
Pelakon dan dramatis terkenal Eyra Hazali yang cukup dikenali menerusi drama siri Nur 2 berkongsikan rasa syukur dan gembira atas kejayaan suaminya, Haziq Nadzli yang merupakan penjaga gol pasukan JDT yang membuka sebuah restoran baru-baru ini, dan akan mula beroperasi pada esok hari (19 Januari 2023).
Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali, 24, mendoakan agar pembukaan restoran baharu suaminya yang terletak di Bandar Dato Onn, Johor Bahru akan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Tulisnya, “Alhamdulillah, tahniah sayang. Semoga Allah membimbing dan memberkati anda dalam segala hal. Semoga perniagaan anda berjaya di tahun-tahun akan datang. In Shaa Allah restoran kami akan dibuka pada 19 January 2023 ( Khamis ) di Bandar Dato Onn, Johor Bahru. Boleh search Haziq Shell’All’Out di google maps ya. Kedai beroperasi dari 4 petang – 12 tengah malam. Jom datang ramai-ramai.”
Dalam pada itu, pelakon ini juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah hadir ke majlis pembukaan itu serta doa-doa yang telah diterimanya. Sementara itu, meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya mengucapkan tahniah malah turut mendoakan perniagaan pasangan suami isteri ini.
Untuk rekap, Eyra berkahwin dengan Haziq berkahwin pada 1 November 2019 dengan sekali lafaz, di mana kini mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang comel.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Kereta Tak Bergerak Atau Jalan Tak Lebih 10km Ketika PKP, Hadam 5 Perkara Ini

Sejak PKP ini kita memang digalakkan untuk duduk di rumah. Tetapi ketua keluarga dibenarkan untuk keluar rumah namun tidak boleh melebihi 10 kilometer. Mungkin juga ada yang tidak keluar langsung kerana menggunakan perkhidmatan penghantaran barang atau pembelian atas talian saja.
Bagaimana pula dengan kereta kita? Memandangkan pusat servis dan bengkel tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh ini, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk memastikan kereta anda kekal berada dalam keadaan baik sepanjang PKP. Apa yang paling penting adalah lakukan pemeriksaan 5-mata pada kereta.
1. Cecair/Bendalir
Cecair di dalam kereta memainkan peranan penting bagi hampir kesemua aspek termasuklah kecekapan, prestasi dan penjimatan bahan api. Dengan memastikan cecair pada kereta berada pada paras optimum, ia akan membantu melancarkan pemanduan anda. Terdapat lima jenis cecair yang perlu diambil kira iaitu minyak pelincir, cecair penyejuk, minyak brek, cecair stereng berkuasa serta cecair pencuci cermin hadapan.
Bahagian yang paling penting ialah minyak pelincir. Komponen yang berada di dalam enjin akan berputar beribu-ribu kali dalam masa satu minit, dan minyak pelincir inilah yang akan membantu melancarkan putaran tersebut. Bagi memastikan minyak pelincir mencukupi, hampir kesemua kereta akan dilengkapi batang celup atau dipstik di bahagian enjin yang biasanya berwarna kuning dan pemegangnya kelihatan seperti cincin. Matikan enjin terlebih dahulu, tarik batang celup, lap sisa minyak dengan kain bersih, dan ulangi sekali lagi untuk mendapat bacaan yang tepat.
Seterusnya, fungsi cecair penyejuk adalah untuk menghalang enjin daripada terlalu panas dengan memindahkan haba dari enjin ke radiator. Kebiasaannya bekas cecair penyejuk adalah berwarna putih dan jenis telus, terletak di bahagian depan ruang enjin untuk memudahkan memeriksa secara visual paras cecair penyejuk di dalamnya.
Selain itu, cecair penting lain ialah cecair brek yang bertanggungjawab menggerakkan pelbagai komponen sistem brek kereta anda. Paras cecair brek mudah untuk diperiksa. Cari penutup berwarna putih di bahagian belakang yang berdekatan dengan kabin kereta. Sekiranya penutup tersebut adalah jenis telus, ia akan lebih mudah untuk diperiksa, dan jika sebaliknya, anda hanya perlu membuka penutup untuk melihat paras cecair di dalam bekas tersebut. Pastikan enjin kereta dimatikan dan keadaan kereta tidak panas sebelum membuka penutup.
Sistem stereng kuasa juga memainkan peranan penting. Kebanyakkan kereta masa kini dilengkapi dengan sistem stereng kuasa hidraulik yang membantu menjadikan pemanduan jauh lebih mudah walau dalam apa jua kelajuan. Untuk memeriksa cecair stereng, cari reservoir di ruang enjin. Selalunya ia mudah dilihat kerana penutupnya akan dilabelkan sebagai “Power Steering”. Jika tiada sebarang label, cari ikon stereng. Sesetengah kereta mempunyai reservoir separa telus yang akan memudahkan anda memeriksa paras cecairnya sementara sesetengah kereta yang lain pula mempunyai batang celup yang terlekat di penutup.
Akhir sekali, cecair pencuci cermin hadapan juga jangan dilupakan. Pastikan ia diisi agar cermin hadapan kereta anda dapat dibersihkan untuk memberi anda pandangan yang lebih jelas.
Sekiranya cecair berkurangan, isi semula cecair tersebut tetapi jika anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya, kunjungilah ke mana-mana pusat servis setelah tempoh PKP berakhir.
2. Bateri
Bateri kereta memainkan peranan penting untuk menghidupkan komponen elektrik di dalam kereta. Selain menghidupkan enjin kereta secara berkala untuk memastikan alternator mengecas bateri, kita juga perlu memastikan pengapit bateri dipasang ketat, bersih dan tidak berkarat.
Pemeriksaan bateri secara fizikal juga penting untuk mengetahui sekiranya terdapat sebarang keretakan. Pertama, anda perlu memeriksa sama ada terdapat bonjolan pada permukaan bateri. Selepas itu, periksa pengapit bateri untuk melihat kesan-kesan hakisan.
Catat tarikh anda menukar bateri pada buku panduan pemilik. Sebagai alternatif, jika anda mempunyai voltmeter di rumah, anda boleh memeriksa voltan bateri. Bacaan di bawah 14v semasa enjin dihidupkan bermakna bateri anda lemah. Seeloknya, periksa alternator anda jika bacaan lebih rendah daripada itu.
3. Lampu
Perkara seterusnya yang perlu anda periksa adalah lampu. Pastikan lampu depan, lampu belakang, lampu brek dan lampu isyarat berfungsi sebelum anda memulakan pemanduan. Satu cara mudah untuk memeriksa lampu belakang adalah dengan meletakkan kereta berdekatan dengan dinding dan gunakan cermin pandang belakang untuk melihat sama ada lampu berfungsi dengan baik. Sekiranya terdapat mana-mana lampu yang tidak terang, ganti mentol di pusat servis terdekat selepas tempoh PKP berakhir.
4. Tayar
Tayar kereta adalah sama seperti sepasang kasut dan sekiranya dijaga dengan rapi, ia akan memastikan keselamatan anda dan kenderaan lain di jalan raya. Perkara pertama yang perlu diperhatikan adalah jika terdapat sebarang rekahan, koyakan atau lekukan. Pada masa yang sama, perhatikan sekiranya terdapat bahagian tayar yang kekurangan angin. Sekiranya ada, anda perlu mengepam tayar tersebut. Tetapi, lakukan hanya jika anda benar-benar perlu keluar untuk mendapatkan barang keperluan.
Seterusnya adalah tekanan tayar anda. Sebaiknya, periksa tekanan tayar menggunakan tolok tekanan tayar. Tekanan tayar yang betul boleh didapati di dalam buku panduan atau di tepi pintu pemandu. Tekanan tayar yang disyorkan adalah berbeza untuk setiap kereta. Bahaya sekiranya anda menggunakan tayar dengan tekanan yang terlalu rendah atau terlalu tinggi kerana ia akan menjadi punca kehausan tayar yang tidak rata dan anda perlu menukar tayar dengan lebih cepat.
Perkara lain yang perlu dititikberat adalah bebenang tayar. Setiap tayar dilengkapi dengan indikator bunga-haus yang terletak di antara blok bunga. Berfungsi membantu anda memantau kehausan tayar tersebut, penunjuk ini dijarakkan secara rata dan diletakkan selari dengan alur. Sekiranya ia dilihat separas dengan penunjuk, maka sudah tiba masa untuk anda mengganti tayar baharu.
5. Bilah pengelap
Pengelap cermin hadapan yang berfungsi dengan baik akan dapat memastikan keselamatan anda di jalan raya. Semakin kerap kita menggunakannya, ia akan secara beransur-ansur menjadi keras dan merekah, menyebabkan terdapat garis-garis yang akan mengaburi penglihatan ketika memandu. Untuk mengetahui sama ada bilah pengelap anda berfungsi dengan baik, anda boleh hidupkan fungsi pengelap, sebaik sahaja anda menyedari pengelap tidak memberikan sapuan yang jelas malahan meninggalkan garisan atau mengeluarkan bunyi, ini bermaksud anda perlu menukarnya sebaik sahaja tempoh PKP tamat.
Selain mengangkat bilah pengelap tersebut sekiranya kereta anda diparkir di bawah terik matahari, anda juga boleh membersihkan bilah tersebut dengan tuala lembap untuk menghilangkan kotoran atau minyak untuk memastikan ia boleh digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama.
Itu sahaja yang dapat dikongsikan. Panduan ini dapat memastikan setiap komponen penting pada kereta anda dapat berfungsi dengan baik dan dalam pada masa yang sama untuk memastikan keselamatan anda, keluarga, serta pengguna jalan raya yang lain, tanpa mengira tempoh PKP atau pada bila-bila masa.
Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan Mengesahkan Pemilik Rumah Bonda Ditahan Bagi Bantu Siasatan

Adik Bella, seorang remaja kurang upaya dilaporkan telah menjadi mangsa dera. Remaja berusia 13 tahun itu telah mendapat perhatian masyarakat yang prihatin dan mahukan pembelaan buatnya.
Tidak sanggup melihat penderitaan anak istimewa sindrom Down ini, maka ramai yang bangkit mahukan keadilan buatnya.
Sememangnya anak istimewa bukan sepatutnya menjadi mangsa malah mereka sepatutnya dihargai dan dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab.
Besar pahalanya menjaga anak istimewa ini. Hanya mereka yang ‘mampu’ sahaja dikurniakan oleh Allah SWT, anak syurga ini.
Sebelum ini, rumah kebajikan yang menempatan Adik Bella sudah disita. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur telah pun menyita sebuah rumah kebajikan yang terbabit dan khabarnya rumah kebajikan tersebut tidak berdaftar dengan pihak JKM.
Hari ini pula, pemilik rumah kebajikan, Rumah Bonda telah ditahan bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan wanita berusia 29 tahun itu ditahan jam 10.30 pagi semalam.

“Dia ditahan selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.
“Kertas siasatan baharu telah dibuka dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” kata Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Kisah Adik Bella telah membuka mata seluruh rakyat Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella dan mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di media sosial.
Adik Bella kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan. Semoga kehidupan Adik Bella terus ceria di bawah penjagaan yang sempurna.
“Tengah Rushing Pun, Senyum..” Che Ta Dedah Ditegur Mak Sebab Tak Layan Peminat Bergambar, Kini Hargai Peminat!

Lumrah apabila bergelar selebriti dan public figure, ke mana saja pergi mesti dikerumuni peminat. Situasi sama juga dilalui aktres cantik, Rozita Che Wan. Setiap gerak geri dan penampilan isteri Zain Saidin ini sentiasa menjadi perhatian khalayak.
Hampir dua dekad berkecimpung dalam bidang seni, Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta sudah pun menempuh pelbagai dugaan sebagai anak seni dan terpalit dengan kontroversi.
Sebagai insan normal pastinya Che Ta juga ada keinginan, emosi terganggu dan mahu menjalani hidup biasa seperti orang lain.
Pun begitu, sebagai individu terkenal dia perlu sentiasa tampil positif dan mesra melayan peminat. Apatah lagi apabila terserempak dengan mereka yang mahu bergambar.
Bagaimana pun ibu tiga anak berkenaan dalam temu bual bersama Nona baru-baru ini mendedahkan mengenai insiden pernah ditegur ibu tersayang kerana tindakannya yang enggan melayan peminat.
Tanpa berselindung Che Ta berkata, “Mak I ni jarang cakap. Dia banyak diam daripada bercakap. Itulah bila dia bersuara mesti menusuk kalbu. Dia cuma pesan satu je. Hormat dengan semua orang.
Tambah-tambah bila dia tengok peminat. Dia pernah tegur I, peminat nak ambil gambar, I tak mahu. Dia kata jangan.. dia dulu pernah teringin nak ambil gambar dengan artis tapi
tak pergi sebab takut kena reject.
Benda tu, I selalu ingat. Bila nampak peminat yang kata Che Ta nak ambil gambar.. I teringatlah mak I pesan. Tengah rushing pun, senyum dan pergilah (bergambar).”
Iyalah manusia mana tidak pernah buat silap. Setidak-tidaknya Che Ta belajar daripada kesilapan dan kini lebih menghargai peminat yang menyokong kerjaya seni dan perniagaannya. Untung masih ada ibu yang boleh beri nasihat.
Tambah Che Ta lagi, “Dengan laki (suami) pun kena hormat, itu juga pesan mak. Termasuk dengan orang gaji. I ajar anak-anak hormat dengan pembantu kami. Walau pun dia orang luar tapi dia yang membantu I dengan family.
Alhamdulillah anak-anak pun tak adalah berlagak dengan pembantu atau sesiapa. Misalnya kalau minta pembantu tolong sediakan makanan yang nak dimakan, bila dah dapat anak I akan kata thank you dekat pembantu. Alhamdulillah syukur.”
Meskipun secara luaran Che Ta seorang wanita yang penuh dengan glamor tapi anak kelahiran Kedah ini tetap ingat asal usulnya dan enggan mendabik dada atas segala kejayaan yang diraih.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/kalau-boleh-amal-ibadat-kita-tak-nak-tinggal-belajar-mengaji-dalami-agama-rozita-che-wan-tenang-usia-50/