Sejak awal kemunculannya dalam industri seni ramai yang tertarik dengan raut wajah Vanidah Imran. Bahkan selepas lebih 20 tahun bergelar anak seni, aura dan pesona Vanidah atau mesra disapa Vee ini masih berbisa.
Tambahan pula apabila melihat penampilan terkininya. Kekal anggun dan kelihatan lebih cantik meskipun meniti usia 49 tahun.
Aktres berbakat besar yang menyerlah dalam filem The Red Kebaya ini telah memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 pada tahun 2007.
Dia yang memulakan karier seni pada usia 21 tahun menerusi filem pertamanya ‘Putera’ arahan Aziz M Osman turut pernah menyertai pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 1993 dan berjaya merangkul tempat kedua!
Memang tidak hairanlah Vanidah mampu mengekalkan susuk tubuh ramping dan wajah awet muda sampai ke hari ini. Dah namanya pun bekas ratu cantik.
Kejayaan yang diraih Vanidah bukan calang-calang. Selain menerima pengiktirafan dalam bidang seni lakonan, dia juga merupakan selebriti yang memiliki latar belakang pendidikan yang baik.
Mac lalu, Vanidah berjaya menggenggam Sarjana Seni Persembahan (Drama) sempena Istiadat Konvokesyen ke-61 Universiti Malaya. Kejayaan ibu tunggal ini sekaligus membuktikan anak seni juga berpelajaran tinggi.
Beliau sebelum ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dari Universiti Terbuka Malaysia (2015).
Vanidah yang berdarah keturunan India – Jawa sememangnya seorang wanita cantik yang sarat dengan nilai wanita Timur penuh kelembutan. Namun, dalam kelembutan ibu dua
anak ini dia rupa-rupanya seorang yang sangat aktif.
Misalnya kira-kira dua tahun lalu, Vanidah menyertai sebuah acara larian marathon di Tokyo, Jepun sejauh 39.8 kilometer!
Tak cukup itu, Vanidah juga merupakan ahli persatuan silat cekak dan mewakili kontinjen Silat Cekak Pusaka Hanafi menyertai Pertandingan Akhir Chungju Martial Arts Masterships 2019 di Korea Selatan.
Terinspirasi dengan amalan gaya hidup sihat Vanidah Imran. Walau dah berusia lewat 40an pun tetap aktif.
Sebelum ini Vanidah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Rashidi Ishak namun bercerai pada Ogos 2018 selepas 17 tahun berkahwin. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mikhail Imran dan Maryam Rashika.
Kredit foto: Instagram Vanidah Imran