Supermodel Gisele Bündchen akhirnya mengesahkan khabar angin mengenai perceraiannya dengan suami, pemain besbol professional, Tom Brady. Tom dan Gisele berkahwin pada tahun 2009.
Pasangan tersebut telah lama berjauhan antara satu sama lain sejak quarterback profesional itu kembali bermain untuk National Football League (NFL). Gisele pula dikatakan mengembara dari satu bandar ke bandar lain untuk mencari ketenangan.
Kedua-duanya telah memuat naik kenyataan bersama di laman Instagram masing-masing mengesahkan perkara tersebut.
‘Kami mencapai keputusan bersama dan sangat menghargai masa-masa yang kami lalui sepanjang hidup bersama.
“Kami akan bersama-sama menjaga anak dan berikrar untuk memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang yang sangat diperlukan mereka,” kata Gisele.
Tom turut memiliki seorang lagi anak lelaki bernama John Edward, 16, hasil perkongsian hidupnya dengan bekas isteri yang juga pelakon, Bridget Moynahan.
Meskipun mengambil jalan untuk berpisah, Tom mendoakan yang terbaik buat bekas isterinya serta berharap kedua-dua mereka dapat terus melangkah maju ke hadapan.
“Sudah tentu perpisahan ini sesuatu yang menyakitkan dan sukar, seperti mana yang dilalui pasangan lain yang berpisah.
Walau bagaimanapun, kami akan saling menyokong antara satu sama lain dan akan meneruskan kehidupan masing-masing selepas ini, ” kata Tom.
Pasangan itu memiliki sebuah kediaman mewah bernilai RM77.5 juta di Indian Creek Village di Miami.
Melihat susuk tubuhnya yang ramping seperti anak dara, pastinya ia menjadi idola untuk wanita mendapatkan susuk tubuh sepertinya.
Walaupun sudah memiliki dua orang anak serta berhadapan saat sukar dalam perkahwinan dan tinggal secara berasingan, Gisele dikatakan sangat menitikberatkan penjagaan dirinya dan memastikan dia sentiasa aktif secara fizikal.
Gisele kini sibuk dengan kehidupannya sendiri dan meluangkan masanya jauh dari sisi Tom dengan berulang alik dari Miami dan New York.
Gisele sememangnya amat menggemari senaman antaranya termasuklah yoga, pilates, Brazilian Jiu-Jitsu, berenang, berjalan kaki dan mendaki.
Dedah Gisele dalam salah satu posting Instagramnya, yoga juga membantu melegakan tekanan dan bagus untuk meditasi. Selain itu, pilates menjadi antara kegemaran Gisele kerana ia membantu menguatkan otot serta membantu mengimbangi badan disebabkan oleh penekanan pada keseimbangan dan pengecutan otot.
Brazilian Jiu-Jitsu mungkin merupakan sesuatu yang baharu tetapi seni bela diri ini dikatakan boleh melatih setiap bahagian badan dengan menggunakan pergerakan yang banyak.
Gisele juga amat sukakan aktiviti berjalan dan mendaki di mana aktiviti ini membantu membakar lemak sambil dapat menghirup udara segar bagi merehatkan minda.
This website uses cookies.