Berpengaruh & Berilmu, Johan Qariah FARHATUL FAIRUZAH Dilantik Ikon Dakwah YADIM Termuda!

Saban tahun, ada saja pencapaian terbaharu yang dicapai Johan Qariah negara ini! Kian aktif mewarnai dunia pengacaraan berbentuk islamik, penglibatan Nor Farhatul Fairuzah Panut kali ini turut menarik perhatian Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).

Bersandarkan pengetahuan, kejayaan dan minat Farha dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat, anak bongsu daripada lima beradik tersebut menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM 2021-2022 baru-baru ini.

Terharu dengan pengiktirafan itu, Farha menerusi media sosialnya melahirkan rasa terharu. “Alhamdulillah selesai program tadi, atas lantikan ikon Yayasan Dakwah Islam Malaysia. Rasa tak layak diri ini sebab ramai lagi yang lebih hebat dan layak untuk menyandang perlantikan ini. Doakan Farha semoga menjadi orang yang lebih baik dan dapat berkongsi manfaat dan kebaikan buat semua.”

Lebih menggembirakan, Farha ialah Ikon Dakwah YADIM termuda. Katanya, dia menganggap perlantikan ini sebagai satu tanggungjawab besar dalam menyampaikan dakwah kepada generasi muda.

Mewakili suara anak muda, Farha nekad berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.

Pada 2019, Farha dinobatkan Johan Qariah dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61.

Farha yang juga pelajar Tahun Dua, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membahagikan masa dengan sebaiknya selepas menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM.

Watikah pelantikan Ikon Dakwah YADIM 2021-2022 disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad.

Seramai lapan penerima menerima perlantikan itu termasuk pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Mohd Norhisyam Tuan Padang, Wan Hilmy Wan Mohamed, Ustazzah Isfadiah Mohd Dasuki, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dan Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub.

Share
Published by
Suzi