Gaya Hidup

Bermula Hanya Menjadi Pemandu Pelancong Di Jeju, KINA OMAR Kini Giat Usahakan Rangkaian Bisnes Pelancongan Di Sana

Bangga rasanya bila lihat kejayaan anak-anak tempatan khususnya di luar negara. Buktinya mereka ini punya jati diri yang kuat di samping usaha dan keyakinan tinggi demi menggapai impian. Adi Sakinah Omar atau Kina punya kisah tersendiri di Jeju yang menjadi pencetus semangat dan kejayaannya hari ini.

Dalam usia 29 tahun Kina bergelar Pengarah di syarikat Jeju Muslim Travel manakala suaminya, Muhd Syafiq Idris bertanggungjawab sebagai CEO. Jeju Muslim Travel dimiliki oleh Kina dan suami. Mereka juga mengusahakan bisnes Kereta Sewa Jeju di mana suami Kina adalah pengasasnya. Pasangan ini memiliki seorang anak berusia 10 bulan iaitu Amir Yaaqub Muhd Syafiq.

JATUH CINTA DENGAN JEJU

“Pada tahun 2014, saya melancong ke Jeju bersama dua rakan. Waktu itu kami masih bujang. Tiba di Jeju, saya terus jatuh cinta dengan keindahan Jeju. Ketika itu saya baru habis degree dan dalam usaha mencari tempat untuk sambung Master di Korea. Akhirnya saya dapat melanjutkan pengajian peringkat Master jurusan Art & Design di Jeju National University.

Sepanjang bergelar pelajar, untuk menampung hidup di sana macam-macam kerja saya buat seperti mengajar bahasa Inggeris, ambil upah lukis inai, jadi personal shopper sampailah saya mulakan Jeju Muslim Travel.

Saya dan suami berkahwin ketika saya sedang menuntut di Jeju. Memandangkan saya masih belajar kami menetap di sana. Suami berhenti kerja dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap bisnes pelancongan kami yang baru bermula ketika itu.

Ramai yang mesej saya di Instagram dan Facebook bertanyakan tip travel ke Jeju. Maka saya pun dapat idea untuk menjadi pemandu pelancong. Dari situlah saya bermula sebagai supir Jeju. Sepanjang menjadi supir saya banyak belajar tentang bisnes pelancongan. Setelah beberapa bulan kami mula menjual pakej lengkap. Maka tercetuslah Jeju Muslim Travel.

Syukur, sambutan sangat baik dari semasa ke semasa. Bermula hanya 8 pelanggan sebulan sampailah mencecah 250 pelanggan sebulan. Jeju Muslim Travel berjaya menarik minat AirAsia untuk membuka direct flight ke Jeju. Jeju Muslim Travel satu-satunya syarikat pelancongan Malaysia berdaftar dan berlesen dengan Jeju Tourism Organization.

Beberapa bulan sebelum AirAsia buka direct flight ke Jeju sebenarnya kami dah tahu berita itu terlebih dulu. Jadi kami buat persiapan awal. Saya dan suami sama-sama mencari idea bagaimana untuk menarik pelanggan yang tak berminat untuk menempah pakej pelancongan. Suami cadangkan untuk sewakan kereta maka tercetuslah bisnes Kereta Sewa Jeju. Alhamdulillah permintaan kereta sewa tak pernah putus. Setiap bulan kian ramai yang menempah.

The Muslim Travel Company pula syarikat baru kami yang akan dibuka ke negara-negara lain serata dunia. Permintaan pelanggan amat tinggi terutama dari Jeju. Jika tiada aral, The Muslim Travel Company akan bermula tahun ini. Antara destinasinya Turki, Iceland, New Zealand, Australia dan Balkan.”

MOMEN TERINDAH BERSAMA SUAMI

“Detik itu ialah ketika bisnes kami baru bermula. Pagi-pagi kami akan naik kereta menuju ke hotel untuk ambil pelanggan. Saya bawa satu group pelanggan, suami pula bawa group pelanggan yang lain. Selalunya kami akan ke tempat-tempat lawatan yang sama, rasa macam sambil bekerja sambil dating.

Saya rindukan momen itu, seronok bila dapat berjalan dan bekerja dengan suami setiap hari. Kini syarikat kami menerima lebih 2 ribu pelanggan setiap tahun, pekerja pula seramai 10 orang. Tanggungjawab dan bebanan kerja pun lebih besar.

Sepanjang menetap di luar negara banyak perkara baru saya belajar seperti budaya, bahasa, survival skill dan communication skill. Dapat belajar lebih banyak tentang diri sendiri, menjadi lebih sabar, berani, berdikari dan tak mudah putus asa. It makes me learn all the time and all those learning make me a better person every day.”

TIP PERCUTIAN KE JEJU OLEH KINA OMAR

  1. Bawa wang USD jika mahu menukar wang di Jeju kerana semua money changer di Jeju tidak menerima mata wang Ringgit.
  2. Jika anda tak berniat untuk ambil pakej pelancongan, disarankan untuk menyewa kereta kerana pengangkutan awam di Jeju tak semudah di Seoul. Tempahan kereta sewa perlu dibuat 2-3 bulan awal, jangan last minute. Setiap pemandu WAJIB ada International Driving Permit.
  3. Rancang perjalanan anda. Dicadangkan 1 hari di East Jeju, 1 hari di South Jeju, 1 hari di West Jeju dan 1 hari di North Jeju. Kira-kira 4 hari diperlukan untuk jelajah Jeju selengkapnya.
  4. Bagi yang menyewa kereta ketika musim sejuk, lihat dulu ramalan cuaca 2-3 hari sebelum bertolak. Jika Jeju akan bersalji ketika trip anda, sewa snow chain dari syarikat kereta sewa.

Kredit Foto: Instagram Kina Omar

Share
Published by
Amy Mohd