Selamat bergelar isteri sekitar Jun lepas, tidak dinafikan Jang Nara kelihatan makin berseri-seri! Meniti usia 41 tahun pada 18 Mac lepas, raut wajah pelakon Korea Selatan ini tampak awet muda dan tak makan usia. Memang tak berubah macam mula-mula dia menceburi bidang lakonan dulu.
Pengumuman Jang Nara untuk berkahwin pada pertengahan tahun lalu nyata mengejutkan peminat kerana agak jarang jelitawan ini berkongsi sisi peribadi kepada khalayak.
Malah, dia sangat menjaga privasi diri dan sehingga kini pun dia enggan mendedahkan wajah suami kepada umum.
Mengimbas kembali pendedahan itu, Jang Nara mengaku sedang bahagia menjalin hubungan dengan kenalan lama yang bukan bergelar selebriti.
Memuat naik gambar nota tulisan tangan mengenai khabar gembira itu, perkongsian tersebut meraih lebih ratusan ribu tanda suka!
Nota berkenaan menjelaskan, “Hari ini saya ingin menyampaikan berita peribadi tetapi bahagia untuk anda. Saya akan berkahwin! Setelah berkenalan selama lebih dua tahun dengan seorang kenalan yang enam tahun lebih muda dari saya dan bekerja dalam bidang video, kami berjanji untuk menjadi pasangan seumur hidup.”
Kongsinya lagi, “Saya benar-benar minta maaf kerana tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai lelaki ini kerana bimbang ia akan menganggu kerjaya kami. Saya memohon pengertian daripada anda semua.”
Jang Nara sebelum ini pernah terlibat dalam penggambaran filem ‘The Kindness of Others’ dan muncul dalam drama ‘Sell Your Haunted House’ pada Jun tahun lepas.
Meskipun status diri sudah berubah namun Jang Nara masih komited dengan karier seni dan aktif mewarnai industri seni seperti biasa. Dia sebelum ini pernah popular menerusi lagu Sweet Dreams sekitar tahun 2002.
Antara drama lakonannya yang mendapat tempat di hati peminat termasuk Successful Story of a Bright Girl, My Love Patzzi, The Last Empress dan VIP.
Sebelum ini Jang Nara pernah membuat pengakuan tertekan dan berkecil hati dengan komen peminat yang sering bercerita tentang wajahnya yang kelihatan muda daripada usia.