Gaya Hidup

Bermenantukan Selebriti, SHEILA RUSLY Tak Pernah Letak Syarat Asalkan Anak-Anak Happy!

Sebut saja Sheila Rusly perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah raut wajahnya yang tegas dan kepakarannya memasak. Terkenal dengan watak-watak antagonis ketika awal pembabitan dalam dunia lakonan, kini segala penat-lelah Sheila Rusly terbalas apabila dia mampu meletakkan pesona dirinya sebagai satu ‘branding’ dan mempunyai nama besar dalam industri seni tanah air.

Sepanjang 36 tahun menceburi bidang seni Sheila yang lahir pada 18 September 1971 tidak sekadar menjadi pelakon. Malah dia juga penerbit, pengarah, pemilik syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd dan usahawan yang disegani ramai. Tidak cukup itu Sheila turut dilantik duta produk Maggi selama beberapa tahun.

“Buat masa sekarang saya masih sibuk dengan program Maggi dan alhamdulillah dah tujuh tahun kami berkolaborasi. Maggi ni dah macam family saya, we are like partners yang bukan saja kongsi rezeki tapi juga kongsi resipi.

Dalam masa sama bila tak ada recording saya akan fokus balik dengan skrip untuk mega drama bertajuk Nikah Cerai Rujuk di Astro Ria. Tak tahu lagi bila mega drama ni akan disiarkan.

Kami akan mula shooting lepas Elisya bersalin dalam bulan Julai. Syukur, mega drama Ratu Tenpin 2 pun dah habis shooting,” ujar isteri Azman Haji Yahaya atau lebih dikenali sebagai Jinggo.

Enggan bermegah dan mendabik dada dengan kejayaan yang diraih, Sheila ketika ditemui sewaktu sesi fotografi penghias Nona Jun 2022 sebenarnya seorang personaliti yang mesra dan merendah diri. Meskipun masa penggambaran dia sedang berpuasa enam Syawal namun figura ini tetap komited memberikan yang terbaik.

Begitu juga menantu kesayangan, Elisya Sandha yang hadir menjayakan edisi Hari Ibu kali ini di samping ibu mentua. Tengah sarat mengandung pun masih ceria dan bersemangat memenuhi pelawaan. Patutlah dua anak seni ini mampu bertapak kukuh dalam industri sebab masing-masing berdisiplin dan profesional dalam kerjaya!

KEHADIRAN MENANTU
Sheila yang selamat menerima menantu pada 21 Ogos tahun lalu tanpa berselindung mengakui kehidupannya lebih harmoni sejak kehadiran Elisya Sandha. Lebih manis, menantu Sheila ini bergelar anak seni dan berstatus selebriti.

Ditanya reaksi apabila bermenantukan artis, pengusaha The Dim Sum Place ini tidak menganggap ia satu masalah.

“Saya tak kisah dan tak pernah memilih nak menantu bukan selebriti atau selebriti popular level international. Saya tak meletakkan apa-apa harapan pun. Pada saya, yang penting anak-anak happy. Bukan saya yang happy tapi anak-anak yang happy. Bila itu pilihan Haq, saya terima sebab saya nak anak saya happy.

Anak takkan selama-lamanya dengan kita. Dia kena ada hidup dia sendiri dan kita kena hidup dengan orang yang dia sayang dan cinta. Bukan orang yang kita suka. Anak saya pernah cakap, dia takkan kahwin dengan perempuan lain kecuali Elisya Sandha.

Bila saya meredakan perkahwinan mereka, saya rasa itu satu benda besar yang saya buat sebab ini adalah titik permulaan kehidupan dia.

Jujurnya bila anak bawa Elisya ke rumah, saya macam tak percaya. Bila dengar nama belakangnya Sandha, saya tahu dia adik Fasha Sandha. Masa datang rumah Elisya masih sekolah dan tak berlakon lagi. Dia tunggu dalam kereta dalam sejam tak keluar-keluar sebab takut.

Saya yang dalam rumah dengar enjin kereta tapi pelik kenapa dia tak masuk. Dah agak mesti dia nervous. Iyalah saya dari umur 15 tahun banyak berlakon watak antagonis. Mungkin sebab aura tu, sampai orang sekeliling takut nak tegur termasuk Elisya.”

Bakal bergelar nenek tidak lama lagi, Sheila yang popular dengan program Ketuk-Ketuk Ramadan teruja timang cucu sulung kelak. “Saya tak pernah meletakkan bila sekian tahun Haq dan Elisya perlu ada anak. Memang tak pernah bincang pun. Cuma saya pernah cakap kalau Allah bagi, terima. Jangan kacau perancangan Allah.

Kalau Allah kata itu yang terbaik untuk dapat anak awal, just terima rezeki. Tak anggap ia seawal ini tapi bila berlaku, sudah tentu saya happy. Saya tak control hidup anak-anak. Apa yang saya buat ialah saya observed dan kalau ada rasa tak betul, saya tegur. Mereka lebih tahu perjalanan macam mana yang dipilih, saya terima dan saya mendoakan yang baik-baik.”

Ujar Sheila, dia bersyukur Allah kurnia seorang menantu yang bukan hanya cantik tetapi juga pandai mengambil hati. “Sekarang ni susah nak dapat menantu yang betul-betul rajin masuk dapur. Memang susah nak cari perempuan pada umur Elisya ni yang rajin untuk turun dapur masak. Masak ni tak boleh paksa, dia kena ada kemahuan sendiri.

Saya harap Elisya jadi anak menantu yang baik, isteri baik kepada suami, jadi ibu dan anak yang baik. Jangan lupa di mana kita bermula sebab di situ kita akan berakhir.”

IBU MENTUA
Tertawa mengimbas detik pertemuan pertama dengan ibu mentua, Elisya berkata dia mula tahu Uzair Haqimy anak Sheila Rusly selepas sebulan mereka berkenalan dan berkongsi perkara tersebut dengan kakaknya, Fasha Sandha.

“Angah beritahu mama Sheila ni garang tapi hati dia baik. Memang nervous masa first time jumpa tapi saya tahu apa saya nak dan saya tahu kenapa saya ada di situ. Saya dan Haq kenal sejak zaman sekolah lagi.

Waktu tu saya baru 16 tahun dan Haq dah masuk kolej. Tapi kami belum masuk industri yang sama. Kami pertama kali jumpa di restoran dan tak tahu pun dia anak Sheila Rusly. Sampailah dah sebulan kenal each other baru tahu status dia.”

Bercerita keistimewaan suami tercinta di matanya, anak bongsu daripada enam beradik ini membongkar rahsia. “Di mata saya, dia seorang lelaki family oriented. Dia lelaki yang sangat jaga keluarga dan sayang mak dia. Dari situ, saya percaya Haq boleh jaga saya sampai bila-bila.”

Mengulas lanjut peribadi ibu mentua yang tidak diketahui ramai, aktres berusia 23 tahun ini mendedahkan sikap sebenar wanita bernama Sheila Rusly berkenaan.

Sheila di samping ibu Elisya Sandha

“Orang mungkin nampak mak mentua saya macam garang. Tapi sebenarnya dia sangat penyayang. Di luar dia nampak garang tapi dia sangat baik hati. Mama Sheila seorang yang straight forward dan cakap lepas.

Orang tak nampak sisi dia yang penyayang, suka masak dan pemurah sebab suka bawa makanan pergi set. Jadi benda-benda macam tu sebenarnya bagi saya sangat sweet. Dalam masa sama, saya terinspirasi dengan sikap ibu mentua tentang macam mana dia jaga family, suami dan didik anak-anak.

Semua tu saya tak boleh dapat di luar sana tapi boleh dapat daripada mak mentua sebab dialah yang banyak mengajar saya. Mama ni sangat tenang. Apa yang orang nak cakap pasal dia, dia tak kisah. Itu juga antara yang saya kagum dengan sikap mama.”

 

Solekan : Tiar Zainal (Sheila Rusly) / Jijie Zainal (Elisya Sandha)
Dandanan Rambut : Emma Mustafa
Busana : Larney
Lokasi : The Ascott Kuala Lumpur @discoverasrmalaysia

Share
Published by
Suzi