“Bagi saya sebagai yang nombor dua kita perlulah mempunyai sikap bertolak ansur dan hormat kepada isteri pertama kerana mereka sudah berkongsi kasih,” Dato’ Nurulhidayah.
Jika bertanya kepada sesiapa sahaja di dunia, pasti mereka tidak mahu berkongsi kasih. Biarlah bercinta, bernikah dan berakhir dengan hanya berdua tanpa kehadiran orang yang ketiga.
Namun siapalah kita sebagai manusia untuk melawan takdir-Nya. Andai sudah tertulis di luh mahfuz itu adalah rezeki yang diberikan, segala persiapan menghadapi pahit dan manis kehidupan berkongsi harus ditelan.
Hanya mereka yang melalui akan memahami situasi ini, aduh manisnya bermadu! Inilah sebahagian daripada imbasan, perkongsian Dato’ Nurulhidayah dan Datin Bahazanariah sewaktu Majalah Nona berbual bicara bersama mereka pada awal perkahwinan 2017 lalu.
Alhamdulillah kegembiraan dan kesejahteraan keluarga ini masih dapat di lihat di sosial media milik kedua-dua wanita hebat ini.
Ramai sudah mengenali ahli perniagaan dan juga personaliti televisyen, Dato’ Nurulhidayah binti Ahmad Zahid Hamidi, anak sulung kepada Dato’ Seri Ahmad Zahid. Nona pun sebelum ini sudah beberapa kali menampilkan ceritanya di dalam lembaran majalah.
Namun tiada siapa yang mengenali lebih dekat Datin Bahazanariah binti Baharudin, wanita manis molek yang menerima Dato’ Nurulhidayah sebagai madunya, lebih manis kalau di gelar ‘adik’.
URUSAN HATI
Umum mengetahui Dato’ Nurulhidayah telah bernikah dengan Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff secara rasmi pada penghujung bulan Jun, 2017 di kota suci Mekah. Pasangan ini dinikahkan sendiri oleh Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ibunya Datin Seri Hamidah Khamis turut menyaksikan penyatuan itu.
Apabila Dato’ Nurulhidayah memuat naik gambarnya di laman sosial Instagram, ramai yang terkejut memandangkan status beliau sebagai isteri kedua. Majlis tersebut turut diraikan bersama oleh isteri pertama Dato’ Saiful iaitu Datin Bahazanariah.
Lembut membahasakan dirinya sebagai kakak, Datin Bahazanariah berkata, “Saya tidak melihat ini sebagai satu masalah sebenarnya. Kerana saya sudah kenal dengan suami sejak kami berumur 15 tahun lagi.
Bayangkan dari itu sehingga kami mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, saya sudah percaya kepadanya 200 peratus. Tiada rasa ragu atau pun muncul perasaan khuatir terhadap suami. Lagipun sebagai seorang muslim kita harus belajar menerima takdir.
Kalau kita memberontak dan menentang itu seperti kita melawan takdir Allah. Saat dia berhasrat memperisterikan Dato’ Nurulhidayah saya sendiri yang memberikan kebenaran tanpa sebarang halangan. Cuma ketika itu saya berasa takut akan keselamatan suami memandangkan Dato’ Nurulhidayah merupakah seorang anak kepada orang kenamaan.
Lagipun saya tidak terlalu kenal dengan Dato’ Nurulhidayah ketika itu. Namun setelah berkenalan dengan lebih dekat, barulah diri ini yakin. Ternyata ‘adik’ saya ini mementingkan perasaan saya dan tidak mengambil keputusan terburu-buru. Buktinya dia sendiri yang mahu berjumpa saya dan tidak merahsiakan perkahwinan.”
Bagaimana boleh meletakkan kepercayaan 200 peratus kepada suami? Dan bagaimanakah penerimaan anak-anak terhadap perkara ini? “Bukankah itu perkara yang harus kita lakukan apabila berumah tangga? Suami isteri seharusnya tidak menyimpan rahsia dan bersikap telus antara satu sama lain.
Saya yakin suami tidak akan mengabaikan kami anak beranak walaupun sudah berkahwin dengan Nurul kerana sepanjang perkahwinan kami dia merupakan seorang ayah yang terbaik, mustahil dia akan mengabaikan kami anak beranak. Alhamdulillah kini hampir empat bulan perkahwinan antara suami dan juga Nurul semuanya berjalan dengan baik.
Kalau bercerita tentang anak-anak mereka semua sudah matang sebenarnya, yang lelaki mereka lebih bersikap terbuka cuma anak perempuan saya ketika dikhabarkan tentang perkahwinan ayahnya dia seperti tidak dapat menerima namun lama kelamaan sesudah berkenalan dengan ibu baru mereka, tiada lagi rasa yang negatif.
Bahkan kami sering melakukan aktiviti bersama seperti menyaksikan perlawanan bola dan bercuti ke luar negara bersama-sama.” Menurut Datin Bahazanariah (kakak) dan Dato’ Nurulhidayah (adik), anak-anak masing-masing memanggil mereka dengan gelaran mak dan thethe (dede).
Beralih pula kepada Dato’ Nurulhidayah. Bagaimana boleh berkenalan dengan Dato’ Saiful dan bilakah berputiknya rasa cinta itu? “Saya rasa untuk menyatakan berputik rasa cinta tidak terlalu tepat kerana saya sendiri seorang yang berprinsip tidak mahu berkahwin dengan suami orang.
Perkenalan saya dengan suami atas dasar kerja. Kami bersama-sama terlibat dalam bidang perniagaan dan selalu berkongsi pendapat Ketika suami menyatakan hasratnya untuk mengambil saya sebagai isteri yang sah. Saya memang terkejut, sangat terkejut! Sudahlah dia memang beristeri, saya sendiri pun takut kerana ibu saya seorang yang sangat pantang apabila wanita lain mengambil suami orang.
Jadi apabila perkara ini terjadi kepada saya memang kaget. Tetapi melihat suami yang bersungguh-sungguh, saya memberikan syarat supaya pertemukan saya dengan isterinya yang pertama. Mula-mula memang rasa cemas, tapi bila dah kenal ternyata kami ‘sekepala’.
Apabila kakak sudah meyakinkan saya, kemudian tiba giliran untuk memberitahu ibu pula. Apabila menerangkan keadaan ini, ibu mahu berjumpa dengan kakak dan alhamdulillah selepas pertemuan tersebut segalanya berjalan lancar dan saya mendapat restu kedua orang tua,” jelas Dato’ Nurulhidayah.
Bagi Datin Bahazanariah puila, “Bila Nurul memberitahu yang ibunya iaitu Datin Seri Hamidah mahu berjumpa dan menjemput datang ke rumah, memanglah gemuruh dibuatnya. Namun bila sudah bertemu segala-galanya berubah, Datin Seri sangat peramah orangnya dan membuatkan rasa gugup itu hilang, tiba-tiba muncul pula Datuk Seri Ahmad Zahid terus terkejut dan gugup dibuatnya.
Namun apa yang boleh saya simpulkan di sini hubungan kami sebagai madu amat telus dan tiada langsung perasaan yang berbolak balik atau menyimpan rasa. Alhamdulillah saya menerima kehadiran Nurul sebagai satu keluarga,” ujar Datin Bahazanariah jujur.
Memang tidak dinafikan lagi keakraban dua wanita ini. “Anak-anak saya amat gembira apabila saya berkahwin lagi kerana kini bermakna mereka memiliki seorang ‘bapa’ dan selain itu mereka juga turut mempunyai abang dan kakak.
Hubungan antara mereka adik beradik cukup baik. Kalau bercakap soal saya dan kakak, kami berdua selalu keluar bersama sebagai contoh malam tadi kami menonton perlawanan bola sepak bersama-sama. Memang kecoh habis! Sampai suami pun terdiam melihat keterujaan kami.
Boleh dikatakan, kami memang gemar aktiviti-aktiviti luar dan kalau nak tahu kami juga suka ke karaoke bersama. Bagi saya aktiviti-aktiviti ini merapatkan lagi hubungan kami supaya utuh sebagai satu keluarga,” jelas Dato’ Nurulhidayah.
EMOSI
Seringkali kita dengar tentang kes cerai berai dan juga kes madu sama madu bergaduh besar mengalahkan perang dunia kedua. Bermacam-macam kes yang terjadi, masing-masing tidak mahu kalah dan masing-masing cuba menjatuhkan sesama sendiri. Apabila menemu bual dua wanita yang berada di dalam situasi yang sama, penulis begitu teruja mendengar jawapan mereka.
Mendengar soalan yang diajukan Dato’ Nurulhidayah segera menjawab, “Bagi saya dalam sesebuah perkahwinan itu, kejujuran amat penting. Saya sendiri sebelum ini amat pantang dengar lelaki yang beristeri dua.
Namun setelah melaluinya saya faham mengakui bahawa perkahwinan akan menjadi berkat sekiranya si suami jujur. Seperti saya, kakak sendiri yang datang merisik saya dan menyarungkan cincin di jari. Kerana sewaktu suami melamar saya, syarat yang saya kenakan adalah kakak perlu tahu perkara ini.
Alhamdulillah penerimaan yang ditunjukkan oleh kakak menjadikan saya seorang insan yang bersyukur. Berbalik soal madu yang bergaduh dan bermasam muka seperti yang banyak terjadi kini.
Bagi saya semuanya disebabkan oleh perasaan hasad dengki yang kuat. Yang nombor dua tidak mahu menghormati yang nombor satu malah saling berlawan untuk membuktikan siapa yang lebih baik dan lebih cantik.
Bagi saya sebagai yang nombor dua kita perlulah mempunyai sikap bertolak ansur dan hormat kepada isteri pertama kerana mereka sudah berkongsi kasih. Namun hendak menyalahkan isteri semata-mata pun tidak adil. Suami perlu mengamalkan sikap terbuka dan berterus terang. Perkara yang tidak seperti madu bergaduh ini terjadi kerana suami ada yang menyembunyikan perkahwinan dari isteri pertama.
Perkahwinan ini membuatkan saya berada di landasan yang betul. Suami dan kakak membuatkan saya bersikap lebih matang dari segala segi termasuklah hal agama. Saya bersyukur kerana menerusi penyatuan ini kami saling melengkapi.”
Bagaimana pula dengan Datin Bahazanariah? Apakah pendapat datin mengenai perkara ini? “Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Nurul. Suami harus bersikap terbuka dan jangan berselindung dengan isteri pertama. Sepanjang pengalaman bermadu ini boleh saya katakan ia adalah satu rahmat dan memberikan banyak nilai positif di dalam kehidupan saya kini.
Kalau nak tahu sebelum suami berkahwin dengan Nurul saya jarang boleh meluangkan masa dengan ibu atau untuk diri sendiri kerana sibuk menguruskan suami serta anak-anak. Apabila suami berkahwin lagi semestinya dia harus mengikut sistem giliran. Jadi apabila dia meluangkan masa bersama Nurul saya secara automatik boleh melakukan segala aktiviti bagi mengisi masa yang ada.
Paling menggembirakan saya boleh meluangkan masa lebih banyak dengan ibu saya sendiri dan sekarang saya mula ke kelas tajwid untuk belajar membaca Al-Quran dengan lebih lancar dan baik. Alhamdulillah ini adalah satu nikmat sebenarnya,” ujarnya.
Nasihat terbaik daripada mereka kepada semua wanita diluar sana, “Bermadu bukanlah pilihan yang diingini oleh wanita, suami perlu bersikap bertanggungjawab. Kepada si isteri pula jangan sesekali suka membandingkan antara satu sama lain. Jika selalu berperasaan sebegini maka syaitan menjadi orang ketiga yang menyemai perasaan benci.”
This website uses cookies.