Barangkali bersyukur dengan nikmat kelahiran dan terselamat daripada bencana gempa bumi di Lombok pada Ahad lepas, wanita bernama Sri Handayani berusia 38 tahun ini mencuri tumpuan negara serantau apabila menamakan bayi lelakinya Muhammad Gempa Rizki. Memang kedengaran unik.. pastinya setiap kali memanggil dan memandang ke arah anak kecil itu, Handayani akan mengingati kejadian yang melanda Lombok Utara, Indonesia tersebut.
Menerusi tweet Indonesia Red Cross (Palang Merah), ibu bayi berkenaan selamat melahirkan bayi lelaki cukup sifat itu pada awal pagi Isnin di Pusat Komando Kecamatan Bayan, Lombok Utara.
“Di balik musibah yang melanda Lombok ternyata ada berkah yang tak terkira bagi Ibu Sri Handayani (38). Beliau melahirkan bayi yang sihat dan menggemaskan di posko Kecamatan Bayan, Lombok Utara pukul 5 pagi tadi (6/8/2018). Bayinya diberi nama Muhammad Gempa Rizki. Semoga sihat selalu.”
Menurut laporan Badan Meterologi, Klimatologi dan Geofisika INdonesia (BMKG) sebanyak 124 gempa susulan bermagnitud rendah direkodkan berlaku sehingga pukul 6 pagi Isnin lalu.
Gempa kuat yang berukuran 6.9 skala richter pada Ahad mengorbankan sekurang-kurangnya 98 nyawa setakat ini. Sementara itu, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia pula berkata jumlah tersebut mungkin meningkat apabila serpihan daripada lebih 13, 000 rumah yang musnah telah dibersihkan.
This website uses cookies.