Tahun ini merupakan tahun kelima Che Puan Syamim Farid bergelar isteri kepada Yang Mulia (YM) Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Al-Haj. Kian bahagia melayari alam perkahwinan, jelitawan ini bukan saja menarik tumpuan ramai kerana rupa paras tetapi juga keperibadiannya yang merendah diri.
Dalam temu bual bersama Nona sekitar tahun 2017, Che Puan Syamim dan suami tidak mengambil masa lama untuk mendirikan rumah tangga. Hanya selepas enam bulan berkenalan, YM Tengku Ezrique menghantar rombongan meminang dan tiga bulan kemudian melangsungkan perkahwinan.
Mengimbas pertemuan pertama mereka, kongsi Che Puan Syamim, “Memang mula-mula dulu saya agak jual mahal. Ketika itu saya sendiri tidak tahu Ezrique merupakan kerabat diraja. Sebab dia sangat merendah diri dan langsung tidak pernah bercerita tentang keluarganya.
Kemudian abang saya bercerita tentang status Ezrique yang sebenarnya, terus saya jadi takut dan mula menjauhkan diri. Saya sedar hanya orang biasa dan takut untuk berkawan dengannya.
Tetapi apa yang saya bayangkan nyata berbeza dengan realiti. Kesungguhan Ezrique dan karakternya yang sangat merendah diri benar-benar menambat hati kecil saya untuk terus mengenalinya.
Namun ketika itu dia masih mengelak jika ditanya tentang keluarga. Selepas bertunang, barulah dia agak terbuka bercerita tentang hal-hal yang lebih peribadi.”
Tambahnya lagi, “Sejujurnya kedua-dua ibu dan bapa mertua saya sangat merendah diri dan menerima kehadiran saya dalam keluarga dengan tangan yang terbuka.
Kemesraan yang ditonjolkan dalam keluarga suami membuat saya mudah membiasakan diri dengan keluarga diraja. Adat dan protokol istana hanya berlangsung apabila menghadiri majlis yang melibatkan golongan istana.
Sebelum berkahwin ibu mertua sudah memberitahu serba sedikit apa yang boleh buat dan apa yang tidak boleh buat. Selepas berkahwin segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
Malah sepanjang perkahwinan pun ibu mertua banyak memberi tunjuk ajar agar saya lebih memahami adat di dalam istana. Sebenarnya tidaklah sesusah mana tetapi takut melakukan kesilapan. Mungkin tidak timbul kesalahan tetapi nampak macam tidak biasa sahaja,” ujarnya yang berusia 30 tahun.
Darah diraja mengalir di tubuh Tengku Ezrique setelah termeterai perkahwinan di antara kedua-dua ibu bapanya, YDM. Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid Shah Alhaj Tengku Seri Paduka Shahbandar dan Toh Puan Datin Siti Rahilah Mohd Hashim.
Moyang Tengku Ezrique merupakan Sultan Selangor kelima, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah Ibni Al-Marhum Raja Musa Al-Haj. Manakala Y.A.M. Tengku Abdul Hamid Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah merupakan datuk kepada Tengku Ezrique.