Kekecewaan adalah titik permulaan kejayaan. Inilah yang dipegang Rohani Shamsudin agar terus melangkah dan meneruskan perjalanan. Berusia 47 tahun, wanita ini merupakan seorang pengusaha kantin sekolah agama dan hanya mempunyai pendidikan setakat SPM.
“Saya pernah bekerja sebagai kerani di syarikat swasta sebelum menceburi bidang perniagaan. Disamping itu, pernah juga mengambil tempahan biskut raya dan kuih-muih.
Dulu saya pernah menceburi bidang perniagaan MLM, tapi tidak berjaya kerana kurang pengalaman. Malah pernah memiliki dua perniagaan kantin sekolah dan kedai makan. Namun sekarang hanya tinggal 1 perniagaan di kantin sekolah agama sahaja. Selain itu saya ambil tempahan katering kecil- kecilan serta membuat sendiri produk kuah kacang frozen.
Dua perniagaan lagi terpaksa ditutup kerana saya tidak dapat menampung kos perbelanjaan akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Banyak sebenarnya peristiwa yang menyentuh hati saya sepanjang berniaga. Ia bermula sejak semua kantin sekolah terpaksa ditutup akibat pandemik. Ketika itu, saya hilang punca pendapatan dan suami juga tidak bekerja kerana dia juga membantu saya mengurus kantin.
Terdetik dalam hati saya, perasaan buntu dan gelisah kerana memikirkan masalah kewangan, keperluan makanan yang semakin hari semakin susut di samping perlu menanggung 3 orang anak. Bermodalkan wang simpanan, saya ikhtiar membuka restoran namun malangnya tidak bertahan lama.
Orang kata belum ada rezeki. Kami terpaksa menutup restoran itu dan menanggung sisa hutang yang tidak terlunas. Saya mula kecewa namun hati cekal demi anak-anak. Saya ambil tempahan yang dimasak dari rumah dan menjalankan perkhidmatan makanan.
Saya akui, banyak risiko yang diambil terutamanya dari aspek kebersihan. Namun demi bertahan untuk kehidupan anak-anak dan jangka masa panjang, saya beranikan diri untuk menerima tempahan makanan tengah hari. Alhamdulillah dari semasa ke semasa, Perintah Kawalan Pergerakan mula dilonggarkan,” ujar Rohani yang berasal dari Klang, Selangor.
Meneruskan kisah jatuh bangun berniaga, “Bermula akhir tahun 2021, kantin sekolah mula beroperasi seperti biasa tetapi pendapatan tidaklah sebanyak sebelum pandemik berlaku. Alhamdulillah, Tuhan menambahkan rezeki saya di mana saya dan rakan saya berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.
Beliau meminta saya untuk menyiapkan makanan untuk juadah berbuka puasa iaitu set nasi untuk pek famili dan juga single set nasi untuk rumah tahfiz dan anak yatim. Sehari tempahannya hampir mencecah 20+ pek famili dan 40+ utk single set.
Walaupun sekarang ini saya masih belum berjaya sepenuhnya tetapi saya bersyukur dengan rezeki Tuhan yang tidak pernah putus.”Segala pengalaman jatuh bangun dalam bidang perniagaan menjadi kepahitan dan kemanisan dalam hidup. “Seandainya kita ditimpa ujian sentiasalah yakin dengan kuasa Tuhan kerana orang yang sabar tidak pernah rugi dan rezeki sentiasa ada untuk mereka yang rajin berusaha.
Saya bersyukur sehingga sekarang, perniagaan saya ini dapat memuaskan hati setiap pelanggan dan mereka memberi komen membina untuk saya terus berikan yang terbaik. Doa saya, semoga dapat terus menyediakan makanan infak buat mereka yang memerlukan,” jelas Rohani.
This website uses cookies.