
Amy Mastura mula dikenali sejak kejuaraannya dalam sebuah pertandingan nyanyian, Asia Bagus pada tahun 1993. Dia juga memenangi anugerah Penyanyi Wanita Popular (ABPBH) dan Pelakon Wanita Terbaik (FFM).
Bagi yang mengenali Amy, tentu tahu bagaimana karakter wanita kecil molek yang ramah dan lucu. Namun, tak banyak kisah peribadi di kongsi bersama peminat.
“Saya menceburi bidang seni atas dasar minat. Kejuaraan di Jepun itu pun tidak disangka. Walaupun bermula sebagai seorang penyanyi, saya masih terima jika lebih dikenali sebagai pelakon kerana kedua-duanya adalah minat saya.
Sedari awal lagi, saya langsung tidak mempunyai persediaan dan sehingga kini, saya hanya follow the flow,” ujar Amy ketika ditanya bagaimana dia terus relevan dalam bidang seni.
Berkongsi kisah bersama anak-anak, Amy Mastura jadikan anak sebagai ‘mentor’ untuk penjagaan kecantikan! Bila anak dara sudah mula menginjak remaja, mulalah macam-macam rejimen kecantikan dipraktikkan. Bukan Mamanya berkongsi rahsia cantik dengan si anak, tetapi sebaliknya.
https://www.instagram.com/p/BrzKc7hgGmf/?utm_source=ig_web_copy_link
“Saya tidak ada rutin kecantikan langsung. Sekarang ni saya pula yang minta tip dari Adalia apa yang terbaik untuk kulit. Krim muka dia lebih banyak dari apa yang saya ada! Adalia jugalah yang akan promote produk apa yang sesuai tapi yang disyorkan itulah paling bahaya sebab Mama yang perlu beli nanti. Dia lebih teliti soal kecantikan, berbanding Mama dan adik.
https://www.instagram.com/p/BwG5yPHgrwE/?utm_source=ig_web_copy_link
Saya sendiri tidak mengamalkan apa-apa petua. Dulu sewaktu dalam berpantang, saya cuma ikutkan apa yang diajar. Berpantang sepenuhnya secara tradisional pun tidak, cara moden pun tidak. It’s a mix of everything.
Cuma saya jenis yang tidak suka minum ais. Bukan pantang tapi saya sendiri tak terasa untuk menikmati air ais setiap masa. Mungkin itu juga membantu saya menjaga badan.”
Untuk tahu apa lagi yang Amy Mastura kongsikan bersama Nona, jangan lupa dapatkan majalah Nona edisi APRIL 2019!
https://www.instagram.com/p/BvtBgGGgCs1/?utm_source=ig_web_copy_link
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mewahnya Mahligai LUNA MAYA, Diami Rumah Agam Moden RM7.5 Juta!

Tidak kira peminat di Indonesia mahupun di negara ini, pastinya ramai yang ternanti-nanti untuk melihat ruang kediaman selebriti cantik, Luna Maya. Dianggap seorang selebriti yang cukup menjaga privasi, pada pertengahan Jun lalu bekas juri Maharaja Lawak Mega ini akhirnya akur memenuhi permintaan ramai dan berkongsi ruang rumah agamnya buat tatapan umum. Pendedahan tersebut dibuat menerusi saluran YouTube aktor popular Indonesia, Boy William.
Tak sampai sebulan dimuat naik, video tersebut kini sudah mencecah lebih sejuta tontonan! Malah rata-rata mereka yang sudah menontonnya melahirkan rasa kagum dan teruja dengan dekorasi rumah Luna Maya serta personaliti dirinya yang sangat bersahaja. Walau mampu menghuni kediaman yang lebih besar dan extravaganza namun aktres ini memilih untuk hidup bersederhana. Yang penting kata Luna, selesa!


Menerusi paparan video yang dikongsikan jelas menggambarkan sisi sebenar Luna Maya. Dari hiasan yang dipamer, terserlah jiwa seni jelitawan ini. Setiap sudut kediaman banglo setingkat ini diserikan dengan hiasan bingkai gambar lukisan eksklusif di dinding rumah. Bahkan, Luna juga membuat satu sudut khas untuk menempatkan gambar, anugerah dan pingat yang diterima.
Dalam wawancara bersama Boy William, Luna berkata dia gemar menghabiskan masa di ruang tamu rumah. Bersandarkan konsep kediaman open space, ia sekaligus membolehkan penghuninya melihat setiap ceruk rumah dengan lebih terbuka. Lebih menarik, bersebelahan dengan ruang tamu tersebut ialah pemandangan kolam renang yang sering menjadi tempat riadah Luna ketika waktu lapang.








Ujar pemilik nama Luna Maya Sugeng ini lagi, rumah berkenaan dibeli dengan harga sekitar RM2.6 juta dan selepas selesai proses ubah suai mengikut kehendak dan cita rasanya serta harga pasaran semasa… nilai kediaman ini dipercayai mencecah sehingga RM7.5 juta.
Melewati bahagian kamar tidur pula, Luna selesa dengan dekorasi ringkas dan turut meletakkan sebuah televisyen bersama set permainan video. Tanpa berselindung, pelakon filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur ini mengakui dia sememangnya seorang ‘kaki video game‘. Selain katil bersaiz queen, sofa dan televisyen, di ruang ini juga terdapat walking closet yang menempatkan pelbagai koleksi peribadi mewah milik Luna. Antaranya beg tangan, baju, kasut dan aksesori pelengkap gaya. Kebanyakan koleksi yang ada dalam simpanan Luna ialah dari jenama Hermes!
Mengamati simpanan dan koleksi mewah yang tersusun kemas, Boy William teruja untuk mengetahui nilai beg-beg tangan milik wanita berusia 37 tahun ini. Namun Luna bijak menjawab persoalan tersebut dengan tidak mendedahkan harga sebenar beg tangan yang dimiliki. Mungkin kerana dia bimbang jawapan jujurnya akan disalah erti segelintir pihak. Tatkala ditanya mengenai kehidupan Luna sewaktu kecil, selebriti ini lantas membuka bicara.

“Saya memang mahu rumah impian yang homey dan cosy. Waktu kecil dulu saya hidup sederhana. Tak pernah kekurangan tapi bukan lahir dari keluarga yang lavish atau silver spoon. Maksudnya kami sekeluarga juga mampu untuk keluar bercuti ke luar negara.
Memang duit itu penting tapi ia bukanlah nombor satu. Bila berlakunya pandemik (Covid-19) seperti hari ini, saya terfikir jika koleksi-koleksi mewah saya itu boleh jadi cash, memang saya mahu tukar. It’s nice to have beg mahal-mahal tapi saya dah ada a lot! Apabila sudah berusia seperti ini, beg yang kulitnya buaya… sudah tak penting lagi. Mahu ubah pemikiran bahawa less is more dan mahu hidup seadanya. Tak beli baju baru atau sepatu baru.

Pada fasa hidup sekarang, saya mahu ‘kaya’ teman, ‘kaya’ knowledge, ‘kaya’ pengalaman dan berkat. Apa guna berhabisan untuk nampak sesuatu yang kelihatan grand dan kaya serta barang super mahal tapi kalau jiwa dan hati kita kosong?” tegasnya.
Dari apa yang diperkatakan Luna, pasti ramai memahami bahawa selebriti ini semakin rasa lebih tenang dengan kehidupan yang tidak terlalu menonjol dan mewah. Bagi Luna, dia lebih bahagia apabila dikelilingi insan tersayang, harta yang diberkati dan pengetahuan berguna. Jika dihitung kekayaan milik Luna, sudah tentu dia mampu memiliki lebih daripada apa yang dinikmati sekarang namun wanita cantik ini memilih untuk bersederhana kerana sudah puas dengan segala yang dimiliki sebelum ini.
Kredit foto: Instagram Luna Maya
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Umur 23 Tahun Sambung PhD, NAZIRAH NASIR Pelajar Pintar & Ikut Jejak Langkah Bapa Tersayang!

Nur Nazirah Md Nasir bukan hanya seorang wanita cantik tetapi juga bijak dan berilmu. Meniti usia 25 tahun, adik bongsu kepada Anzalna Nasir ini mendapat perhatian peminat pelakon jelita tersebut kerana kepintaran yang dimiliki. Bahkan sebelum ini, Anzalna pernah berkongsi kejayaan Nazirah di media sosial miliknya yang memaparkan keputusan cemerlang ‘4 flat’ Nazirah pada setiap semester.
Merupakan graduan kelas pertama Bachelor of Biomedical Science dari Segi University, pencapaian Nazirah dalam bidang akademik nyata bukan calang-calang. Selepas berjaya menamatkan pengajian tersebut, dia kemudian mendapat tawaran mengikuti pengajian PhD di Universiti Malaya (UM).
Dalam usia muda dan dapat ‘fast track’ sambung PhD, bukan semua orang mampu lakukan macam Nazirah. Memang bijak orangnya! Barangkali personaliti ini terinspirasi dengan kejayaan dan ikut jejak langkah bapa tersayang yang menyambung pelajaran hingga mampu bergelar Profesor.


Bapanya, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sejak November lalu hingga 30 Oktober 2023.
Nazirah yang lahir pada 7 Julai 1997 di Montreal, Kanada, sah bergelar isteri kepada Umar Annuar pada Ogos 2020. Dia yang mesra menyambut panggilan Nona baru-baru ini terbuka berkongsi perkembangan terkini dan kisah kehidupan mereka lima beradik di samping didikan kedua-dua ibu bapa.
Mengakui segan ditemu bual Nona memandangkan dia bukan individu terkenal, namun demi untuk memberi inspirasi Nazirah akhirnya akur. “I’m currently pursuing a postgraduate degree at University Malaya. Rutin harian saya sama seperti kaum isteri lain yang perlu sediakan segala keperluan suami dan memasak sebelum pergi ke pejabat.
Kemudian, saya akan selesaikan semua kerja-kerja di rumah dan there are days when I’ll be at the Laboratory doing benchwork or at home finishing up some paperwork.”
Tambahnya sejak berstatus isteri, dia harus bijak menyesuaikan masa untuk pengajian dan suami. “Tak dinafikan saya perlu tahu bagaimana untuk menguruskan masa dengan sebaiknya. Saya akan pastikan ada masa untuk suami, keluarga, mentua, kawan dan juga diri sendiri. Begitu juga masa untuk ‘berada’ dekat dengan Allah SWT. Dia adalah sebaik-baik perancang.
Bercerita soal kerjaya, saya mengimpikan untuk berkhidmat di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Selain sesuai dengan minat dan bidang pengajian yang saya ambil, saya juga mahu memberi sumbangan melalui apa yang sudah saya pelajari. Seterusnya membawa perubahan lebih baik kepada masyarakat.”
Ditanya ketegasan ibu bapa dalam mendidik mereka adik-beradik membuatkan Nazirah mampu berjaya sampai ke tahap sekarang, wanita cantik ini berkata dia bersyukur kerana ibu bapa tidak pernah beri tekanan. Sebaliknya, sentiasa menyokong minat dan kemahuan anak-anak.

“Sejujurnya, cara didikan ibu bapa saya terhadap kami adik-beradik bukanlah tahap tegas yang melampau. Mereka mendidik kami dengan penuh kasih sayang dan tidak pernah paksa untuk kuat belajar. Sebaliknya mereka memberi anak-anak ruang untuk memilih haluan yang kami mahu.
Kesannya, cara tersebut sangat membantu saya bukan saja dari segi pelajaran tetapi juga kehidupan. Mereka memahami saya dan adik-beradik yang lain. Tidak pernah sesekali membanding-bandingkan kami dengan orang lain dan saya amat bersyukur dikurniakan ibu bapa sebaik mereka.
Mereka juga selalu mengingatkan saya supaya buat perkara yang saya suka dengan sepenuh hati dan mendidik kami adik-beradik agar menghormati serta berbuat baik kepada semua orang. Good manners are important.”

Mengulas usia perkahwinan yang bakal mencecah dua tahun, Nazirah tanpa berselindung memberitahu dia bersyukur kerana memiliki seorang suami yang penyayang dan cukup memahami. Menjawab keistimewaan suami di matanya, ini jawapan jujur Nazirah.
“Dia ialah suami dan lelaki terbaik di mata saya. Tak dinafikan, dia selalu manjakan saya dan sangat mengambil berat. Bukan saja terhadap diri saya tetapi juga keluarga. Sikap suami yang ringan tulang dan rajin bantu menguruskan kerja-kerja di rumah menyenangkan saya.
Sepanjang hampir dua tahun hidup bersama, kami akan pastikan walau sesibuk mana pun kami tetap ada masa untuk solat berjemaah sekurang-kurangnya sekali sehari. Bagi saya, solat membuatkan kita berasa tenang dan dapat fikir lebih rasional.
Dalam perkahwinan juga perlu saling memaafkan. Jangan terlalu memperbesar atau panjangkan isu perselisihan faham yang berlaku dalam rumah tangga.”
Kredit foto: Instagram Nazirah Nasir
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Minda & Sikap Saya On & Off. Tak Suka Bawa Masalah Politik Balik Rumah”-DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI

Figura bapa disifatkan sebagai seorang hero kepada anak-anaknya. Lelaki yang menjadi pelindung dan membuatkan si anak rasa selamat di sisinya. Tular di media sosial baru-baru ini apabila wajah Timbalan PM, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan sedikit berbeza apabila muncul di kaca TV menerusi Buletin Utama, menyaksikan mata beliau yang kelihatan sedikit bengkak dan lebam.

Malah dalam posting Instagram milik Timbalan Perdana Menteri itu 2 minggu lalu, beliau lebih banyak mengenakan kaca mata hitam. Tidak gelabah dengan spekulasi yang dilemparkan, anak sulungnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan tenang tampil menjelaskan bapanya mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan.
“Saraf mata dia tak function (berfungsi). Sebab tu mata dia jadi ‘jatuh’. Buat muka buat apa, bukan super star pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata, kena la buat sesuatu. Tapi biasalah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” tulisnya membalas komen netizen di Instagram.
Bukan itu sahaja, Nurulhidayah menjelaskan bahawa sebagai ahli politik, ayahnya perlu kuatkan semangat dan tetap bertugas demi rakyat dan negara walaupun sakit kerana ayahnya memikul satu tanggungjawab besar yang diamanahkan.
Nurulhidayah berkata bapanya masih dalam proses pemulihan dan tidak berehat lama selepas pembedahan mata. Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Zahid bercuti selama dua minggu.
Nona bertandang ke kediaman Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid atau Datuk Nurul pada awal Mei lalu sambil ditemani bapanya secara eksklusif, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tiada kasih sayang yang lebih besar daripada kasih sayang ibu bapa terhadap permata sulungnya. Anak pertama yang mendidik kita erti keluarga bahagia dan menjadi harapan menjaga adik-beradik yang lain. Selain ibu dan isteri, anak perempuan sulung juga cinta hati sebenar seorang insan bergelar bapa.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bukan mudah untuk mengatur temu janji apatah lagi dengan kepadatan jadual beliau dalam pelbagai urusan pentadbiran negara.
Namun demi memenuhi permintaan Nona yang ingin mendekati keperibadian Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang bapa, segalanya bagai dipermudahkan. Keluar daripada limelight sebagai ahli politik, NONA menyelami kasih sayang seorang bapa dalam diri pemimpin nombor dua negara ini.

KEPADATAN JADUAL
Pada usia menjangkau 70 tahun, Dato’ Seri Ahmad Zahid jujur mengakui sukar membahagikan masa untuk keluarga terutama sekali sebagai bapa untuk anak-anak tersayang.
“Sejak 1 Oktober 1987, saya akui berlaku ketidakadilan untuk anak-anak sepanjang saya bergiat aktif dalam politik secara sepenuh masa. Ketika itu saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan.
Tapi Alhamdulillah isteri, anak-anak dan cucu-cucu faham. Yang penting, sebagai seorang bapa dan datuk, saya perlu bijak bahagikan masa untuk mereka. Mungkin masa tidak panjang, tapi saya manfaatkan masa tersebut sebaik mungkin bersama-sama,” ujar Dato’ Seri Ahmad Zahid memulakan bicara.
Kata bapa kepada 5 cahaya mata itu lagi, keperibadian dirinya banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Raden Hamidi Abdul Fatah yang menjadi role model kehidupannya.
Klik: https://www.nona.my/video/kita-buat-apa-yang-allah-suka-datuk-nurul-zahid/
“Tak seperti anak-anak lain yang dapat selalu berjumpa bapa setiap hari, saya pula kurang bernasib baik. Sebaik menamatkan persekolahan darjah enam, saya ‘melangkah keluar rumah’ untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya sehingga menamatkan pengajian di universiti. Tetapi arwah bapa merupakan seorang guru agama yang tegas dalam mendidik anak-anak. Dalam ketegasan itu, penuh sifat kasih sayang.
Saya masih ingat kenangan ketika ‘mengubah suai’ motor yang beliau gunakan untuk pergi mengajar. Tanpa background mekanikal, saya dan adik overhaul motor tersebut.
Bila arwah tahu, kami kena marah tapi itulah momen yang tak boleh saya lupakan,” imbau beliau sambil tersenyum mengingati momen bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun, 9 tahun yang lalu.
PANGLIMA KELUARGA
Sering dilabel sebagai individu lantang di media sosial, sosok Datuk Nurul Zahid sememangnya menjadi sebutan apabila timbul isu berkait dengan bapanya. Melihat keakraban dua beranak ini sepanjang sesi fotografi berlangsung, tidak hairanlah mengapa kedua-duanya mempunyai bonding yang kuat dan menyokong antara satu sama lain.
Melihat kesibukan jadual tugas sang bapa, Datuk Nurul Zahid mempunyai pandangannya tersendiri. Beliau menyifatkan sudah menjadi lumrah seorang bapa untuk mencari rezeki untuk keluarga. Justeru, wanita hebat ini cukup mengagumi pengorbanan lelaki bergelar bapa di mana-mana sahaja.
Klik: https://www.youtube.com/watch?v=OW5TjnpT-8Q

“Sebenarnya Abah selalu berlaku adil pada kami. Kalau bukan ahli politik pun, Abah tetap akan sibuk dengan kerjaya. Jadi sebagai ‘panglima’ keluarga, saya akan ke depan untuk menjaga air muka dan maruah keluarga kami. Saya ambil pendekatan saya sendiri yang lebih mengetahui tentang keluarga serta tak endah dengan kata-kata orang,” akui Datuk Nurul Zahid tanpa berselindung.
Ketika ditanya tentang penglibatan anak perempuan sendiri dalam dunia politik, sebagai seorang bapa, Dato’ Seri Ahmad Zahid mempunyai pandangan yang tersendiri.
“Saya tak galakkan Nurul masuk politik, tapi tak juga melarang. Malah saya juga selalu melarang dia daripada bersusah-payah mempertahankan diri saya. Biarkan masyarakat melihat realiti sebenar. Bagi saya, yang penting realiti politik yang sangat dinamik dan tiada batas sempadan. Kebebasan media perlu ada etika,” tutur si bapa sambil melirik anak kesayangan yang mesra disapa Kak Long dalam keluarga itu.
Tambah Dato’ Seri lagi, sempena Aidilfitri lalu, ramai yang datang memohon maaf pada beliau secara terbuka, mungkin kerana terlajak mengatanya secara terang-terangan tanpa perasaan.
“Maka sempena sambutan Aidiladha ini, saya maafkan semua. Asalkan tak buat lagi,” pinta Dato’ Seri Ahmad Zahid yang turut mengambil pendekatan memaafkan lebih besar ertinya dalam kehidupan.
Ketika ditanya mengenai perangai mereka yang saling mempengaruhi satu sama lain, dua beranak ini rupa-rupanya mempunyai persepsi yang tulus mengenai perwatakan yang banyak mempengaruhi keperibadian keluarga ini.
“Minda dan sikap saya on & off… Saya tak suka bawa masalah politik balik ke rumah dan sebaliknya. Alhamdulillah saya dapat tidur dengan lena. Saya tak fikirkan masalah,” ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid.
“Pada pandangan saya pula, Abah merupakan seorang yang pandai reset perasaan. Dia sangat profesional terutamanya dari segi emosi. Saya juga banyak mengikut cara Abah dari segi priority hidup. Utamakan apa yang penting dalam kehidupan iaitu mak, abah, suami dan keluarga,” balas Datuk Nurul Zahid.

Generasi berganti, harapan Datuk Nurul Zahid sebagai seorang anak ini mencuit perasaan.
“Abah sudah menjangkau usia 70 tahun. Kalau boleh saya nak Abah hidup tenang dan habiskan sisa hidupnya di samping anak-anak. Kami adik-beradik boleh berbakti untuk Mak dan Abah.
Seandainya Allah bagi ujian Mak atau Abah sakit, saya sendiri akan berkorban menjaga mereka hingga ke akhir hayat. Sebab bagi saya, tak guna jika kita ada harta di dunia tapi tak boleh berbakti dan beri kasih sayang pada ibu bapa.
Saya tahu dari segi harta, Abah boleh cari sendiri. Apa sahaja Abah dan Mak boleh cari sendiri. Tapi kasih sayang anak memang Abah dan Mak tak boleh cari di mana-mana. Dan saya juga tak boleh dapat Abah atau Mak seperti itu kerana mereka tiada galang gantinya,” akhiri Datuk Nurul Zahid seraya mengakhiri perbualan.
TEKS: ROSMAH IDAYU ABU SAMAH @rosmahidayu_as
FOTO: NURUL AKMAR AZIMI @ownakmarazimi
SOLEKAN: AYANG KAMELL @ayangkamell
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


