Berlesung Pipit & Bertudung Bawal, TAN SRI TENGKU MAIMUN Wanita Pertama Jadi Ketua Hakim Negara!

Selain kelibat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi tumpuan rakyat kebelakangan ini, sosok wanita bertudung bawal merah jambu ini juga mencuri perhatian ramai dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Ke-8 yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara semalam. Yang pasti, beliau bukan calang-calang orang kerana beliau ialah Ketua Hakim Negara!

Pasti orang Kelantan cukup bangga apabila mengetahui Ketua Hakim Negara ini sebenarnya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Lebih manis, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mencipta satu lagi sejarah negara apabila menjadi wanita pertama dilantik jawatan berkenaan. Meskipun kecil molek saja orangnya tapi kebijaksanaan Tan Sri Tengku Maimun mengendalikan hal berkaitan perundangan tidak perlu dipertikai lagi.

Awal Mei tahun lalu, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dijemput ke Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Suratcara Pelantikan serta Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Hakim Negara.

Mengimbas kembali momen penting itu, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke istiadat berkenaan. Turut kelihatan dalam upacara tersebut ketika itu ialah Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kredit: Instagram Istana Negara

Anggun berbusana tradisi baju kurung rona cerah dan bertudung bawal polos, Tan Seri Tengku Maimun tenang menandatangani surat pelantikan. Begitu juga ketika mengangkat sumpah jawatan.

Beliau diberi kepercayaan menjadi Ketua Hakim Negara selepas Tan Sri Richard Malanjum bersara pada 12 April tahun lalu. Pelantikan Tan Sri Tengku Maimun berkuatkuasa serta-merta mulai awal Mei lepas.

Mengintai latar belakang Ketua Hakim Negara yang berusia 60 tahun ini, Tan Sri Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan pernah memegang jawatan seperti Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen, Peguam Persekutuan dan Penolong Kanan Pendaftar serta Pegawai Khas kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau merupakan siswazah lulusan Universiti Malaya yang memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 1982.

Memetik infomasi dari Bernama, pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 Tan Sri Tengku Maimun merupakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kemudian beliau dilantik menyandang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama hampir empat tahun bermula 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.

Pada April tahun yang sama hingga 7 Januari 2013, Tan Sri Tengku Maimun pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang berkhidmat selama hampir lima tahun bermula 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018.

Tidak hanya terhenti di situ, Tan Sri Tengku Maimun turut menerima pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya mulai 26 November 2018 hingga 1 Mei 2019 sebelum diangkat sebagai wanita pertama dilantik selaku Ketua Hakim Negara.

 

 

 

 

Sumber: Astro Awani & Bernama

Share
Published by
Suzi