Bersuamikan Lelaki Rusia & Ada 2 Anak Kecil, JELITAWAN Ini Optimis Bergelar Usahawan!

Orangnya bukan sahaja cantik tetapi juga berilmu dan sangat bercita-cita tinggi. Meskipun sudah mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu namun Haas Jaafar tetap bersemangat mengejar impian sebagai usahawan. Meniti usia 32 tahun, dia sudah pun menggapai pencapaian membanggakan apabila berjaya memiliki perniagaan sendiri iaitu La Parte Decorator Langkawi dan Petik Bunga Langkawi.

Ketika dihubungi, Haas yang mempunyai MBA dalam bidang keusahawanan teruja berkongsi pengalaman dan rutin harian. Dia yang mendapat pendidikan awal jurusan kesetiausahaan di Stamford College, Petaling Jaya kemudian melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan) di Limkokwing University selama 3 tahun sebelum menerima tawaran belajar di Durham University, United Kingdom dari Majlis Amanah Rakyat (MARA). Pun begitu, tawaran tersebut terpaksa ditolak atas sebab tertentu dan Haas kembali meneruskan pengajian di peringkat MBA dalam bidang keusahawanan di Limkokwing University Cyberjaya dan London.

Selesa menguruskan perniagaan sendiri berbanding ‘makan gaji’, Haas berkata keputusan tersebut dibuat memandangkan bidang perniagaan sudah sebati dalam diri sejak kecil kerana pengaruh keluarga.

“Sebab utama saya pilih berniaga sebab saya memang seorang yang sukakan cabaran. Tambahan pula untuk jadi seorang usahawan perlu ada strong character seperti leadership dan risk taker yang ada dalam diri saya. Memang tanggungjawab jadi usahawan ini besar sebab kena handle banyak perkara. Mereka perlu ada business plan untuk tahu hala tuju, cabaran dan macam mana untuk mengekalkan bisnes.

Lagipun dari kecil lagi ahli keluarga saya terlibat dengan bisnes dan saya juga mendapat inspirasi daripada mereka. Buat masa sekarang saya ialah pemilik La Parte Decorator Langkawi yang sudah beroperasi sejak empat tahun lepas. Fokus utama perniagaan ini adalah sebagai wedding planner, majlis-majlis korporat dan sebagainya. Di samping bisnes dekorasi, saya juga mempunyai sebuah kedai bunga iaitu Petik Bunga Langkawi.

Dari usia 22 tahun lagi saya dah mula berniaga dan waktu itu saya dah ada tiga pekerja. Masa tu saya masih belajar dan dalam masa sama bekerja dan turut urus bisnes sendiri. Tujuan utama saya pilih untuk berniaga sendiri kerana saya suka flexibiliti. Paling penting saya dapat jaga keluarga, besarkan anak-anak dan urus rumah yang dalam masa sama dapat berniaga,” ujarnya sambil memberitahu suami tersayang juga menguruskan bisnes dalam bidang pelancongan.

Menurut Haas lagi, “Petik Bunga Langkawi diusahakan sejak Mac tahun lalu. Sebelum ini saya tinggal di KL tapi lepas berkahwin saya berpindah ke Langkawi sebab suami duduk di sini. Sebagai seorang business minded, walau di mana-mana berada pun minat untuk berniaga tetap ada. Awal dulu saya uruskan La Parter Decorator dan sekarang saya gabungkan kedua-dua perniagaan ini di bawah satu bumbung. InshaAllah, saya akan keluarkan produk terbaharu tak lama lagi.”

Bercerita tentang perkahwinan campurnya bersama jejaka kacak dari Rusia, Haas menjelaskan perkenalan dengan suami tercinta berputik sewaktu mereka menghadiri sebuah konsert di Kuala Lumpur pada tahun 2015. “Kami berkahwin pada 19 November 2016 iaitu selepas setahun kenal. Mula-mula kenal memang agak risau sebab perbezaan budaya tapi alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Dari awal lagi, kami masing-masing dah tunjuk kesungguhan untuk belajar bahasa. Saya misalnya belajar bahasa Rusia sebab mentua tak boleh cakap English. Suami pula belajar Bahasa Melayu dan English sendiri. Dia juga cepat belajar dan sekarang sangat fasih cakap Melayu siap boleh bagi syarahan,” seloroh Haas.

Haas & suami di awal perkenalan

“Soal perbezaan budaya dan agama pula saya nampak suami sangat bersemangat mendalami Islam. Alhamdulillah, dia boleh berpuasa dan solat. Itu yang buatkan saya bangga dengannya. Sepanjang empat tahun berkahwin juga kami tak ada masalah yang rumit. Masing-masing hormat dan tolak ansur. Kami juga tak ada masalah komunikasi sebab apa juga keputusan dibuat bersama-sama dengan duduk berbincang.

Lagi satu, suami jenis yang family man dan sikap suka puji isteri sangat menyenangkan hati saya. Dari bercinta sampai dah kahwin dan ada anak, memang dia selalu puji saya. Iyalah, sebagai isteri bila dapat pujian dari suami… itu yang buatkan kita lebih bersemangat nak jaga keluarga, masakkan untuk suami dan banyak lagi. Suami juga sangat penyayang. Kalau dia nampak saya masak, dia ringan tulang bantu dan uruskan rumah sama-sama serta tak pernah berkira.”

Hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, Yaroslav Popov… Haas mempunyai dua orang cahaya mata comel iaitu Eva Elizaveta Popova berusia tiga tahun dan Leon Luth Popova, dua bulan.

Share
Published by
Suzi