Sejuk perut ibu mengandung memiliki anak yang penyayang, bertimbang rasa dan tidak pernah berhenti memberi kebahagiaan kepada insan tersayang seperti Shiha Zikir. Walau bergelar selebriti, anak bongsu daripada tiga beradik ini sedikit pun tidak merasa malu membawa ibu tersayang ke mana sahaja. Termasuklah ketika menghadiri setiap show yang diterima. Biarlah dilabel anak manja sekalipun… yang pasti Shiha lega melihat kelibat ibunya, Rohana Ibrahim sentiasa ada di sisi. Bertuah ibu ini!
Ditemui ketika menemani Shiha untuk program The Stage Media Hiburan, ibu berusia 60 tahun ini meluahkan rasa syukur kerana mempunyai anak yang cukup prihatin. Mengakui tidak pernah memaksa Shiha untuk membawanya ke mana saja, Rohana yang juga ibu tunggal menjelaskan ia adalah kerelaan hati Shiha sendiri yang mahu sentiasa melihat dan berada di sisi ibunya setiap masa.
“Bukanlah kata nak puji anak sendiri tapi iyalah mana-mana ibu pun akan rasa bertuah kalau ada anak macam dia sebab Shiha ni apa-apa yang dia buat mesti dia pentingkan kita (ibu) dulu. Misalnya kalau ada show yang kata tak boleh bawa mak, memang dia tolak walaupun bayarannya tinggi.
Itu yang saya perasan tentang Shiha.. dia ada prinsip dia sendiri. Aunty pernahlah juga datang ke satu show ni. Bila dah sampai, mereka tak bagi masuk.. katanya orang pakai tudung tak boleh masuk dan macam-macamlah aunty pernah kena.”
Mendengar pengakuan ibunda tersayang, Shiha yang duduk di samping ibunya terus mencelah. “Bila jadi situasi macam tu, kita mula fikir sesuatu dan rasa tak best. Sampai pertengahan show tu baru saya sedar ia bukan persembahan dinner ‘biasa-biasa’ sebaliknya ada acara yang bertentangan dengan agama kita. Tanpa fikir panjang, saya terus panggil kawan saya yang juga penyanyi datang gantikan persembahan.”
Meskipun belum mencipta nama yang gah dalam industri muzik tanah air namun ia bukan halangan bagi penyanyi berbakat besar ini. Katanya, bukan populariti yang menjadi ukuran sebaliknya penglibatan Shiha dalam arena muzik adalah kerana minat.
Ujar ibu Shiha, “Dengan Shiha ni kita tak boleh merungut apa. Kalau cakap sedikit je ‘Eh, cantiklah barang ni’.. esok mesti dapat. Pemberian paling bernilai yang Shiha hadiahkan ialah kereta Vellfire. Tak minta pun sebab dah ada kereta tapi dia takut aunty tak selesa bila selalu ikut dia jalan jauh. Bab hadiah hari jadi, tiap-tiap tahun mesti dia bagi barang kemas.
Dia anak yang sangat bertanggungjawab. Tak boleh dengar kita susah. Kalau kita termenung, dia akan cepat-cepat tanya ada Shiha buat salah ke. Kalau ada mak beritahulah jangan simpan-simpan. Sampai macam tu sekali dia takut buat kita terluka. Sejujurnya, Shiha ni akan yang paling senang nak besarkan. Bahkan masa dia kecil lagi dia dah jadi anak yang baik. Ingat lagi masa bersalin dulu, ibu-ibu yang bersalin sama hari macam aunty tak boleh tidur sebab anak mereka menangis tapi Shiha tak.
Nurse pun jadi pelik suruh aunty tengokkan dia sebab lena tidur. Masa Shiha baru berusia 15 hari, dia pernah hanyut atas tilam di rumah sebab hujan tak henti-henti. Bila terjaga, tengok-tengok dia dah dekat pintu. Rumah banjir dan nasib waktu tu malam dan pintu rumah tutup.
Waktu dia baru berjalan umur setahun setengah, dia pernah lemas dalam baldi di bilik air sampai muka jadi biru. Sebab kejadian tu.. sampai sekarang dia takut air. Dari dia kecil, arwah bapa dia yang perasan bakat menyanyi Shiha tapi tak kesampaian tengok anak dia berjaya seperti hari ini.”
Mula menyanyi seawal tahun 2010, Shiha nyata bersyukur dengan rezeki yang diterimanya “Saya sedar populariti tu perlu tapi tak terdesak sampai hendak create story kontroversi untuk popular. Alhamdulillah, rezeki saya cukup mungkin sebab saya jaga mak dari dulu lagi sejak arwah bapa meninggal tahun 2008.
Orang fikir dia ni tak popular sangat tapi rezeki saya cukup. Tiap minggu ada saja jemputan persembahan dinner dan rezeki cukup untuk menyara ibu, bayar duit kereta, rumah dan sebagainya.”
Nona percaya rezeki yang diterima Shiha berkat doa dan keikhlasannya membahagiakan hati insan bergelar ibu. Moga kasih sayang Shiha menjadi inspirasi kepada semua untuk terus menghargai jasa ibu yang melahirkan kita ke dunia.
Sesuatu yang menarik di sini.