Gaya Hidup

Bernilai USD63.5 Juta, Mewahnya Banglo ISHA AMBANI… Anak Lelaki Terkaya Asia!

Walaupun kediaman ini terletak di India tapi nilainya setaraf harga rumah selebriti Hollywood di kawasan elit seperti Beverly Hills! Begitulah mewah dan kayanya pasangan suami isteri, Isha Ambani dan Anand Piramal. Kedua-duanya berasal dari keluarga berpengaruh di India. Anand Piramal merupakan pewaris Piramal Group yang memiliki empayar dalam sektor hartanah dan pharmaseutikal di beberapa negara terkemuka dunia. Tidak kurang juga Isha Ambani, satu-satunya anak perempuan Mukesh Ambani iaitu Lelaki Terkaya Di Asia yang diiktiraf Bloomberg Billionaires Index mengalahkan pengasas Alibaba, Jack Ma.

Isha yang melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun lalu kini berusia 27 tahun dan sering menjadi perhatian media di sana kerana status keluarganya di samping kecantikan yang dimiliki wanita ini. Sebagai meraikan fasa hidup baru Isha dan Anand, mereka telah dihadiahkan sebuah banglo mewah yang dianggarkan mencecah jutaan dollar oleh mentua dan ahli keluarga Piramal.

‘Gulita’ kediaman banglo Isha Ambani & Anand Piramal
Isha Ambani
Isha di samping suami, Anand Piramal
Bersama keluarga Ambani & Piramal

Yang pasti, kediaman baru pasangan ini bukan calang-calang. Berkeluasan 50, 000 kaki persegi… banglo mewah Isha dan Anand yang digelar sebagai ‘Gulita’ tidak ubah seperti sebuah mahligai. Menurut laporan India Times, kos pembinaan rumah ini bernilai 450 crore rupee atau USD63.5 juta!

Sebuah kediaman yang sangat besar, mewah dan mahal buat pasangan yang baru memulakan kehidupan rumah tangga. Jauh beza daripada kebanyakan pasangan lain yang hanya memiliki perabot asas atau sekadar mampu menyewa rumah.

Terletak di Worli, Selatan Mumbai… kediaman yang berkonsepkan berlian ini dikhabarkan mempunyai tiga tingkat, beberapa ruang makan, kolam renang outdoor dan sebuah dewan. Memetik International Business Times kebanyakan perabot dan perhiasan yang ada di rumah banglo ini diimport dari luar negara. Bahkan, beberapa ruang kediaman juga diserikan dengan chandelier besar dan mewah.

Kemegahan rumah Isha dan Anand tidak hanya meliputi hiasan dalaman semata-mata bahkan di halaman banglo ini juga luar biasa hebatnya. Gulita dikelilingi lanskap laman yang indah dan luas. Lebih mengujakan, perkarangan rumah ini turut menyediakan ruang parkir yang mampu menempatkan 20 buah kereta dalam satu-satu masa.

Bagi yang baru mengenali Isha Ambani, beliau merupakan anak kepada pasangan ternama India iaitu Mukesh Ambani dan Nita Ambani. Jika kediaman banglo Isha disifatkan sudah cukup mewah, anda patut lihat betapa gahnya singgahsana ibu bapanya yang dikenali sebagai Antilia. Bangunan setinggi 27 tingkat yang menelan kos USD1bilion ini adalah hartanah termahal di dunia selepas Istana Buckingham dan mampu menahan gegaran gempa bumi berskala 8 magnitud!

Antilia, kediaman Nita & Mukesh Ambani

Meskipun Isha dilahirkan dalam keluarga bangsawan namun dia memiliki latar belakang pendidikan yang hebat. Isha menamatkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang psikologi di sebuah institusi pendidikan di Yale pada tahun 2014 sebelum mengikuti pengajian pengurusan perniagaan (MBA) dari Standford Business School. Isha juga sangat aktif memartabatkan kaum wanita menerusi organisasi yang diusahakan keluarganya di samping ibu tersayang, Nita Ambani.

Kewujudan Isha Ambani mula menjadi tumpuan dunia apabila majlis perkahwinan gilang-gemilangnya menelan belanja hampir USD15 juta! Tidak hanya dihadiri selebriti ternama India seperti Shah Rukh Khan, Aiswarya Rai dan Priyanka Chopra… ia turut diserikan dengan kehadiran tokoh politik antarabangsa termasuk Hillary Clinton. Tidak cukup dengan itu, satu konsert khas turut diadakan sempena majlis perkahwinan tersebut yang menampilkan penyanyi terkenal dunia, Beyonce!

 

 

Sumber: Style Magazine, Bollywood Shaadis & NDTV

Share
Published by
Suzi