Pendedahan Datin Alyah mengenai si comel yang berada dalam dukungannya dalam perkongsian gambar di media sosial pada awal Jun lalu nyata mengejutkan ramai pihak. Dalam diam rupa-rupanya isteri Dato’ Ramli MS ini kian bahagia memegang status ibu.
Belum puas membelai dan menjaga anak kecil yang diberi nama Nur Izzara itu, pelantun lagu Kisah Hati berkenaan reda meninggalkan si manja buat seketika waktu demi melaksanakan ibadah haji.
Selamat tiba di tanah air baru-baru ini, Datin Alyah bagaimana pun diuji dengan kesihatan dan terpaksa ditahan di wad akibat batuk berpanjangan.
Sepanjang berada di Tanah Suci, Datin Alyah meluahkan rasa rindu terhadap Nur Izzara dan memuat naik beberapa momen dirinya di samping anak kecil tersebut.
Mengimbas kembali detik awal menerima kehadiran Nur Izzara, kongsi penyanyi bersuara lunak ini.
“Nur Izzara hadir dalam hidup kami tidak pernah kami terfikir dalam perancangan kehidupan yang kami lalui dan sesungguhnya Engkaulah perancang terbaik bagi setiap hambaMu.”
Difahamkan anak kecil ini sudah pun berusia tiga bulan. Dalam pada itu, Datin Alyah menzahirkan rasa syukur kerana akhirnya dapat merasai perasaan menjadi seorang ibu.
“Bersama kamu ku jadi tahu ertinya cinta tanpa mengucapkan cinta. Alhamdulillah.”
Menerusi video yang dimuat naik Datin Alyah mengenai Nur Izzara, jelas kelihatan si manja berkenaan membesar sihat dan comel.
Artikel https://www.nona.my/terpegun-penampilan-baharu-datin-alyah-kembali-langsing-aktif-kerjaya-seni/
Mengulas lanjut perkembangan terkini selepas pulang dari Tanah Suci, dia berkata teringin donut air tangan ibu tersayang dan bersyukur ratu hati kesayangan sanggup menyediakan kuih tersebut meskipun tidak begitu sihat.
“Masa kat Mekah saya beli donut sebab teringin nak makan. Manis betul donut kat sana sambil dalam fikiran saya berkata nak makan donut mak saya. Saya balik tak sempat nak makan apa-apa terus masuk hospital.
Kebetulan mak saya ada dan dia usahakan juga buat donut kegemaran saya sebab dia pun bukan sihat sangat. Sambil makan macam nak menitik air mata saya.”
Nona mendoakan agar Datin Alyah terus diberi kesihatan yang baik dan bahagia di samping keluarga tersayang.
This website uses cookies.