Kagum melihat semangat juang wanita yang sudah tujuh tahun berniqab ini. Walaupun masih muda namum kejayaan milik Nurul Diana Mohd Pudzi bukan calang-calang. Memulakan perniagaan hanya bersandarkan alasan mahu menanggung kos sara hidup semasa di kolej telah menukar persepsinya dalam bidang yang penuh cabaran ini.
Wanita yang dilahirkan 28 tahun lalu ini benar-benar bersyukur dan megah dengan kejayaan miliknya kini. Menjadi pengasas produk kecantikan dan kesihatan bukan suatu angannya ketika kecil. Namun, aturan dari Yang Maha Esa adalah yang terbaik dan sebaik-baik Perancang.
“Saya bukan orang senang dan ‘degil’ untuk meneruskan pengajian di kolej. Setiap hari makan mi segera bukan suatu yang asing bagi saya ketika itu. Demi kelangsungan hidup sebagai pelajar saya perlu buat sesuatu dan timbul idea cuba menjual produk kosmetik.
Ketika itu saya langsung tak ada modal namun kuatkan hati dengan mengambil pre-order. Saya ‘jual’ di Facebook, orang order dan terus buat bayaran. Bayaran pelanggan itu saya guna untuk beli produk kemudian baharu dipos. Tak sangka dalam masa seminggu, saya dah mula ada ‘pendapatan’,” ujar wanita berkelulusan Diploma Perbankan Islam, Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor ini.
Walaupun ketika itu keuntungan yang dimiliki oleh wanita yang mesra di sapa Dian ini bukan besar, sekadar cukup untuk menampung kos sara hidupnya sebagai pelajar namun tak pernah lupa menghulurkan wang kepada mak ayah di kampung halaman. Mungkin ini yang dikatakan berkat ‘sedekah’ dengan mak ayah sendiri, rezeki akan mencurah-curah tanpa disangka-sangka.
“Saya meneruskan jualan ini sehingga ke semester akhir pengajian dan pendapatan tertinggi yang pernah saya terima mencecah RM20 ribu sebulan,” ujar ibu kepada dua orang anak ini yang gigih dan pantang menyerah.
Selepas menamatkan pengajiannya wanita ini nekad menghasilkan produk atas jenama sendiri. Bersandarkan pengalaman berniaga di atas talian maka lahirkan produk yang diberi nama Dianz. “Saya keluarkan produk topeng muka (mask).
Ketika itu topeng muka begitu popular sebagai produk penjagaan kulit. Saya mencipta kelainan sedikit dengan menghasilkan topeng muka berwarna ungu berbanding dengan topeng muka yang banyak di pasaran dengan warna putih dan hitam.
Rezeki tak pernah salah alamat, dalam masa lapan bulan saya memperoleh keuntungan mencapai RM1 juta. Jualan saya memang 100 peratus bergantung kepada Facebook semata-mata, tidak ada laman sesawang mahupun platform digital yang lain,” terang Dian yang bangga mampu berkongsi rezeki dengan membawa 13 orang ahli keluarga menunaikan umrah melalui hasil titik peluhnya sendiri.
Sehingga kini jenama Dianz menumpukan pengeluaran produk suplemen iaitu Dianz Vitamin Premium dan Dianz D’Honey Skin Booster. “Bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hasil yang terbaik, setiap produk Dianz memiliki sijil Kementerian Kesihatan Malaysia (Farmasi) dan mempunyai Sijil Halal,” kata Pengasas Dianz ini.
Tahun ini sahaja jenama Dianz berdiri megah di 50 papan iklan di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS Highway). Di samping itu, Dianz juga boleh dilihat di 40 buah badan bas Rapid KL terpilih serta troli di 9 buah pasar raya besar Tesco dan Mydin yang terpilih.
This website uses cookies.