Sedar tak sedar sudah 9 tahun Siti Azwani Abu Bakar mengusahakan perniagaan kereta mewah ini bersama-sama suaminya. Seronok melihat kejayaan yang dikecap oleh wanita cantik ini bila berkecimpung dalam perniagaan kereta mewah. Sememangnya tak ramai wanita yang menceburi bidang ini.
Bermula dengan sikap suaminya suka tukar beli kereta jadi pencetus kepada pasangan sama cantik sama padan ini memulakan perniagaan ini.”Bisnes kereta ni saya usahakan bersama-sama dengan dengan suami. Kami berdua terjebak dalam perniagaan ini secara tak sengaja. Dulu suami dan mentua suka sangat tukar dan beli kereta. Jadi boleh dikatakan tiap tahun nak beli kereta baru.
Waktu tu saya dan suami sama-sama masih bekerja di syarikat keluarga mentua. Jadi bila dah minat kereta, suami terfikir untuk mengusahakan sendiri perniagaan kereta. Akibat asyik beli kereta, jadi lebih jimat kalau boleh beli sendiri,” bicara wanita yang berusia 37 tahun ini.
CABARAN
Membina syarikat sendiri sudah tentu banyak cabaran yang terpaksa diharungi oleh wanita yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini. “Ketika di awal-awal dahulu memang banyak cabarannya. Dengan tak ada ilmu, modal dan Approved Permit (AP) pun tak ada, terpaksa guna orang lain punya. Kami memang bermula dari zero,” terang wanita yang mesra disapa Meme Wani ini tentang cabaran awal memulakan perniagaannya dahulu.
Walaupun sudah berjaya dalam bidang yang diceburi namun wanita ini tetap merendah diri. “Masih banyak perkara yang saya kena belajar lagi. Saya banyak belajar melalui pengalaman. Saya belajar sendiri, sambil buat kerja tu sambil belajar,” ujar Meme yang gembira apabila berjaya mendapat AP sendiri pada tahun 2019.
Sebagaimana ahli perniagaan lain, Meme juga tidak terkecuali terkesan dek pandemik COVID-19 ini. “Serangan pandemik COVID-19 ini menyebabkan usahawan termasuk saya melalui saat sukar. Ini disebabkan tiada jualan,” katanya.
KECANTIKAN
Melihat kecantikan milik ibu kepada 4 orang anak ini, terlintas untuk bertanya petua kecantikannya. “Saya percaya kecantikan itu bermula dari dalam diri. Saya amalkan minda positif. Kena sentiasa fikir positif tentang apa sahaja. Sebab bila minda negatif akan membuatkan aura tak bagus untuk diri. Kemudian akan timbul stres, tak boleh tidur malam dan sebagainya.
Selain itu saya wajib cuci muka, 2 kali sehari. Saya tak pernah lupa pakai sunblock dan krim pelembap. Kalau nak kulit wajah yang cantik kena rajin belai kulit. Produk memang membantu tapi pokok pangkal berbalik pada diri. Bagus macam mana sekali pun produk itu kalau tak amalkan takkan bagi hasil yang baik,” terang ibu kepada Natasya, 18 tahun, Qistina, 15 tahun, Haseev, 10 tahun dan Hazeeq, 3 tahun.
Beli Tanah Untuk Bina Tahfiz Buat Golongan Susah, Pengasas SHALICIOUS Kejar Keberkatan Berniaga
Siapa sangka dalam usia 25 tahun, anak jati Kota Bharu Kelantan ini sudah pun bergelar usahawan muda yang bukan calang-calang. Tak sekadar di Malaysia, perniagaannya turut menguasai pasaran Indonesia secara sah dan kini dalam proses ke pasaran Brunei dan Singapura. Selain produk kesihatan dan kecantikan, dia juga memiliki beberapa cabang perniagaan lain yang membantu orang ramai khususnya warga kampung dalam menambah pendapatan mereka.
Boleh dikatakan kehidupannya kini lebih selesa dan mewah. Melihat kepada tahap kejayaannya itu tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa gelaran jutawan itu sudah dalam genggaman. Kematian bapa dan berasal dari keluarga susah menjadi titik tolak kepada kebangkitan usahawan cantik ini.
Di kala anak muda seusianya sedang enjoy dengan dunianya, ibu kepada seorang anak ini gigih membina legasi perniagaannya, Shalicious bersama suami tercinta, Al Hafiz Zakaria. Kenali pengasas produk kesihatan berdaftar, Wan Nur Siti Aisyah Wan Hasan yang mesra digelar Sha Hasan.
“Saya berasal dari keluarga susah, arwah ayah dulu peniaga jalanan hanya buka gerai tepi jalan. Kami memang hidup susah. Ayah meninggal ketika saya berumur 10 tahun. Bermula saat itulah ibu terpaksa bekerja seorang diri untuk menyara kami sekeluarga. Tak sanggup tengok kepayahan ibu saya nekad nak berjaya dan ubah nasib keluarga.
Sejak dari sekolah lagi saya suka berniaga. Apa saja rasa nak jual saya jual. Bukan saja di sekolah rendah malah sekolah menengah juga. Bila dah habis SPM saya dapat sambung belajar peringkat matrik di Negeri Sembilan dan juga universiti tapi saya memilih untuk belajar di kampung saja iaitu Kota Bharu, Kelantan.
Ikutkan keluarga tak galakkan saya berniaga sebab nak saya ada kerja tetap, boleh ubah nasib keluarga. Tapi saya tetap teruskan berniaga sambil belajar. Sebab itulah saya pilih sambung belajar di kampung sebab dekat dengan rumah dan mudah nak berbisnes. Pelajaran tetap keutamaan saya sebab tak nak kecewakan harapan keluarga terutama ibu.
Saya berbisnes sampailah umur 18 tahun. Makin lama makin tak menang tangan dibuatnya. Mulalah saya ponteng kelas, tak sempat nak masuk kelas sebab kerap nak kena COD dan sebagainya. Ketika itu saya betul-betul struggle bina jenama Shalicious. Saya berusaha sungguh-sungguh sehinggalah setahun selepas itu saya dapat membina Wisma Shalicious.
Kini saya ada beberapa cabang bisnes tetapi personal branding dan marketing daripada saya sendiri hanyalah Shalicious. Wismanya di Kelantan dan ada second branch HQ di Bangi. Selain di Malaysia, Shalicious juga telah masuk ke pasaran Indonesia secara sah. Kini dalam proses nak masuk ke pasaran Brunei dan Singapura pula seterusnya ke negara-negara lain, Insha-Allah.
Best seller product ialah suplemen yang dianugerahkan Top Ten Asia Award tahun 2019 untuk high quality product kategori health and beauty. Terdapat 3 jenis suplemen iaitu Mixberry Powder dan NV Colly Beauty Secret, Glowee Oat serta skincare C-Shine Serum dan C-Shine Cleanser.
Sepanjang bergelar usahawan, saat paling memberi kesan kepada saya antaranya yang berlaku pada tahun 2018. Masa tu saya ada berpuluh-puluh orang staf dan bisnes pun bagus waktu itu. Namun tiba-tiba Allah SWT uji, saya kehilangan staf sekaligus dalam satu masa. Bila masuk pejabat, semua staf dah tak ada sebab berhenti secara serentak kerana telah ‘disailang’ oleh kawan sendiri yang kononnya nak membantu kita.
Kesannya, saya terpaksa berjumpa pakar psikologi kerana terlalu tertekan. Memang betul-betul depression dan ambil masa yang lama untuk pulih dan terpaksa bergantung dengan ubat. Saya juga ambil masa yang lama untuk move on.
ASET PERTAMA DIMILIKI
Aset pertama yang saya beli ialah tanah dan dirikan bangunan. Saya memang ‘gila’ beli tanah. Kalau ada sesiapa yang nak jual tanah murah-murah di Kelantan saya akan beli. Tapi saya akan tengok dulu ikut kesesuaian dan harganya. Bagi saya itulah aset paling bernilai sebab kita boleh buat macam-macam. Selain buat bisnes, bolrh generate more money.
Reward terbesar selepas berjaya capai target ialah selain dapat beli apa yang diimpikan, saya dapat mengeluarkan zakat secara konsisten dan membantu beberapa tahfiz serta kampung-kampung yang saya pegang untuk berikan sumbangan kepada ratusan keluarga asnaf. Itulah reward sebenar bagi saya. Tahun ini kami telah membeli tanah untuk membina tahfiz buat golongan kurang berkemampuan untuk hantar anak belajar agama.
Suami adalah tulang belakang utama saya selama ini. Terlalu banyak pengorbanannya untuk diceritakan. Selama saya bergelar usahawan, suamilah banyak membantu. Kami sama-sama usahakan bisnes ini dan pada masa sama suami pun ada bisnesnya sendiri. Dia tahu minat dan impian saya dalam bidang kecantikan terlalu besar. Sewaktu saya diserang depression, suamilah yang uruskan anak dan rumah. Suami tak pernah mengalah dan menyalahkan. Suami seorang yang sangat sabar dan support apa saja yang saya buat selagi ia tidak salah.
Semasa depression, saya terpaksa makan ubat setiap kali nak tidur. Suami pastikan saya tak terlalu berfikir yang bukan-bukan. Dia jugalah yang jaga anak, siapkan makanan dan uruskan hal-hal pejabat. Paling sedihnya bila suami dah tak tahu nak buat apa, dia pernah bawa saya ke sebuah kampung di Kelantan sebab dia tahu saya suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Di situ ada lebih 150 buah rumah dan keluarga asnaf yang memerlukan.
Kami pergi rumah ke rumah untuk berikan bantuan. Semuanya diuruskan oleh suami sebab nak saya bersyukur dan bangkit semula. Katanya ramai lagi orang yang memerlukan saya. Sejak itu saya mula terfikir jika kita diuji dengan hebat, ramai lagi orang yang diuji lebih daripada kita. Itulah tugas kita untuk berjuang demi mereka. Suami selalu cakap Allah SWT tak akan beri kejayaan atau kekayaan kalau bukan demi sebuah perjuangan.
KEKALKAN BISNES
Dengan keadaan ekonomi sekarang orang dah kurang membeli barang-barang tak perlu atau ikut kemahuan. Kini orang lebih memilih barang-barang keperluan antaranya essential product. Apa yang saya jual ialah dari segi keperluan. Suplemen yang membantu kesihatan dan kecantikan. Jadi nasihat saya. jangan menjual benda-benda yang bukan keperluan.
Sekarang pun orang dah kurang walk in lagi-lagi lockdown sekarang ni. Jadi kuatkan jenama di sosial media supaya orang sentiasa nampak dan tahu kita menjual keperluan yang setiap keluarga perlukan. Satu lagi, simpanan. Sekarang ini bukan masanya untuk kita membeli belah. Kurangkan membeli yang tak perlu dan lebihkan kepada simpanan. Atau boleh tukarkan kepada emas. Sekarang saya banyak tukarkan wang kepada emas sebagai persediaan masa depan.
Selain itu, saya dan suami juga ada backup business berkaitan keperluan harian dalam bidang makanan. Kami ada involve dalam bidang agriculture iaitu membekalkan ayam. Kami ada tanah 12 ekar yang dijadikan tempat memelihara ayam. Bisnes ni sebenarnya untuk bantu orang-orang kampung. Tak perlukan marketing sebab kami ada regular customer. Bila ekonomi merosot orang tetap akan makan dan beli ayam. Itulah plan kami kalau rasa dah tak boleh teruskan bisnes yang tidak memerlukan.
Jangan mudah mengalah dan jangan takut untuk mencuba kerana sampai bila pun kita tidak akan berjaya. Bila dah cuba jangan jadi orang yang mudah mengalah sebab setiap yang kita buat memerlukan proses. Bila tengok mereka yang dah berjaya tetap akan ada ujian. Teruskan dan percaya kepada proses. Bagi yang nak berjaya dalam bisnes, jangan ada banyak alasan. Kalau tak pecahkan ketakutan dan rasa malu, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat tengok potensi diri.
Saya dulu pun tak pernah terfikir akan jadi seperti sekarang. Tapi bila dah mula, percayalah kita nak buat more and more. Bila dah pecahkan tembok tu kita mesti nak try benda yang lebih besar dan mencabar. Ibarat dah addicted, jadi mulakan.
Saya berkahwin ketika umur 19 tahun. Umur 20 tahun dah ada anak. Awal-awal tu bila ada anak kecil saya pula sibuk dengan bisnes. Uruskan suami lagi, memang susah nak sesuaikan keadaan itu dengan kita yang muda. Memang tak sempat nak merasai kehidupan seorang remaja, enjoy dengan kawan-kawan. Memang tak pernah.
Dulu pernah cakap menyesal kahwin awal, start bisnes awal, tak ada kawan tapi suami selalu cakap suatu hari nanti saya akan faham dan bersyukur sebab Allah SWT dah tetapkan yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah kata-kata suami jadi kenyataan. Rasa berdosa sangat bila cakap begitu dulu. Bersyukur dengan apa yang Allah SWT beri. Dia tidak akan beri jika tak sesuai dengan diri kita. Allah SWT lebih kenal diri kita.
INISIATIF BUAT YANG TERKESAN
Inisiatif saya untuk mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ialah membuka bisnes tanpa modal di samping menggalakkan orang ramai untuk berbisnes. Saya ajar mereka cara nak buat bisnes dengan Shalicious.
Selain itu, saya turut beri bantuan kepada kampung-kampung dan sentiasa berhubung dengan Ketua Kampung. Selalunya saya sendiri yang akan turun memberi bantuan. Jika tidak, saya akan hantar wakil.
Mereka ini terdiri daripada suri rumah termasuk yang bekerjaya tetapi tak pernah buat bisnes. Memang sentiasa ada coaching daripada saya kerana kebanyakan mereka bergantung income dengan Shalicious. Berkat kesungguhan mereka mampu beli tanah, membantu keluarga dan membuat simpanan sendiri. Ikutkan produk Shalicious boleh masuk farmasi tetapi saya memilih untuk tidak lagi sebab nanti mereka yang bergantung income dengan Shalicious tidak boleh buat duit. Saya juga masih nak bekerja dengan mereka dan pada masa sama dapat bantu mereka menjana pendapatan.”
Kredit Foto: Instagram @shahasan22
7 Tip MUJAHADAH Buat Isteri Yang Ekstra Penat Puasa, Masak & Qiam, CONFIRM Tak Mengeluh
Sebagai seorang wanita menggalas tugas sebagai seorang isteri, ibu dan pekerja atau majikan dalam masa yang sama perlukan pengorbanan yang luar biasa. Wanita memang insan yang begitu istimewa dikurniakan semangat yang kental. Kehadiran Ramadan sedikit sebanyak menguji kesabaran dan keimanan dalam membahagikan antara keperluan dunia dan keperluan akhirat.
Memetik Program yang ke udara di ruangan IKIM.Fm dalam slot Tarbiyah Datuk Ustazah Norhafizah Musa berkongsi tajuk Mujahadah Ramadan. Mujahadah ini berlawan dengan kekuatan iman. Menurut Ustazah Norhafizah ketika menyambut Ramadan berbagai-bagai yang dirancang untuk meraih keberkatan Ramadan itu. Tapi bila saat melaksanakan perancangan tersebut ada satu faktor yang sangat besar yang menjadi punca berjaya atau tidak perancangan tersebut iaitu MUJAHADAH.
Sejauh mana kekuatan kita untuk melawan dengan hawa nafsu, menegakkan apa yang kita rancang, kita mampu menepis kebiasaan hawa nafsu yang sukakan keseronokan, kesenangan serta bermalas-malas. Kita perlu ubah dalam hari-hari puasa yang masih berbaki agar tidak menjadikan Ramadan ini sebagai rutin yang biasa sahaja.
Sebagai isteri dan ibu kena masak untuk berbuka masak dan bangun awal pagi untuk sahur pula. Memang penat tapi perlu titipkan elemen MUJAHADAH agar kita mampu melakukannya. Buat benda baik pasti akan timbul perasaan bermalas-malas, penat dan bertangguh. Sebab itu, mari kita menginsafi bahawa Allah SWT sedang menguji kita. Biar untuk 30 hari Ramadan kita letakkan ikhtiar perjuangan untuk melawan, mendidik dan menguruskan hawa nafsu itu dengan baik.
Allah menguji kita dengan cara yang sangat ihsan dengan kadar keimanan yang ada dalam diri kita. Kita kuatkan iman untuk melawan hawa nafsu ketika Ramadan. Baru beberapa yang berlalu, berapa markah kita? Begitu sukar untuk mendapat markah penuh. Kalau bab kita bersama anak-anak mahu markah yang tertinggi. Tetapi bila bab kita dengan Allah SWT terlalu berkira.
Ramadan Adalah Bulan Berdoa
Rasulullah SAW bercerita dengan Aisyah. Di malam Ramadan terdapat satu malam yang sangat istimewa iaitu Lailatul Qadar. Kalau kamu mahu bertemu malam ini, perbanyakan amalan kamu, banyak kan doa. Lalu Aisyah bertanya nabi, apa doa terbaik yang boleh minta. Lalu jawab Rasulullah doa yang terbaik adalah “Ya, Allah sesungguhnya Engkau Maha mengampunkan, dan suka mengampunkan dan ampunkanlah aku.”
Tip Mujahadah Di Bulan Ramadan
- Jangan lupa beban yang paling dahsyat adalah dosa kita sendiri. Jadilah orang yang berdoa kepada Allah SWT.
- Kita perlu berkawan dengan orang soleh, kita perlu sokongan daripada orang lain untuk melakukan ibadah.
- Kalau Ramadan tak boleh terawih dan tidak melakukan amalan sunat yang lain, sangat rugi. Cuba banyak bersedekah ketika Ramadan dan kekalkan seterusnya pada bulan-bulan yang lain.
- Kita perbanyakkan tidur pada waktu sahur sedang kan Allah SWT sedang menanti di mana hambaKu yang merintih merayu kepada Ku. Memohon keampunan. Kalau tanpa mujahadah memang semua tidak mampu.
- Nak bangun perlu berlawan dengan perasaan. Lakukan semua hanya kerana Allah SWT. Biar waktu sahur menjadi berharga dengan kita dengan beristighfar.
- Berlawan dengan hawa nafsu dengan gotong-royong dengan suami dan anak-anak. Minta pertolongan untuk sokongan mereka.
- Kita harus bangun kan ketika Ramadan dan dengan ihsan Allah SWT. Mari kita raih keberkatan Ramadan. Apa yang Allah SWT beri ini sangat luar biasa.
Cadangan: Kalau kita tak mampu mujahadah gantikan dengan menangis. Tak larat pergi terawih, gantikan dengan menangis. Kena ada rasa takut. Belajar menangis. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Bakat Lebih Menyerlah Di Luar Negara, Gaya Fesyen Headwrap MIN YASMIN Turut Jadi Ikutan Wanita Filipina
Namanya mungkin kurang mendapat perhatian umum serta tidak segah penyanyi-penyanyi tersohor tanah air yang lain biarpun sudah sekian lama bertapak dalam industri muzik tempatan. Biarpun terpaksa akur dengan hakikat itu namun jauh di sudut hati Min Yasmin atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz tetap bersyukur dan tidak pernah mengeluh kerana yakin rezeki Tuhan itu luas.
Buktinya, bakat anak jati Johor lulusan International Diploma in Beauty Therapy & Cosmetology London ini dipandang hebat oleh peminat muzik di Filipina. Ternyata, rezeki dan tuah Min Yasmin tidak salah alamat. Segalanya bermula apabila album duetnya bersama penyanyi Filipina, Nikki Bacolod berjudul 2 Voices mendapat sambutan luar biasa di negara tersebut. Ternyata bakat Min Yasmin bukan biasa-biasa kerana ia menerima penghormatan masyarakat luar.
SAMBUTAN LUAR BIASA
“Saya sendiri terkejut dengan penerimaan luar biasa dan penghormatan yang diberikan sehinggalah single berjudul Sa Iyo mendapat tempat di carta Top 10 selama empat bulan di stesen radio nombor satu Filipina. Mereka di sana lebih mengutamakan bakat berbanding rupa. Layanan juga terbaik. Maka, cara saya ‘membeli’ jiwa mereka adalah melalui nyanyian,” ungkap wanita berusia 29 tahun ini. Popularitinya di Filipina melebihi populariti di negara sendiri.
BUTIK JENAMA SENDIRI
“Saya bakal membuka butik pakaian Muslimah berjenama sendiri di Selatan Filipina memandangkan peminat-peminat saya di sana suka dengan penampilan dan apa yang saya pakai contohnya headwrap.
Butik ini tertelak di bangunan dua tingkat. Ruang butik terletak di tingkat atas manakala tingkat bawah ialah restoran makanan halal. Saya sememangnya dibesarkan dalam keluarga yang gemar berniaga.
Dari sudut nyanyian pula saya bakal mengeluarkan album berbahasa Melayu solo kedua berjudul Belum Lelah Setia. Kali ini saya mula berjinak-jinak dalam penghasilan lirik lagu. Saya bersyukur kerana suami banyak memberi tunjuk ajar untuk menjadi seorang artis yang versatil. Kami banyak berbincang demi kebaikan bersama.
Semoga perjalanan seni saya di Filipina berjalan lancar. Saya akan berusaha lakukan yang terbaik demi mengharumkan industri seni tanahair di mata dunia. Ini juga salah satu cara untuk saya ‘membeli’ jiwa peminat-peminat Malaysia,” luah Min Yasmin. AMY MOHD
Kredit Foto: Min Yasmin