Ilmu penjagaan kulit yang diminati menjurus kepada idea mengatur empayar bisnes sendiri, lalu terciptanya Dermalene yang kini menjadi sebuah jenama gah mempelopori solusi kesihatan kulit wanita moden hari ini.
“Jika dulu kecantikan dilihat dari segi cerahnya kulit, mancungnya hidung dan rampingnya tubuh badan, kini ia kian subjektif. Kecantikan wanita terletak pada personaliti masing-masing dan ‘how you age gracefully’. Walau semua orang akan berumur, kita berhak untuk merasa cantik dari luar dan dalam”, ujar Dr. Alina membuka bicara.
Pertama kali memandang, jelas di mata memang anggun dan mulus kulit wajahnya. Padanlah dengan siapa gerangan pemilik nama Alina Hasni Mohamad Rashid ini. Memiliki rangkaian klinik penjagaan kesihatan kulit Dermalene yang semakin popular, Dr. Alina akui sedari awal, mengubah transisi dari sekadar berkongsi perihal kulit kini kepada perusahaan sendiri tidak semudah disangka.
Memulakan karier sebagai pegawai perubatan pada tahun 2010 selepas menamatkan pengajian dari Russian State Medical University, di Moscow. Enggan berpuas hati, dilanjutnya lagi pengajian Master dalam bidang Clinical Dermatology dari Cardiff University dalam pada masa yang sama meneruskan latihan dalam kampus d University Hospital of Wales, di mana diperakui salah satu universiti terbaik dalam dalam bidang dermatologi.
Dermalene bermula dari sebuah halaman FB yang sekadar berkongsi ilmu kulit, kerana tidak mahu terlalu selesa Dr. Alina akhirnya mengambil keputusan drastik untuk keluar dari ‘circle’ rakan niaganya lalu berazam menubuhkan perniagaan sendiri, “Dermalane, hasil dari gabungan ilmu perubatan kulit Dermatologi dan nama saya Alina, yang memfokuskan bukan sahaja kecantikan tetapi kesihatan kulit”.
DUNIA KECANTIKAN HARI INI
Perihal kecantikan tak sama jika dibandingkan zaman dahulu dengan era kini. Sebelum ini, andai timbulnya sebutir jerawat mahupun parut di muka sudah cukup meresahkan, namun wanita zaman kini dilihat lebih terbuka menerima ketidaksempurnaan.
Jelas Dr. Alina, “Kini kita boleh melihat wanita dengan tenangnya menerima bintik-bintik di wajah, garisan penuaan yang semakin nyata kerana sudah wujudnya teknologi terkini yang dapat menawarkan solusi segera” Malah, masalah wanita sekarang bukan lagi tentang masalah penjagaan wajah, namun lebih kepada pengurusan masa dan penjagaan kesihatan mental.
“Cabaran wanita zaman sekarang adalah lebih kepada bagaimana mereka membahagikan masa antara kerja dan peribadi. Ekoran itu, tekanan atau peringkat stres sentiasa berada dalam keadaan tinggi, dan sudah semestinya hal ini tidak bagus untuk kesihatan tubuh badan mahupun kulit untuk jangka masa panjang. Dan di sinilah Dermalene berfungsi.
Bertindak sebagai Skin Life Partner atau Rakan Kulit Anda, produk dan servis Dermalene adalah untuk membantu mereka yang kurang masa terluang, dan mahukan pelan pengurusan kulit jangka masa panjang untuk kulit mereka. Penjagaan kulit bukan sesuatu yang bersifat intensif tapi juga bersifat konsisten.”
Jadi apakah nasihat ulung Dr. Alina untuk wanita di luar sana berhubung perihal menjaga kecantikan kulit dan kesihatan wajah? “Protect first, then beautify. Jaga kulit dulu, baru pakai mekap. Skin first, make-up second”, ujarnya ringkas.
TIDAK TUNDUK PADA CABARAN
Wanita anggun yang hobinya mendengar audio siar, melukis dan menulis ini ternyata petah berkata dan manis kala berbicara. Mungkin darah keturunan Arab yang mengalir dari dalam dirinya membuatkan dirinya sangat mudah didekati. Ketika sesi pengambaran, walau jarang beraksi di hadapan kamera, namun setiap lagak yang kami inginkan, nyata disampaikan dengan begitu baik sekali.
Apa cabaran awal yang dihadapi ketika Dermalene mula ditubuhkan, soal penulis menyambung bicara. Mengakui tidak mahir dan kurang berkemahiran di awalnya, siapa menyangka beliau sendiri pernah terpaksa menanggung kerugian dek beranggapan ilmu kulit dan ilmu menguruskan perniagaan sama dan tiada bezanya.
“Antara cabarannya adalah dari segi menguruskan manusia, from partners to team members. Awalnya saya membuka bisnes untuk membantu dalam menyediakan rawatan kulit tetapi saya lupa bahawa ilmu kulit dan ilmu bisnes adalah dua ilmu yang berbeza yang memerlukan saya untuk ‘berguru’ dan belajar lebih mendalam.”
Namun mujurlah, dirinya tersedar dari bayangan dan bangkit mengubah pandangan. “Dengan ada pembimbing bisnes seperti Tuan Sahar dan Ibu Hanim, Dermalene berjaya diselamatkan dari kerugian selepas diperkukuhkan dengan asas-asas yang penting dalam bisnes seperti ‘cost structure’ dan juga ‘the big why’”.
Jika kata orang, di sebalik kejayaan lelaki ada wanita dibelakang, situasinya tidak jauh beza bagi jelas ibu kepada 3 orang cahaya mata ini. Mensyukuri kelibat suami yang tetap berada di sisi jatuh dan bangunnya, Dr. Alina mengakui teman sehidup dan sematinya itu banyak membantu dalam memberikan sokongan dan dorongan.
“Selepas pandemik, suami saya Zarif yang juga seorang akauntan ketika itu sanggup menamatkan kariernya pada pertengahan 2022 demi bersama-sama saya menerajui Dermalene”. Impaknya, mereka berdua memberanikan diri untuk membuka sebuah lagi cawangan di Bangi.
Dan sehingga kini, tiga buah lagi cawangan Dermalene kini dalam perancangan untuk dibuka iaitu di Setapak, Ampang dan Johor Bharu. Dermalene kini memiliki enam buah cawangan keseluruhan termasuk sebuah cawangan licensing di Kota Bharu. Harapan kami adalah untuk membuka 50 cawangan keseluruhan dalam Malaysia”, jelas Dr. Alina yang menginspirasikan Mrs Estee Lauder, pengasas syarikat gergasi Estee Lauder.
“Menerusi Dermalene, in a long term saya memasang impian untuk melahirkan pasukan pakar dermatologi terbaik untuk menyertai saya dalam membantu membina institut kulit kebangsaan Malaysia untuk kulit orang Malaysia pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
Namun apa pula pandangan Dr. Alina apabila berhadapan dengan stigma wanita yang memegang gelaran CEO tidak akan bertahan lama, yang akhirnya merujuk kepada lelaki jua. “Semestinya saya tidak bersetuju. Mana-mana perniagaan sekalipun, baik diterajui lelaki mahupun wanita, keluarga dan sistem sokongan yang bagus adalah kunci utama kejayaan sesebuah bisnes. Tidak kira jantina, tugas hakiki seorang CEO adalah untuk menyelesaikan masalah, bermula dari masalah utama kepada masalah di sekeliling. Apabila ia mampu diselesaikan, wujudkan sistem untuk menyelesaikan masalah yang sama”.
Jadi Dr. Alina boleh dikira bak superwomen, apatah lagi perlu membahagikan masa antara bisnes, keperluan diri dan keluarga. Tergelak kecil dengan pendapat penulis, Dr. Alina sekeras-kerasnya menafikan pendapat penulis tadi.
“Superwomen sebenarnya tidak wujud. Give me an example of any women who have everything under control? Kalau ada, memang saya kagum. We are all imperfect beings; the only way forward is to try our best to achieve perfection. The pursuit of being under control”
Jadi apa agaknya rahsia kejayaan yang dipegang selama ini. “Get the right people on board. Perlu sentiasa meneroka potensi dalam diri dan belajar dari yang pakar. Percayakan staf seliaan anda. Kita harus akui kita tak boleh ke hadapan seorang diri. Kita kena belajar bagaimana hendak menguruskan staf dan jangan hanya fikirkan diri sendiri sahaja”, jelas Dr Alina mengakhiri perbualan.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.