Berkongsi Rezeki Ramadan, Pempengaruh ALIEFF IRFAN Dan Isteri Hadiahkan Kereta Buat ‘Pakcik Grab’

Tular baru-baru ini di media sosial seorang pakcik yang berusia gigih melakukan kerja penghantaran makanan atau Grab yang dikongsikan oleh seorang netizen. Kegigihan warga emas tersebut mencari rezeki walau dalam keadaan ‘bongkok’ dan uzur nyata menyentuh hati para netizen.

Isteri kepada Youtuber terkenal Alieff Irfan iaitu Bella turut menyatakan dia tersentuh hati dengan perkongsian tersebut. Dalam video tersebut, jelas memaparkan seorang lelaki warga emas tetap gigih mencari rezeki meskipun sudah berusia dan berada dalam keadaan ‘uzur’.

Atas dasar mengasihani keadaan pakcik tersebut, pemilik nama Nurul Nabilah Aliah Hamzan yang juga isteri kepada pempengaruh Alieff Irfan itu bertindak menghadiahkan sebuah kereta dengan tujuan memudahkan pakcik tersebut melakukan sebarang aktiviti harian termasuk mencari rezeki.

“Jadi, Bella membuat keputusan di bulan puasa yang mulia ini, Bella nak kongsi rezeki, hadiahkan pakcik sebuah kereta untuk raya. Jadi pakcik dah boleh bergerak dengan kereta lebih selesa dan selamat. Tapi apapun, pakcik tetap kena jaga diri,”ujarnya.

Sementara itu, Bella juga turut sempat berkongsi  perkembangan terkini keadaan pakcik tersebut yang memaklumkan, doktor tidak menyarankan pakcik berkenaan untuk menunggang motosikal atas faktor kesihatannya yang kurang mengizinkan.

“Pakcik ni sakit belakang, jadi doktor sarankan tidak galakkan bawa motor dah…Saya doakan semoga pakcik disihatkan tubuh badan dan murah rezeki.. harap raya ni pakcik akan lebih happy. Terima kasih atas perjuangan pakcik selama ni,” tulisnya lagi.

Melihat pada ruangan komen di Instagramnya, ramai pengikut menitipkan rasa kagum dan terharu dengan keikhlasan Bella dan Alieff menyantuni warga emas tersebut.

Semoga mencurah-curah rezeki Alieff dan Bella.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

Share
Published by
Wan Firdaus