Sedar tak sedar sudah 9 tahun Siti Azwani Abu Bakar mengusahakan perniagaan kereta mewah ini bersama-sama suaminya. Seronok melihat kejayaan yang dikecap oleh wanita cantik ini bila berkecimpung dalam perniagaan kereta mewah. Sememangnya tak ramai wanita yang menceburi bidang ini.
Bermula dengan sikap suaminya suka tukar beli kereta jadi pencetus kepada pasangan sama cantik sama padan ini memulakan perniagaan ini.”Bisnes kereta ni saya usahakan bersama-sama dengan dengan suami. Kami berdua terjebak dalam perniagaan ini secara tak sengaja. Dulu suami dan mentua suka sangat tukar dan beli kereta. Jadi boleh dikatakan tiap tahun nak beli kereta baru.
Waktu tu saya dan suami sama-sama masih bekerja di syarikat keluarga mentua. Jadi bila dah minat kereta, suami terfikir untuk mengusahakan sendiri perniagaan kereta. Akibat asyik beli kereta, jadi lebih jimat kalau boleh beli sendiri,” bicara wanita yang berusia 37 tahun ini.
CABARAN
Membina syarikat sendiri sudah tentu banyak cabaran yang terpaksa diharungi oleh wanita yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini. “Ketika di awal-awal dahulu memang banyak cabarannya. Dengan tak ada ilmu, modal dan Approved Permit (AP) pun tak ada, terpaksa guna orang lain punya. Kami memang bermula dari zero,” terang wanita yang mesra disapa Meme Wani ini tentang cabaran awal memulakan perniagaannya dahulu.
Walaupun sudah berjaya dalam bidang yang diceburi namun wanita ini tetap merendah diri. “Masih banyak perkara yang saya kena belajar lagi. Saya banyak belajar melalui pengalaman. Saya belajar sendiri, sambil buat kerja tu sambil belajar,” ujar Meme yang gembira apabila berjaya mendapat AP sendiri pada tahun 2019.
Sebagaimana ahli perniagaan lain, Meme juga tidak terkecuali terkesan dek pandemik COVID-19 ini. “Serangan pandemik COVID-19 ini menyebabkan usahawan termasuk saya melalui saat sukar. Ini disebabkan tiada jualan,” katanya.
KECANTIKAN
Melihat kecantikan milik ibu kepada 4 orang anak ini, terlintas untuk bertanya petua kecantikannya. “Saya percaya kecantikan itu bermula dari dalam diri. Saya amalkan minda positif. Kena sentiasa fikir positif tentang apa sahaja. Sebab bila minda negatif akan membuatkan aura tak bagus untuk diri. Kemudian akan timbul stres, tak boleh tidur malam dan sebagainya.
Selain itu saya wajib cuci muka, 2 kali sehari. Saya tak pernah lupa pakai sunblock dan krim pelembap. Kalau nak kulit wajah yang cantik kena rajin belai kulit. Produk memang membantu tapi pokok pangkal berbalik pada diri. Bagus macam mana sekali pun produk itu kalau tak amalkan takkan bagi hasil yang baik,” terang ibu kepada Natasya, 18 tahun, Qistina, 15 tahun, Haseev, 10 tahun dan Hazeeq, 3 tahun.
This website uses cookies.