Sekitar tahun 1990an, nama Norzizi Zulkifli cukup dekat dalam kalangan peminat cilik. Telatah aktif dan spontan yang dimiliki anak sulung kepada pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain dan Datin Normala Omar ketika mengacarakan sebuah program kuiz kanak-kanak, ‘Di Mana Joe Jambul’ meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Bahkan sehingga ke hari ini masih ramai yang mengenalinya sebagai kakak Joe Jambul termasuk penulis.
Pernah membintangi filem Syukur 21, Cicakman dan menbintangi pementasan teater Throne of Thorns, siswazah Sarjana Muda Seni Persembahan Dengan Kepujian (Seni Layar) dari Universiti Teknologi Mara, UiTM ini nyata tidak pernah puas dengan kejayaan yang telah ditempa. Selain turut bertindak sebagai pensyarah, isteri kepada Bayu Utomo Radjikin ini juga mencipta satu lagi kejayaan bukan hanya pada dirinya bahkan industri seni tanah air.
Semalam, nama Norzizi Zulkifli kembali menjadi bualan apabila kisah kejayaannya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Seni, Bahasa Inggeris dan Media di University of Wollongong, Australia diketahui ramai. Lega apabila pengajian yang mengambil masa lebih dua tahun itu akhirnya tiba ke penghujung, beliau memuat naik beberapa keping gambar di laman Instagramnya tentang perkara itu. Meskipun pada mulanya terpaksa menempuh pelbagai kesukaran untuk melanjutkan pengajian di sana namun berkat sokongan keluarga terutama suami tercinta, dia berjaya sampai ke puncak impian.
“Proses PhD saya beliau (suami) tidak pernah menghalang kalau saya berjam-jam di universiti, balik lewat malam menyiapkan thesis. Tidak pernah menyuruh saya pulang awal, tidak pernah bising apa jua. Sangat sangat memahami. Masa saya buat PhD saya ada 3 anak kecil iaitu 5, 3 dan 2 tahun. Bayu menjaga anak-anak kecil kami, menguruskan rumah sepenuhnya meninggalkan bisnes dan kerjayanya di Malaysia untuk bersama saya serta memudahkan segala proses pengajian saya.
Masa di tahun dua, saya nampak puncak gunung PhD itu dan naik macam dah tak mampu ketinggiannya. Terlalu tinggi pula puncak itu. Sayup … saya pandang ke bawah, nak turun jauh dah sangat pula. Saya cubalah panjat gunung itu. Injured. Panjatlah dengan kaki, lutut, sikut, berpeluk pada hujung-hujung batu di gunung itu. Sesekali saya berhenti, menangis, saya tolak lagi badan saya naik ke atas dan bila saya sampai ke puncak, saya dengan keadaan baju buruk, compang–camping, ada luka sedikit di badan, tapi saya sampai.”
Menerima tajaan pengajian dari UiTM, ibu kepada tiga orang anak ini sebenarnya cukup cemerlang dalam bidang seni yang diceburi. Sejak kecil, pelbagai pengiktirafan dimilikinya termasuk Anugerah Siswazah Terbaik Program, Anugerah Siswazah Terbaik Fakulti dan Anugerah Pingat Emas Yayasan Budiman UiTM pada tahun 2003.