsa. Manakala sebahagian lagi daripada orang awam yang berinfak dan sumbangan pihak Kerajaan Negeri Sarawak. Masjid Al-Ghazali dianggarkan mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah yang dilengkapi dengan ruang solat utama, ruang solat jemaah wanita, blok tandas, tempat wuduk, bilik pejabat, runag parkir, bilik pengurusan jenazah dan kediaman imam yang bakal dilantik kelak.
Pembukaan Masjid Al-Ghazali telah dibuka kepada umum pada 13 Mei lepas yang dimulakan dengan majlis berbuka puasa, disusuli solat Maghrib dan Isyak serta solat Tarawih berjemaah.
Selain Tambi yang juga jurutera petroleum dan isterinya Ariza, insiden turut mengorbankan semua anak mereka iaitu Muhammad Afif, 19 tahun, Muhammad Afzal, 17 tahun, Marsha Azmeena, 15 tahun dan Muhammad Afruz, 13 tahun. Ketika kejadian, Tambi sekeluarga yang berasal dari bandar raya ini dalam penerbangan pulang dari Astana melalui Amsterdam untuk menyambut Aidilfitri di tanah air.
Seterusnya berpindah tugas ke Kuala Lumpur selepas menamatkan perkhidmatannya selama tiga tahun di Shell Kazakhstan. Tragedi turut mengorbankan 292 penumpang dan anak kapal lain.
Sumber: Bernama, Berita Harian & Kosmo
Tak Mahu Lagi Lalai Hal Dunia, HALIMA ADEN Tutup Media Sosial Lepas Bersara Dunia Glamor!

Dilahirkan pada 19 September 1997, Halima Aden merupakan aktivis dan model terkemuka kelahiran Amerika-Somalia yang terkenal. Meskipun masih baru menceburi dunia peragaan dan fesyen, wanita cantik ini sudah pun meraih pelbagai pencapaian membanggakan. Secara tidak langsung, penglibatan Halima dalam bidang glamor ini membuka mata penduduk dunia mengenai kemampuan wanita Islam.
Halima dikenali peminat fesyen kerana penampilannya yang unik ketika menggayakan hijab, headwrap dan turban. Lebih-lebih lagi tatkala berjalan di pentas peragaan. Sering menghiasi muka depan majalah fesyen popular, pertunjukan fesyen berprestij dan kempen jenama mewah, Halima juga tidak terlepas menjadi buruan agensi model antarabangsa. Dia merupakan salah seorang ahli IMG Models yang membariskan model terkenal seperti Bella Hadid, Gigi Hadid, Gisele Bunchen, Miranda Kerr, Hailey Bieber, Karlie Kloss dan Kate Moss. Nama-nama hebat tu!




Gadis berketinggian 5 kaki 5 inci ini juga tanpa berselindung menjelaskan dia dikelilingi dengan wanita berhijab sejak dari kecil dan jatuh cinta dengan penampilan seumpama itu hingga membuatkan dia tertarik untuk turut sama mengenakan tudung. Halima juga menegaskan, memakai hijab adalah pilihannya sendiri dan bukan dibuat atas desakan sesiapa.
Namun, pada November 2020 Halima membuat keputusan mengejutkan apabila dia bertegas meninggalkan dunia glamor berkenaan. Halima berpendapat tindakannya selama ini seakan-akan menjatuhkan maruah wanita Muslim. Apatah lagi, sejak pembabitan awalnya dalam industri peragaan dan fesyen… ibu Halima tidak ‘berkenan’ dengan kerjaya itu kerana ia bertentangan dengan agama Islam.
Kongsi wanita berusia 23 tahun itu, “Dia (ibu) dengan jujur memberitahu, ‘Halima, ibu berusaha keras mengikuti suruhan Allah dan ibu sangat risau dengan akhirat kamu. Jadi fikirkan tentang penglibatan anak-anak gadis berhijab lain yang masuk dalam industri ini kerana pengaruh kamu… kamu juga bertanggungjawab ke atas mereka kelak. Lakukan perkara yang betul di sisi Allah.’ Itu adalah perkara terbaik yang ibu lakukan untuk diri saya!”


Ketika ditemubual BBC Somali suatu ketika dulu, Halima pernah ditanya sama ada dia merancang untuk menyertai bidang fesyen. Namun peragawati popular ini menjelaskan andai dia terlibat dalam industri berkenaan, ia sekadar suka-suka untuk mendapat wang.
Memetik laporan BBC, salah satu punca dia meninggalkan fesyen kerana kurangnya penata hijab wanita dalam industri di Amerika Syarikat dan ketidakfahaman mereka mengenai pentingnya berhijab bagi wanita beragama Islam. Tindakan Halima untuk ‘bersara’ mendapat sokongan daripada adik-beradik Bella dan Gigi Hadid yang juga beragama Islam serta selebriti Rihanna.
Halima turut menjelaskan dia telah beberapa kali membelakangkan agama demi kerjaya termasuk meninggalkan waktu solat dan bersetuju melakukan peragaan menggunakan barang atau kain tertentu untuk menutup kepalanya dan bukan berhijab seperti yang dituntut Islam. Malah, setiap kali selesai menjalani penggambaran seperti itu dia rasa sangat sedih dan tidak selesa kerana ia bukanlah dirinya yang sebenar.
Bahkan menerusi Instagram, Halima sering menekankan kepentingannya memakai hijab kepada peminat. “My hijab is not going anywhere. Not today, not tomorrow not ever. The road has been long and very painful at times but also so incredibly rewarding. I’m not asking you to stop the criticism or double standards. I’m just asking you to see me as a human being. It’s easy to pass judgement when you’ve never walked a mile in someone’s shoe.”
Tidak lama selepas mengumumkan persaraan tersebut, akaun Instagram Halima Aden ‘lenyap’ daripada carian. Difahamkan, bekas model muslimah ini mengambil keputusan untuk tidak lagi berada dalam spotlight dunia glamor dan menutup akaun media sosial miliknya.
“I am doing so much better. I don’t think I am gonna ever come back on Instagram. I am just gonna take a really long break. Focus on family, focus on me but inshaAllah everything is good and everything will be good in the end. And happy new year!”
Mengimbas kembali perjalanan karier Halima, auranya mula bersinar sejak dia menyertai pertandingan ratu cantik Miss Minnesota pada tahun 2016. Waktu itu, Halima merupakan satu-satunya peserta yang mengenakan hijab dan layak ke peringkat semi final. Kongsi Halima, dia sudah mula mengenakan kerudung kepala sejak kecil dan meminta tudung sendiri daripada ibunya ketika baru berumur lapan tahun.
Lebih membanggakan, Halima ialah wanita hijab pertama yang menghiasi muka depan majalah British Vogue sekaligus membuktikan kepada dunia bahawa wanita berhijab sepertinya masih punya tempat dalam peragaan fesyen mewah! Tiga tahun kemudian, Halima sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita Muslim pertama memperagakan burkini untuk Sports Illustrated Swimsuit.
Anggun Berkebaya Songket, Tengku Permaisuri Norashikin Titah Pulihkan Kembali Seni Sulaman Kelingkan

Penampilan anggun Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin seringkali menjadi tumpuan. Walau berbaju kurung mahupun kasual tetap terserlah kecantikan aslinya.
Penulis turut tertarik dengan penampilan Tengku Permaisuri Norashikin ketika baginda menghadiri majlis pelancaran tujuh buku terbitan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Berkebaya songket rona biru lembut fabrik songket menyerlahkan keayuan baginda.
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norasikin bertitah agar usaha bagi memulih kembali warisan dan tekstil seni sulaman kelingkan diadakan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Bagi tujuan tersebut, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah supaya Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dapat merancang agenda untuk merakyatkan budaya dan warisan tersebut yang dahulunya pernah popular di Selangor.
“Seni sulaman kelingkan yang dahulunya tidak asing lagi dalam kalangan kerabat diraja Selangor setelah diperkenalkan oleh Tengku Ampuan Jemaah dan legasi tersebut diteruskan pula oleh Tengku Amouan Rahimah, kini ia semakin jarang kelihatan,” titah baginda di majlis pelancaran tujuh buku terbitan PADAT.
Tujuh buku tersebut adalah Sulaman Kelingkan Melayu karya Mohd Subil Musa, tiga buku ditulis Intan Salina Idrus iaitu Kesenian Telepuk Warisan Melayu Selangor, Penyelidikan Terkini Nisan Acheh di Selangor serta Warisan Telepuk Alam Melayu, Kebaya Selangor oleh Rohayu Mohd Yunus, Permainan Wau Kapal oleh Mohd Subil Musa serta Tarian Piring Selangor oleh Allahyarham Mohd Lotfi Nazar.
Titah baginda penulisan tersebut merupakan satu dokumentasi penting yang dapat dijadikan sebagai sumber rujukan oleh generasi akan datang terutamanya mengenai seni warisan tekstil yang semakin dilupakan seperti sulaman kelingkan dan kain telepuk yang kini semakin sukar untuk diperoleh kerana tiadanya pengusaha yang mahir untuk menghasilkannya.
“Besar harapan saya agar kerjasama dapat dilakukan bersama agensi yang berkaitan agar koleksi buku ini bukan hanya ditempatkan di perpustakaan dalam negara, malahan dapat dipromosikan kepada perpustakaan di luar negara,” titah baginda.
Sumber: Bernama
Kredit Foto: Instagram Selangor Royal Official