Kedatangan Ramadan tahun ini sememangnya memberi kenangan manis buat keluarga Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mana tidaknya, mereka baharu sahaja dikurniakan seorang cucu perempuan semalam. Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut kelahiran cucu ke 12 hasil perkongsian hidup anak mereka, Nurul Ilham Anwar dan pasangannya, Luqman Watanabe.
Nurul Ilham Anwar selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 4 April lalu di salah sebuah hospital diibukota.
Khabar gembira itu dikongsikan Anwar menerusi hantaran di Facebook.
“Alhamdulillah!.
“Hadiah Ramadan. Nurul Isra Mitsuki, anakanda (Nurul) Ilham dan Luqman Watanabe. Cucunda saya dan (isteri Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) yang ke-12. Bertambah meriah raya kali ini,” katanya.
Nurul Ilham merupakan anak keempat daripada enam adik beradik berkahwin dengan Mitsuru Luqman Watanabe pada Disember 2018.
Baru-baru ini, secara eksklusif, NONA berpeluang mendekati dan menyelami isi hati wanita berusia 35 tahun ini. Sewaktu sesi fotografi tersebut diadakan, Nurul Ilham sedang sarat hamil 8 bulan dan bakal menimang cahaya mata ke-4.
Nurul Ilham Anwar dilahirkan di Kuala Lumpur pernah bergelar guru Matematik di salah sebuah pusat pendidikan swasta. Kini, Nurul Ilham bertugas di tempat yang sama namun beralih ke bidang perniagaan pula.
Graduan Sarjana dalam Pendidikan Matematik dari King’s College London ini mengamalkan gaya hidup low profile dan bersederhana ini amat bertuah kerana mempunyai rakan-rakan sekerja yang sangat menghormati privasinya sebagai anak pemimpin nombor satu negara.
Menurut Ilham lagi, proses kelahiran berjalan lancar dan segalanya dipermudahkan.
“Alhamdulillah saya bersalin secara normal. Cuma terpaksa bermalam beberapa hari di hospital kerana demam dan doktor membuat pemantauan untuk ibu dan anak kerana bimbang jika terkena jangkitan bakteria. Baby juga dijangkiti jaundis. Jadi terpaksa di tahan di wad,” ujar Nurul Ilham ketika dihubungi NONA.
Perdana Menteri Malaysia ke 10 ini mempunyai enam orang cahayamata iaitu Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Ilham dan Nurul Hana.
This website uses cookies.