DALAM KEPAYAHAN, TERSELIT KEKUATAN. DI SEBALIK SENYUMAN DAN TAWA, TERSIMPAN 1001 KISAH SUKA DAN DUKA WAHIDA ISMAIL DALAM MENGEMUDI EMPAYAR PERNIAGAANNYA. DENGAN SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH PADAM, TERBUKTILAH MANA-MANA WANITA PUN MAMPU UNTUK GAPAI IMPIAN WALAUPUN SESUKAR MANA KEADAAN.
Dari Tumpat, Kelantan ke Jerantut, Pahang, kisah kejayaan pengasas (GB) Glowing Beauty, Wahida Ismail cukup memberikan inspirasi. Dengan lambakan produk-produk kecantikan di pasaran, (GB) Glowing Beauty hadir menawarkan solusi utama untuk wanita dengan rangkaian produk penjagaan kulit yang berkualiti tinggi dan dipercayai.
Dengan pengalaman meniaga selama 15 tahun, kini ibu kepada empat orang cahaya mata ini boleh berbangga dengan statusnya. Dari seorang suri rumah, seterusnya peniaga kecil-kecilan dan kini bertaraf jutawan, membuktikan bahawa usaha keras dan tidak tunduk pada dugaan pasti mencipta kejayaan. Lahir dalam keluarga yang aktif berurus niaga nyata memberikan kelebihan buat dirinya dalam bidang perniagaan, lantas digunakan sebaik mungkin.
“Saya bersyukur dikurniakan seorang ibu sebagai contoh tauladan untuk saya memahami selok-belok perniagaan. Ibu saya Puan Sri Rohaya juga merupakan seorang pengusaha produk kosmetik di Brunei mengasaskan jenama Sri Cosmetics,” ujar Wahida membuka bicara.
Kata pepatah, ‘Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ serta ‘Berlian tetaplah berlian, walau dicampaklah di mana-mana saja,’ itulah kata-kata nasihat yang selalu disebut-sebut bapanya, Encik Ismail yang berjiwa besar malah dianggap antara pencetus motivasi dan rujukan utama buat dirinya melangkah pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan menekankan bahawa usaha dan ketekunan kelak membuahkan hasil walau di mana dirinya berada.
Dengan tekad yang membara, Wahida memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah ke rumah kemudian menjual pelbagai produk di pasar malam demi menyara anak-anaknya ketika itu.
“Alhamdulillah, Allah akhirnya menemukan saya dengan suami. yakni tulang belakang saya Tuan Wan Azini, seorang bekas anggota polis yang membawa sinar kebahagiaan dalam hidup saya selain membuka peluang rezeki yang tidak terduga.”
Walaupun ketika itu dirinya berstatus janda dengan dua orang anak, suaminya sentiasa memberikan sokongan dan dorongan untuk meneruskan cita-citanya. Dalam tempoh yang penuh cabaran ini, Wahida dan suaminya nekad untuk membina kehidupan yang lebih baik. Meskipun suaminya juga menghadapi kesulitan akibat digantung kerja, mereka berdua nekad bersatu mengharungi liku-liku hidup sehinggalah tertubuhnya (GB) Glowing Beauty.
Sebelum mula menapak dalam bidang perniagaan, Wahida hanyalah seorang ibu yang terpaksa mengikat perut demi memenuhi keperluan harian. Terjebak dalam belenggu hutang Ah Long serta ceti haram sehinggalah terpaksa mengorek baki syiling untuk membeli susu anak akibat kesempitan hidup nyata tidak mematahkan semangatnya sebaliknya, ia menjadi pengajaran berharga yang mendorongnya untuk bangkit.
Kehidupan mereka berubah 360 darjah apabila Wahida memutuskan untuk memulakan (GB) Glowing Beauty pada tahun 2016. Dengan hanya bermodalkan RM500 pemberian suami tercinta, Wahida bermula dengan harapan. “Bayangkan ketika itu, media sosial tak digunakan secara meluas, hanya ada Facebook saja.” Namun, berbekalkan kemesraan dan kepetahan Wahida berbicara, dari seorang seorang rakan di Facebook bertukar menjadi pelanggan tetap produknya.
Percaya semua wanita berhak untuk tampil menawan luar dan dalam, (GB) Glowing Beauty lahir daripada keinginan pengasasnya menawarkan produk kecantikan yang terbukti berkesan. Dengan bahan-bahan utama seperti kunyit, sarang burung dan retinol, Wahida berpegang kepada prinsip bahawa kualiti adalah keutamaan, itulah yang membezakan (GB) Glowing Beauty dengan produk lain di pasaran.
“Malah saya berbangga dengan produk kami menjadi yang pertama di pasaran memperkenalkan bahan Alpha Arbutin ketika itu, menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang mementingkan kecantikan dan kesihatan kulit,” ulas Wahida dengan bangga.
Sejak dilancarkan, (GB) Glowing Beauty telah menerima sambutan hangat daripada pengguna, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara. Produk mereka telah dipasarkan ke Brunei, Bangladesh, Indonesia, dan Thailand. Dan kini, Wahida mempunyai visi yang lebih besar untuk (GB) Glowing Beauty.
Bercita-cita untuk memasarkan produk ke lebih banyak negara dan mempunyai kilang serta wisma sendiri, matlamat Wahida adalah untuk melahirkan lebih ramai pengasas berstatus jutawan, terutama dari kalangan wanita khususnya suri rumah. Baginya, kejayaan tidak bermakna jika tidak dapat dikongsi dengan orang lain dengan harapan mengubah hidup mereka dan meningkatkan ekonomi keluarga. “Saya tidak mahu berjaya seorang, tetapi ingin melihat ramai wanita lain berjaya bersama saya,” katanya penuh semangat.
Dan kini Wahida mengakui teruja di mana selepas 10 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan serta melakukan penyelidikan dan uji kaji dalam bidang kosmetik dan kecantikan kulit, (GB) Glowing Beauty bakal mengeluarkan produk Go Green terbaru yang dipertingkatkan, Glow Skin yang berasaskan tumbuhan asli dan semula jadi. Misi Wahida mudah, agar lebih ramai wanita menggunakan produk dengan ramuan yang selamat untuk mendapatkan kulit yang sempurna tanpa perlu waswas.
Wahida juga percaya bahawa reda suami adalah keutamaan bagi dirinya sebagai seorang isteri, kerana reda Allah terletak pada reda syurganya itu. Bagi Wahida, setiap wanita jangan takut mencari kebahagiaan sendiri sambil tidak melupakan impian dan cita-cita.
Dalam situasi sukar yang dihadapi, Wahida turut akui bahawa setiap kritikan dan kecaman adalah peluang untuk dirinya berkembang sebagai seorang usahawan. “Saya menghargai setiap detik hitam yang dilalui. Dahulu kami dikecam dek kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk meniaga sampaikan ramai leader dan rakan-rakan yang menjauhkan diri.
Namun saya bersyukur Allah hadirkan insan-insan hebat yang sentiasa berada di sisi saya, susah mahupun senang pasukan GB Fighter banyak berjasa dalam misi perniagaan ini. Jadi saya percaya andai tiada tekanan, kita tidak akan berubah, belajar dari kesilapan dan mengetahui betapa luasnya langkah kita boleh ambil untuk mengambil tindakan,” ujar Wahida yang mengagumi keperibadian Rasullullah SAW malah menjadikan Dato’ Seri Vida dan Bonda Rozita sebagai idolanya.
Jadi apa pula nasihat Wahida kepada wanita-wanita di luar sana yang nekad mahu mengubah nasib dengan meniaga. “Jangan mudah berputus asa. Allah tak akan mengubah nasib seseorang melainkan hambanya sendiri. Jadi, teruskan berusaha kerana saya percaya usaha tidak akan mengkhianati hasil. Dan yang paling penting, jangan sesekali tinggalkan solat.”
Menerusi (GB) Glowing Beauty, Wahida bukan sahaja telah mencipta jenama yang diiktiraf, tetapi juga satu legasi yang memberi inspirasi buat semua. Dengan setiap peluh dan darah yang dicurahkan, dia membuktikan bahawa kecantikan sejati terletak pada hati yang ikhlas dan tidak kenal erti mengalah. Walaupun perjalanannya masih panjang, Wahida Ismail nekad berjuang demi mencapai impian dan membantu lebih ramai wanita menempa kejayaan.