Kagum melihat semangat dalam diri aktres dan ahli perniagaan kelahiran Palembang, Indonesia berusia 26 tahun ini. Selain aktif di media sosial, Tya Arifin atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandri juga ligat memajukan perniagaan Mutyara bersama suaminya, Asyraf Khalid sejak tiga tahun lepas.
Sambil mengusahakan perniagaan sendiri, Tya yang dilantik sebagai Ikon Selebriti Penyusuan Susu Ibu 2019 dari Hospital Wanita & Kanak-Kanak Kuala Lumpur itu juga mempunyai dua cahaya mata iaitu Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa yang masih memerlukan perhatian khusus.
Namun berkat kesabaran dan semangat untuk menaik taraf ekonomi keluarga, Tya berjaya membuktikan kemampuan diri sebagai isteri, ibu dan wanita berkerjaya. Malah beberapa hari lepas dalam majlis berprestij Nona Superwoman Award 2020, beliau turut diiktiraf sebagai penyandang Nona Most Promising Entrepreneur Award.
Bercerita tentang perkembangan terkini, Tya dengan penuh kesyukuran menyatakan bahawa syarikatnya telah mendapat penilaian empat bintang daripada SME Corp.
“Tahun ini juga kami melancarkan produk Mutyara dalam bentuk sachet selepas mendapat banyak permintaan dan lebih mudah dibawa ke mana-mana. Saya juga masih memfokuskan misi untuk membantu golongan wanita membangun ekonomi dan mendapatkan income tambahan menerusi e-modul, sokongan serta tunjuk ajar yang berterusan,” ujarnya.
Tya juga mampu tersenyum bangga apabila titik peluh mereka menampakkan hasil dengan pelancaran Wisma Mutyara. Bercerita tentang ibu pejabat Mutyara yang terletak di Puchong itu, “Alhamdulillah pada hujung Julai lalu, impian kami untuk memiliki wisma sendiri termakbul.
Sebelum ini pejabat Mutyara di Cyberjaya hanya satu tingkat, jadi apabila syarikat semakin membesar bermakna ruang juga perlu lebih luas dengan team Mutyara yang semakin ramai.”
Ads
Tambahnya, tidak wujud soal cepat atau lambat dalam merealisasikan impian sebagai usahawan. “Saya percaya ini sudah tersusun cantik dengan izin-Nya. Ia datang pada waktu yang tepat dan sekaligus membuatkan kami semua tambah bersemangat untuk memajukan perniagaan sambil membantu lebih ramai orang di luar sana.
Suatu hari nanti, saya rancang nak buka cawangan kecil di setiap negeri. Secara tidak langsung, usahawan Mutyara pun senang mendapatkan produk di negeri masing-masing. Pasaran Mutyara pun kini bukan saja di Malaysia, bahkan di Indonesia, Singapura dan Australia. Kami juga berusaha menembusi pasaran negara-negara yang lebih besar seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat dan China,” kongsi Tya penuh optimis.
KELUARGA
Kelincahan Tya Arifin berniaga sambil menguruskan si kecil jelas mengagumkan sesiapa saja. Ke mana pun dia pergi, anak-anak seboleh mungkin dibawa kerana Azzahra masih menyusu badan. “Niat saya dan suami membina empayar perniagaan selain mahu mengubah kehidupan sendiri juga bertunjangkan paksi membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan.
Ads
Tak ketinggalan mengajak orang lain menjana pendapatan bersama-sama. Begitu juga menjaga kebajikan staf tersayang. Kita imbangi hal dunia dan syurgawi dalam satu masa.”
Ditanya tentang bagaimana Tya memberi self-reward kepada diri sendiri, ini jawapannya. “Pergi shopping atau bercuti? Umm bagi Tya, sebenarnya pergi bercuti. Bila pergi ke tempat baru, kita akan rasa lebih refresh dan dapat idea baru. Itu lebih seronok, tapi kalau suami bagi kita shopping pun bagus juga (ketawa)!” selorohnya sambil melayan karenah anak-anak yang memanggil ibu mereka. Manja sekali!
Sebagai menantu kepada ahli perniagaan berjaya Dato’ Sri Khalid Mohd Jiwa dan penyanyi No. 1 Malaysia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, mungkinkah kejayaan Tya Arifin hari ini berkait dengan pertolongan ibu bapa mereka?
Ads
“Sepatutnya saya bersyukur kerana dikelilingi Mak Iti, Ayah, Mama dan Uncle Jo yang selalu beri sokongan moral kepada anak-anak dalam apa pun yang kami lakukan sebagai ibu bapa. Akan tetapi, untuk memulakan perniagaan Mutyara, ia adalah kerja keras kami suami isteri dan tidak ada bantuan dari mana-mana pihak.
Sebenarnya siapa pun, tak kiralah berasal dari keluarga berada atau sederhana, dia boleh berjaya kerana kuncinya adalah diri sendiri. Misalnya saya membina Mutyara daripada zero. Saya dan Asyraf kumpul modal sama-sama dan pegang prinsip tidak mahu menyusahkan orang tua. Mereka sejak kita kecil dah berkorban macam-macam, takkanlah sampai dewasa pun kita masih nak susahkan lagi. Kami berdua percaya satu sama lain, walaupun melalui fasa-fasa sulit tapi berkat usaha bersama, alhamdulilah Mutyara semakin maju di tahap sekarang. Bagi saya, suami adalah kekuatan saya!”
Bagi Tya, ibu-ibu mertuanya adalah sosok luar biasa. Banyak yang dapat dipelajari daripada karakter Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan YM Tengku Datin Sri Zawyah, umpamanya cara menjadi seorang ibu serta isteri yang baik. “Saya ada tiga orang ibu (termasuk ibu sendiri) yang menjadi role model saya. Daripada mereka, saya belajar tentang erti kesabaran, kelembutan dan keikhlasan tanpa rasa iri hati.
Sifat Mama contohnya, beliau selalu ada untuk anak-anak dan tak pernah bercakap ‘tidak’ demi kejayaan kami semua, tahu apa kesukaan setiap anak dan always over-deliver untuk gembirakan orang tersayang. Manakala Mak Iti pula, saya belajar erti sabar, never give up dan sentiasa membalas perkara buruk dengan kebaikan. Itulah pelajaran berharga yang saya dapat daripada ibu-ibu saya.”
Menjadikan Pengasas Ali Baba iaitu Jack Ma sebagai inspirasi perniagaan, Tya menanam satu semangat bahawa tiada satu impian pun yang mustahil. Selain itu Pengasas Herbalife iaitu Mark Hughes dan Pengasas Apple iaitu Steve Jobs juga menjadi rujukannya kerana walaupun selepas kematian mereka, jenama tersebut mampu bertahan dan masih terkenal di seluruh negara hingga ke hari ini. Itulah pembakar inspirasi Tya Arifin, semoga Mutyara yang diusahakan juga mampu berkembang sekukuh itu!
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Azniza Aziz
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan: Ayang Kamell
Lokasi: Terima kasih Yamin, My One Living, No. 45 Jalan Snuker 13/28, Shah Alam
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jangan biarkan apa yang berlaku semalam menghantui hidup anda hari ini. Setiap pengalaman itu adalah proses kematangan agar menjadi lebih optimis dengan liku-liku kehidupan.
Bagi Nurfarahshazreen binti Mohamad Mustaffa, 31 tahun, redha dengan perjalanan yang dilaluinya. Beliau terus bangkit dengan memulakan langkah kaki kanan. Buat dengan penuh keyakinan. Ceburi bidang niaga, tidak ada teknik betul atau salah. Cuma ada untung dan rugi. Buat dulu baru tahu…
“Saya merupakan stokis produk Dmagia selama setahun. Sebelum ini saya merupakan salah seorang pramugari Airasia yang terkesan akibat COVID-19. Pengalaman sebagai anak kapal selama 7 tahun banyak mengajar saya untuk berdepan dengan ragam dan karenah orang.
Selepas pandemik melanda, saya dibuang kerja dan hilang punca pendapatan. Seketika itu saya terasa hilang arah tetapi tidak terlalu lama membuai emosi kecewa. Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi, buka mata untuk lihat masa hadapan yang lebih luas. Melihat ke belakang hanya menyempitkan usaha dan menyakitkan kepala.
Alhamdulillah saya percaya pada rezeki Allah SWT itu luas, saya diberi peluang oleh kawan baik sendiri yang merupakan produk founder Zulin Aziz untuk menjadi salah seorang stokis produk. Saya bermula dari bawah, belajar dan belajar untuk berjaya menjadi seperti Superwoman perniagaan lain yang saya kagumi,” ujar Nurfarahshazreen dengan penuh semangat.
“Pengalaman yang paling sukar dilupakan adalah pada ketika saya ambil keputusan untuk buat bisnes. Masa tu saya seorang saja yang tiada pengalaman berbanding orang lain yang bertahun-tahum dalam dunia bisnes.
Rasa malu timbul sebab tidak tahu mana nak start dulu. Tapi saya segan nak bertanya dan belajar. Alhamdulillah kini dah nak masuk setahun saya buat bisnes dan dalam masa setahun saya berjaya pecah rekod buat sales sejuta pertama.
Mungkin bagi orang yang hebat perkara ini tiada apa-apa, tetapi bagi seseorang yang tiada pengalaman bisnes, saya rasa syukur yang teramat sangat. Saya juga gembira bila dapat selesaikan hutang-hutang loan pada musim pandemik dengan duit keuntungan bisnes. Alhamdulillah.
Keadaan ini saya banyak belajar, kalau kita tak cuba kita tak akan tahu kemampuan kita. Tak usah bersaing atau berlawan dengan sesiapa. Jangan fikir tentang pesaing pun. Itu semua persepsi kita sahaja. Lebih baik fokus kepada usaha kita. Percaya pada diri dan doa kepada Allah untuk mempermudahkan perjalanan kita. InsyaAllah,” jelas Nurfarahshazreen sambil tersenyum.
Apakah cabaran sekarang sebagai seorang peniaga dalam keadaan COVID? Tentunya sebagai seorang peniaga yang mempunyai anak team, saya terkilan apabila tak dapat jumpa team bawah saya untuk beri training dan motivasi secara berdepan. Kepuasan itu kurang berbanding dengan hanya bekerja secara online sepanjang masa.
Saya sentiasa memberi kata semangat dan motivasi untuk team, jangan mudah berputus asa. Ingat balik macam mana susah payah kita nak mulakan sesuatu bisnes dulu. Usah sia-siakan pengorbanan dan penat lelah kita disebabkan sedikit masalah.
Percayalah setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Mintak pada Allah, DIA yang memberi rezeki. Yakin pada diri yang kita pasti boleh berjaya, jangan stop berusaha, mencari Ilmu dan berdoa pad Allah,” jelasNurfarahshazreen yang setiap hari akan ada jadual dalam diarinya dan setiap malam wajib tulis semua perkara yang perlu dibuat esok supaya dapat diselesaikan dengan teratur.
Harapan beliau pada masa hadapan, “Saya masih memberi ruang untuk diri saya belajar dalam dunia bisnes. Insyallah selepas saya mempunyai pengalaman dan team yang kuat saya memasang impian untuk membuat produk kecantikan jenama sendiri dan saya akan pastikan produk saya itu dapat membantu ramai orang di luar sana dengan membuka peluang pekerjaan. Insyaallah,” bicara Nurfarahshazreen yang sentiasa mendapat sokongan kuat dari suami tercinta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengarah Urusan Alhumaira Worldwide, Hani Elia Rousli berpendapat apa pun cabaran yang datang pelu ditempuh dengan sabar. Dalam usia 33 tahun Hani sudah mampu memiliki sebuah kehidupan yang sempurna termasuk kerjaya yang stabil sebagai usahawan sukses.
JATUH BANGUN
“Sepanjang lapan tahun penubuhan Alhumaira, pernah jugalah beberapa kali saya mengalami fasa kejatuhan sehingga merasa hampir putus asa. Namun saya sentiasa ingatkan diri, mengapa saya bermula dulu. Saya juga sentiasa berfikiran positif. Jangan sesekali lari daripada masalah.
Paling penting juga ialah fokus kepada kekuatan bisnes,” luah graduan Diploma Graphic & Digital Media UiTM Sri Iskandar, Perak ini. Terdahulu, ibu kepada dua cahayamata ini pernah bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan di salah sebuah syarikat telekomunikasi di ibu negara.
TERSENDIRI
“2019 genaplah usia Alhumaira yang ke-9 tahun dan kami masih diterima. Selaku Head Designer saya juga berperanan bagi memastikan pengeluaran tudung Alhumaira sentiasa mengikut trend semasa.Pada masa sama masih mengekalkan ciri-ciri signature tulen Alhumaira.
Bagi saya, untuk terus relevan usah bersaing untuk berada di depan atau di belakang sesiapa, tetapi bersainglah di sisi mereka. Cari kekuatan sendiri dan bergerak di landasan sendiri. Sentiasa fahami kehendak pelanggan, rajin buat kajian mengenai trend semasa. Elak meniru hasil usaha orang lain.
Cipta keunikan tersendiri sehingga pelanggan mengenali jenama kita tanpa terkait dengan mana-mana jenama. Reputasi jenama dan kepercayaan pelanggan amat penting untuk kekal lama dalam perniagaan. Sentiasa menjadi yang original,” kongsi Hani yang menjadikan suaminya, Humaidi Fadzil serta anak-anak dan keluarga sebagai pencetus semangat.
NASIHAT
“Wanita perlu lebih progresif dalam menjana pendapatan sendiri agar dapat melengkapi keperluan diri dan isi rumah. Berusaha mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada kaum lelaki. Lakukan sesuatu yang kita minat dahulu, duit akan datang selepas itu. Keluarga adalah faktor terbaik mengapa kita bekerja atau berniaga.
Superwoman ialah wanita yang mampu menjadi diri sendiri, kuat dan memberikan yang terbaik dalam apa jua dilakukan di samping memberi inspirasi kepada wanita lain mengiut versi masing-masing,” akhiri Hani yang berhasrat untuk membawa jenama Alhumaira ke persada antarabangsa. Setakat ini Alhumaira hanya mempunyai reseller di Thailand,Singapura dan Brunei. Impian seterusnya ingin menembusi pasaran Asia dan juga Eropah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Langit luas itu memiliki banyak ceritanya, saat matahari terbit dan terbenam. Warna yang memberi kita harapan kala cerah dan gelap kala terbenam, hanya untuk bangkit kembali esoknya. Ada kala mendung mega hadir membawa hujan lebat, kilat ribut dan taufan sebagai satu cabaran kuat untuk kita menerima kehadiran pelangi sebagai hadiahnya nanti.
Nyata di langit selalu ada jawapan dan penjelasan untuk segalanya. Setiap rasa sakit, setiap penderitaan, kegembiraan dan kebingungan semuanya adalah ciptaan Allah untuk kita. Selagi nyawa masih dikandung badan, selagi adanya peluang kedua, tidak mungkin kita mahu pejamkan mata untuk melepaskan keindahan dunia ini dengan izin Allah.
Dahulunya NurAyu seorang perawat tapi sekarang sudah naik pangkat sebagai pemberi manfaat. Dr. NurAyu Sahat berusia 34 tahun, pernah berkhidmat sebagai seorang doktor klinikal di hospital awam. Namun pada tahun 2018, NurAyu perlu menerima kenyataan dengan status baru sebagai OKU Fizikal Kronik NPSLE (kerosakan kekal bahagian otak akibat SLE) dan kini berkhidmat sebagai Motivator & Mentor Produk Pendidikan Kanak Kanak MIND.A DEQA Team.
“Hanya Allah dan diri saya tahu betapa hampa dan kecewanya apabila tidak dapat meneruskan perkhidmatan sebagai doktor klinikal akibat penyakit kronik NPSLE. Saya juga disahkan OKU Fizikal akibat kerosakan kekal di bahagian otak, peparu kiri, darah putih rendah (suspek leukimia), kelemahan saraf kaki dan lemah otot jantung (myocarditis).
Nak nangis tiada lagi air mata mampu dikeluarkan. Nak bercakap tapi tidak terungkap dengan ayat untuk dibicarakan. Nafas ini menjadi sulit seperti akan kehilangan semuanya. Pelbagai perasaan bercampur-aduk, bergelumang perasaan yang terhimpit dalam diri.
Ya! Saya perlu bangkit dengan senyuman dan kesabaran yang Allah tentukan takdirnya dalam hidup saya. Ini bahagian saya, insyaAllah peluang kedua ini memberi saya kesempatan untuk terus bangkit dan terus berkhidmat dengan cara dan kemampuan saya.
Saya amat berharap perkongsian pengalaman bagaimana bangkit dari sakit kronik yang saya lalui dapat memberi motivasi kepada mereka yang lain, insyaAllah. Senang sebut saya happy sekarang dapat jadi motivator cara simple buat mak-mak yang nak bangkit dari sakit,” jelas NurAyu yang kini fokus dalam bidang perniagaan secara online dan memberi motivasi kepada kanak-kanak dan wanita di universiti, Socso Rehab Hospital Melaka dan NGO.
NurAyu merupakan pemenang kedua musim pertama Pencarian Wanita Melayu 2014, suaranya lembut dan mudah tersenyum kala berbicara. “Asalnya saya cuti sakit tanpa gaji. Namun, lepas kemoterapi saya tak boleh berjalan seperti biasa, memerlukan tongkat. Saya tidak lagi aktif seperti dahulu.
Rasa dunia berakhir bila disahkan penyakit kronik NPSLE dan tidak dapat meneruskan cita-cita menjadi pakar bedah kanak kanak. Lebih menyedihkan apabila saya disahkan prognosis, kehidupan mungkin hanya mampu bertahan selama 2 tahun.
Namun alhamdulillah, saya masih bernafas sehingga sekarang dan peluang kedua dalam hidup saya ini membuatkan saya ingin memberi lebih banyak kasih sayang melalui motivasi dan cara lifestyle kita mak-mak.
Saya explore perniagaan online sebagai dropship pelbagai produk tetapi jujurnya saya lebih suka berkongsi lifestyle dan memujuk ibu-ibu agar bangkit lebih cantik, sihat dan bersemangat melalui FB live sejak 2019.
Akhirnya, saya diberi peluang fokus pada motivasi dan produk MIND.A SDN BHD, Alhamdulillah,” jelas NurAyu yang telah kehilangan ibu dan bapa tanpa sempat melihat anaknya ini berjaya menjadi seorang doktor.
Nasihat terbaik NurAyu kepada seluruh wanita Malaysia, “Trust the process. Start apa yang kita boleh buat walaupun sekadar perkongsian pengalaman. Jangan pernah malu atas kekurangan diri dan sejarah silam.
Itu adalah asbab kita bangkit berniaga kerana hidup kita bukan lagi untuk kita sendiri tapi untuk beri manfaat pada lebih lagi orang yang memerlukan, InsyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.