Berkat Senangkan Hati Orang Tua, Bisnes Tya Arifin Cepat Maju & Bantu Ramai Wanita

Kagum melihat semangat dalam diri aktres dan ahli perniagaan kelahiran Palembang, Indonesia berusia 26 tahun ini. Selain aktif di media sosial, Tya Arifin atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandri juga ligat memajukan perniagaan Mutyara bersama suaminya, Asyraf Khalid sejak tiga tahun lepas.

Sambil mengusahakan perniagaan sendiri, Tya yang dilantik sebagai Ikon Selebriti Penyusuan Susu Ibu 2019 dari Hospital Wanita & Kanak-Kanak Kuala Lumpur itu juga mempunyai dua cahaya mata iaitu Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa yang masih memerlukan perhatian khusus.

Namun berkat kesabaran dan semangat untuk menaik taraf ekonomi keluarga, Tya berjaya membuktikan kemampuan diri sebagai isteri, ibu dan wanita berkerjaya. Malah beberapa hari lepas dalam majlis berprestij Nona Superwoman Award 2020, beliau turut diiktiraf sebagai penyandang Nona Most Promising Entrepreneur Award.

Bercerita tentang perkembangan terkini, Tya dengan penuh kesyukuran menyatakan bahawa syarikatnya telah mendapat penilaian empat bintang daripada SME Corp.

“Tahun ini juga kami melancarkan produk Mutyara dalam bentuk sachet selepas mendapat banyak permintaan dan lebih mudah dibawa ke mana-mana. Saya juga masih memfokuskan misi untuk membantu golongan wanita membangun ekonomi dan mendapatkan income

tambahan menerusi e-modul, sokongan serta tunjuk ajar yang berterusan,” ujarnya.

Tya juga mampu tersenyum bangga apabila titik peluh mereka menampakkan hasil dengan pelancaran Wisma Mutyara. Bercerita tentang ibu pejabat Mutyara yang terletak di Puchong itu, “Alhamdulillah pada hujung Julai lalu, impian kami untuk memiliki wisma sendiri termakbul.

Sebelum ini pejabat Mutyara di Cyberjaya hanya satu tingkat, jadi apabila syarikat semakin membesar bermakna ruang juga perlu lebih luas dengan team Mutyara yang semakin ramai.”

Tambahnya, tidak wujud soal cepat atau lambat dalam merealisasikan impian sebagai usahawan. “Saya percaya ini sudah tersusun cantik dengan izin-Nya. Ia datang pada waktu yang tepat dan sekaligus membuatkan kami semua tambah bersemangat untuk memajukan perniagaan sambil membantu lebih ramai orang di luar sana.

Suatu hari nanti, saya rancang nak buka cawangan kecil di setiap negeri. Secara tidak langsung, usahawan Mutyara pun senang mendapatkan produk di negeri masing-masing. Pasaran Mutyara pun kini bukan saja di Malaysia, bahkan di Indonesia, Singapura dan Australia. Kami juga berusaha menembusi pasaran negara-negara yang lebih besar seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat dan China,” kongsi Tya penuh optimis.

KELUARGA

Kelincahan Tya Arifin berniaga sambil menguruskan si kecil jelas mengagumkan sesiapa saja. Ke mana pun dia pergi, anak-anak seboleh mungkin dibawa kerana Azzahra masih menyusu badan. “Niat saya dan suami membina empayar perniagaan selain mahu mengubah kehidupan sendiri juga bertunjangkan paksi membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan.

Tak ketinggalan mengajak orang lain menjana pendapatan bersama-sama. Begitu juga menjaga kebajikan staf tersayang. Kita imbangi hal dunia dan syurgawi dalam satu masa.”

Ditanya tentang bagaimana Tya memberi self-reward kepada diri sendiri, ini jawapannya. “Pergi shopping

atau bercuti? Umm bagi Tya, sebenarnya pergi bercuti. Bila pergi ke tempat baru, kita akan rasa lebih refresh dan dapat idea baru. Itu lebih seronok, tapi kalau suami bagi kita shopping pun bagus juga (ketawa)!” selorohnya sambil melayan karenah anak-anak yang memanggil ibu mereka. Manja sekali!

Sebagai menantu kepada ahli perniagaan berjaya Dato’ Sri Khalid Mohd Jiwa dan penyanyi No. 1 Malaysia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, mungkinkah kejayaan Tya Arifin hari ini berkait dengan pertolongan ibu bapa mereka?

“Sepatutnya saya bersyukur kerana dikelilingi Mak Iti, Ayah, Mama dan Uncle Jo yang selalu beri sokongan moral kepada anak-anak dalam apa pun yang kami lakukan sebagai ibu bapa. Akan tetapi, untuk memulakan perniagaan Mutyara, ia adalah kerja keras kami suami isteri dan tidak ada bantuan dari mana-mana pihak.

Sebenarnya siapa pun, tak kiralah berasal dari keluarga berada atau sederhana, dia boleh berjaya kerana kuncinya adalah diri sendiri. Misalnya saya membina Mutyara daripada zero. Saya dan Asyraf kumpul modal sama-sama dan pegang prinsip tidak mahu menyusahkan orang tua. Mereka sejak kita kecil dah berkorban macam-macam, takkanlah sampai dewasa pun kita masih nak susahkan lagi. Kami berdua percaya satu sama lain, walaupun melalui fasa-fasa sulit tapi berkat usaha bersama, alhamdulilah Mutyara semakin maju di tahap sekarang. Bagi saya, suami adalah kekuatan saya!”

Bagi Tya, ibu-ibu mertuanya adalah sosok luar biasa. Banyak yang dapat dipelajari daripada karakter Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan YM Tengku Datin Sri Zawyah, umpamanya cara menjadi seorang ibu serta isteri yang baik. “Saya ada tiga orang ibu (termasuk ibu sendiri) yang menjadi role model saya. Daripada mereka, saya belajar tentang erti kesabaran, kelembutan dan keikhlasan tanpa rasa iri hati.

Sifat Mama contohnya, beliau selalu ada untuk anak-anak dan tak pernah bercakap ‘tidak’ demi kejayaan kami semua, tahu apa kesukaan setiap anak dan always over-deliver untuk gembirakan orang tersayang. Manakala Mak Iti pula, saya belajar erti sabar, never give up dan sentiasa membalas perkara buruk dengan kebaikan. Itulah pelajaran berharga yang saya dapat daripada ibu-ibu saya.”

Menjadikan Pengasas Ali Baba iaitu Jack Ma sebagai inspirasi perniagaan, Tya menanam satu semangat bahawa tiada satu impian pun yang mustahil. Selain itu Pengasas Herbalife iaitu Mark Hughes dan Pengasas Apple iaitu Steve Jobs juga menjadi rujukannya kerana walaupun selepas kematian mereka, jenama tersebut mampu bertahan dan masih terkenal di seluruh negara hingga ke hari ini. Itulah pembakar inspirasi Tya Arifin, semoga Mutyara yang diusahakan juga mampu berkembang sekukuh itu!

Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Azniza Aziz
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan: Ayang Kamell
Lokasi: Terima kasih Yamin, My One Living, No. 45 Jalan Snuker 13/28, Shah Alam

Share
Published by
Norzalina