Saban tahun, ada saja pencapaian terbaharu yang dicapai Johan Qariah negara ini! Kian aktif mewarnai dunia pengacaraan berbentuk islamik, penglibatan Nor Farhatul Fairuzah Panut kali ini turut menarik perhatian Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).
Bersandarkan pengetahuan, kejayaan dan minat Farha dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat, anak bongsu daripada lima beradik tersebut menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM 2021-2022 baru-baru ini.
Terharu dengan pengiktirafan itu, Farha menerusi media sosialnya melahirkan rasa terharu. “Alhamdulillah selesai program tadi, atas lantikan ikon Yayasan Dakwah Islam Malaysia. Rasa tak layak diri ini sebab ramai lagi yang lebih hebat dan layak untuk menyandang perlantikan ini. Doakan Farha semoga menjadi orang yang lebih baik dan dapat berkongsi manfaat dan kebaikan buat semua.”
Lebih menggembirakan, Farha ialah Ikon Dakwah YADIM termuda. Katanya, dia menganggap perlantikan ini sebagai satu tanggungjawab besar dalam menyampaikan dakwah kepada generasi muda.
Mewakili suara anak muda, Farha nekad berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.
Pada 2019, Farha dinobatkan Johan Qariah dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61.
Farha yang juga pelajar Tahun Dua, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membahagikan masa dengan sebaiknya selepas menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM.
Watikah pelantikan Ikon Dakwah YADIM 2021-2022 disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad.
Seramai lapan penerima menerima perlantikan itu termasuk pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Mohd Norhisyam Tuan Padang, Wan Hilmy Wan Mohamed, Ustazzah Isfadiah Mohd Dasuki, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dan Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub.
Cuba Macam-Macam Bisnes Sejak Usia 19, Kini KAK LONG Ada 9 Megaklinik, Pusat CAC & PPV
Sikap tak kenal putus asa dalam diri wanita yang berusia 34 tahun ini sememangnya wajar menjadi suri teladan. Mula menceburkan diri dalam perniagaan sejak usia 19 tahun dan menempuh pelbagai pengalaman membuatkan Datin Ummul Khairiyah Abdul Rahman kini berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Tak jemu mendengar bicara wanita yang mesra membahasakan dirinya sebagai Kak Long ini. Setiap butir bicaranya penuh semangat dan sarat dengan kata hikmah serta tak putus-putus menyatakan misi utamanya membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini.
Selaku Ketua Pemasaran & Pengkomersilan Kumpulan Megaklinik Zahran, Kak Long bukan hanya berangan-angan untuk membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19. Hadir bersama tekad dan semangat, wanita ini bersama-sama suaminya Dato Mohd Nafidz Haji Abdul Razak telah berjaya menyediakan pusat perkhidmatan holistik bagi melandaikan keluk pandemik COVID-19 ini.
Bermula dengan pusat saringan dan dalam masa yang singkat pasangan suami isteri ini berjaya menyediakan perkhidmatan sehingga ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega. Tumpang bangga melihat kejayaan wanita yang murah dengan senyuman ini. Antara kejayaan yang telah dicapai oleh Kumpulan Megaklinik Zahran;
- Pusat saringan COVID-19.
Juga menyediakan perkhidmatan saringan dari rumah ke rumah. - Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Swasta.
- Pusat Kuarantin Swasta.
Negeri Sembilan
Hotel Royale Chulan
International Youth Centre, Cheras
Bangi Resort - Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
PPV Mega IDCC Shah Alam
PPV Mega Sabak Bernam
Klinik Megaklinik Zahran
DIDIK MASYARAKAT
“Kami merupakan pioneer dalam menyediakan perkhidmatan saringan COVID-19 dari rumah ke rumah. Antara selebriti yang pernah menggunakan perkhidmatan kami seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Emma Maembong, Wawa Zainal, Aeril Zafril, Jihan Musa dan Remy Ishak,” kata Kak Long yang sentiasa sedia membantu mereka yang memerlukan bantuan atau nasihat berkenaan COVID-19 ini.
Menurut wanita yang mudah mesra ini, bagi memiliki imuniti kelompok yang dijangka berupaya dicapai seawal September ini beliau mempunyai tanggungjawab besar untuk fahamkan masyarakat apa yang perlu dilakukan.
“Sebenarnya kita tak perlu panik dan takut dengan COVID-19 ini tetapi perlu tahu bagaimana nak menguruskannya. Daripada pengalaman kami, hampir 100 peratus yang positif COVID-19 ini adalah kerana tak patuh SOP dan tak pakai pelitup muka.
Jika kes meningkat tinggi sekalipun namun jika tiada kes kritikal tak ada yang perlu dirisaukan. Namun jika kes tinggi dan pesakit yang perlu dirawat di hospital meningkat, itu yang perlu kita risaukan. Bilangan angka ini yang perlu kita risau kerana fasiliti di hospital sudah tidak mencukupi,” tuturnya.
Tambahnya lagi, “Kita kena jaga rapi golongan yang berisiko seperti wanita mengandung, mereka yang obesiti, warga emas, mempunyai penyakit kronik dan asma. Golongan berisiko ini jika disahkan positif mudah untuk jatuh ke kategori 5 (kritikal, gunakan ventilator).
Nasihat saya kepada ibu mengandung yang dijangkiti COVID-19 ini sebaik-baiknya kuarantin di hospital. Ini kerana mereka tidak pandai nak monitor diri sendiri.
Sebenarnya ramai yang tak tahu apa yang perlu dilakukan sebaik sahaja diri mereka positif sehingga boleh rebah sendirian di rumah. Sangat penting untuk tahu kadar oksigen dan jika paras bacaan oksigen 95 sahaja terus hantar ke hospital,” jelas Kak Long panjang lebar.
TERKESAN
Kagum melihat semangat ibu kepada tiga orang anak ini berjuang membantu pesakit COVID-19. Namun, di sebalik kejayaannya tersimpan sebuah cerita yang boleh dijadikan iktibar. “Pada mulanya bisnes saya juga terkesan dengan pendemik ini. Bayangkan jika biasanya kami mempunyai 500 orang pesakit datang ke klinik tapi waktu PKP 1.0 tak ada seorangpun pesakit yang datang.
Akauntan syarikat dan Jabatan Sumber Manusia dah unjurkan beberapa proposal seperti pengurangan pekerja. Tapi suami saya selaku Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran tidak mahu membuang pekerja. Dah tertulis rezeki, sebuah syarikat kontraktor pembinaan menghubungi kami untuk membuat ujian calitan kerana sudah dibolehkan untuk meneruskan kerja oleh kerajaan.
Bermula dari situ kami terus berkhidmat dalam memutuskan rantaian COVID-19 sehingga sekarang. Malah rezeki semakin bertambah, pekerja daripada 200 orang terpaksa ditambah sehingga ke 500 orang. Benar kata orang dalam setiap rezeki kita ada rezeki orang lain. Sekurang-kurangnya kami dapat membantu memberikan pekerjaan kepada mereka yang sudah kehilangan kerja,” kata Kak Long yang menjadikan Oprah Winfrey sebagai idolanya.
Tuah Lagu Bidas Bekas Kekasih Dan ‘Penyondol’, SHAKIRA Cipta Rekod Pegang 17 Rekod Guinness
Bintang Latin yang terkenal dengan lagu Whatever Whenever, Shakira secara rasminya telah memecahkan 14 Rekod Dunia Guinness (GWR) menerusi lagu hasil karya bersama Bizarrap berjudul “Music Sessions Vol. 53” yang dikeluarkan pada Januari lalu. Lagu itu menjadikan mereka pemilik lagu Latin paling banyak distrim di Spotify dalam masa 24 jam (14,393,324), lagu Latin paling banyak ditonton di YouTube dalam masa 24 jam (63,000,000).
Rekod lain ialah lagu Latin terpantas mencapai 100 juta tontonan di YouTube (dalam 22 jam), lagu Latin paling kerap distrim di Spotify dalam satu minggu (80,646,962), dan beberapa lagi rekod lain.
Secara keseluruhan, setakat ini, Shakira sudah memiliki 17 rekod Guinness.
Shakira dan Bizarrap bekerjasama buat kali pertama di mana Shakira menyelar bekas teman lelakinya, bintang bola sepak Sepanyol, Gerard Piqué, dalam lagu bergenre electo-pop itu.
Lagu tersebut juga mendapat kedudukan baik dalam carta Billboard, dengan kedudukan terbaik di tempat ke-9 dalam Billboard Hot 100.
Sekitar Jun tahun lalu, Shakira dan kekasihnya iaitu pemain pertahanan Barcelona FC Gerard Pique, 35 mengumumkan bahawa mereka kini sudah berpisah selepas hidup bersama selama 12 tahun.. Shakira membuat kenyataan secara rasmi menerusi sebuah akhbar harian Sepanyol El Periodico.
Pasangan ini mempunyai dua anak lelaki iaitu Milan, 10, dan Sasha, 8, dan mengekalkan kediaman di Sepanyol. Untuk rekod, kedua-duanya bertemu 12 tahun lalu apabila pemain bola sepak itu tampil dalam video muzik lagu Shakira “Waka Waka” yang menjadi lagu rasmi Piala Dunia 2010.
Sumber: Astro Awani
Walaupun Berdarah KACUKAN, Zahirah Macwilson & Amelia Henderson Masih Kekalkan Tradisi
Kedatangan Syawal sememangnya memberi nikmat kesyukuran kepada setiap individu untuk mensyukuri setiap pemberian dariNya. Sambutan Aidilfitri tidak bererti tanpa bersama keluarga tercinta. Bagi Zahirah Macwilson, saban tahun dia dan keluarga akan menyambut Syawal di Perth australia bersama ibu tersayang.
Tambah Zahirah lagi, kebiasaannya dia akan menyambut lebaran di Perth bersama ibu tersayang dan pulang ke sana seminggu lebih awal untuk membuat persiapan bersama keluarga.
“Sejak Ira berusia dua tahun lagi, Aidilfitri akan disambut di Perth memandangkan beberapa kaum keluarga mama turut menetap di Perth. Jadi, suasana hari raya tidak banyak bezanya di Malaysia kerana terdapat ramai masyarakat Melayu di Perth,” ujar Zahirah yang turut bertuah dipilih sebagai salah seorang selebriti menghasilkan rekaan baju raya di bawah jenama Starvillion.
“Saban tahun kami akan meraikan Aidilfitri di Perth memandangkan terdapat juga saudara mara yang menetap di sana. Suasana perayaan juga terasa kemeriahannya memandangkan terdapat ramai rakyat Malaysia menetap di sana. Juadah hari raya juga satu kemestian kerana mama akan memasak rendang kesukaan kami,” ujar Zahirah yang pulang ke Perth beberapa hari menjelang Syawal saban tahun.
Dilahirkan di Malaysia, kemudian berhijrah ke United Kingdom dan kemudian menetap di Australia bersama keluarga antara perjalanan kehidupan yang sedang dilalui oleh gadis tinggi lampai ini. Walaupun sewaktu kecilnya dibesarkan di luar negara, ternyata Zahirah tidak pernah lupa akan asal usul jati diri. Keputusan untuk pulang ke Malaysia dan memberikan tumpuan penuh dalam bidang lakonan merupakan keputusan yang dilakukannya demi mengejar impian dan cita-citanya.
Pernah mendalami bidang Pengurusan Sumber Manusia sebelum mengambil keputusan bertukar arah ke bidang lakonan, Zahirah sememangnya seorang wanita yang suka menyahut cabaran dan jitu dalam membuat keputusan mengenai masa depannya.
“Saya seorang wanita yang kuat dan suka mencabar keupayaan diri. Alhamdulillah tiga tahun menjejakkan kaki sebagai pelakon drama, saya belajar dari satu tangga ke tangga yang lain untuk mencapai kejayaan
Ternyata usaha itu bukanlah mudah. Saya harus berusaha untuk mendapat kepercayaan pengarah-pengarah drama. Syukur kerana kehadiran saya diterima dan lakonan yang berbeza mengukuhkan nama saya di bibir para peminat drama tempatan,” ujar Zahirah yang enggan menumpang populariti si bapa dalam mengejar cita-citanya.
Anak sulung dari lima bersaudara ini pernah melalui episod sedih apabila kedua ibu bapanya mengakhiri ikatan perkahwinan setelah hampir 20 tahun mendirikan rumahtangga.Enggan menjadikan kisah keretakan tersebut sebagai kekurangan di dalam institusi kekeluargaan, Zahirah yakin keputusan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya adalah untuk kebaikan bersama.
“Saya amat mengagumi mama sebagai wanita yang mempunyai personaliti yang kuat. Sebagai anak sulung, saya sememangnya akrab dengan mama dan sering berkongsi kisah suka dan duka. Mama menjadi tempat saya berkongsi apa sahaja dan kami adik-beradik sememangnya rapat antara satu sama lain.
Sebagai wanita yang memegang pelbagai peranan, Zahirah kagum melihat bagaimana ibunya mempamerkan karektor sebagai seorang wanita yang kuat dalam pelbagai aspek. Selain perlu menguruskan banyak perkara secara serentak. Mujurlah adik-beradik yang lain bersikap supportive.
“Tanpa sokongan keluarga, tak mungkin kami boleh pergi sejauh ini. Setiap kali berjauhan dari keluarga, saya tidak lupa menghubungi mereka dan bertanyakan khabar. Family is where the heart is,’ ujar Zahirah mengakhiri perbualan.
AMELIA HENDERSON MELARAM BAJU RAYA
Suatu ketika dahulu wajah Amelia Thripura Henderosn sering kali muncul di kaca televisyen menghiasi pelbagai ruangan iklan. Bagi model berdarah campuran India dan Scotland ini, memiliki wajah kacukan bagaikan bonus untuk dirinya memandangkan suatu ketika dahulu bayi kacukan sering mendapat tempat untuk melakonkan iklan di kaca televisyen.
“Tidak dinafikan terdapat advantage memiliki wajah kacukan ini. Saya sendiri mula berjinak dalam bidang komersil ketika berusia 10 bulan. Ketika itu, saya diberi peluang terlibat dalam iklan jenama pakaian kanak-kanak terkemuka. Selepas itu, saya banyak melibatkan diri dalam komersil sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan,” ujar Amelia yang memulakan karier dalam bidang lakonan pada usia 6 tahun melalui drama Edah.
Tambah Amelia lagi, sejak kecil dia sudah jatuh cinta dengan bidang seni dan memasang angan-angan untuk meneruskan kerjaya di dalam bidang seni sebaik sahaja menamatkan pengajian.
“Apabila minat telah dipupuk sejak kecil, maka ia bercambah menjadi bunga yang berkembang mengikut acuannya. Begitu juga dengan diri saya. Sejak kecil telah diberi pendedahan dalam bidang komersil seterusnya ke bidang lakonan. Jadi saya memasang impian untuk membuktikan keistimewaan yang dimiliki,” ujar Amelia yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Pengantin 100 Hari bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza.
Selain bergelar pelakon, Amelia juga ingin kembali menghangatkan pentas seni dan bidang pengacaraan kerana kepetahannya menjadikan dirinya amat disenangi dan mudah untuk didekati.
Bercerita mengenai Aidilfitri, Amelia turut berkongsi kemeriahan Aidilfitri yang diraikan bersama keluarga. Menurut Amelia, sama seperti keluarga lain, peluang untuk memasak bersama dan menyediakan juadah pagi Raya menjadi momen yang dinantikan kerana ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Sama seperti kebanyakan keluarga yang lain, pastinya momen memasak juadah Raya menjadi lebih istimewa kerana dapat berkumpul. Tambahan pula selepas itu dapat menikmati juadah yang di masak bersama. Sudah tentu ia kenangan yang menjadi ingatan,” ujar Amelia yang gemarkan suasana musim perayaan yang meriah dengan amalan kunjung-mengunjung antara satu sama lain.
“Satu lagi perkara yang saya gemari apabila memperkatakan tentang Hari Raya adalah pemakaian pakaian tradisi yang cantik dan ayu mata memandang. Saya juga penggemar fesyen dan amat meminati rekaan dari Rizman Ruzaini, Alia Bastamam, Nurita Harith dan Adila Long,” ujar Amelia yang memilih busana kurung moden untuk diraikan di Aidilfitri.