Bekas Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad antara individu di Malaysia yang tidak terlepas menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari akibat Covid-19.
Semuanya berlaku selepas pertemuan beliau bersama sekumpulan Ahli Parlimen Pakatan Harapan pada 12 Mac lepas dan salah seorang daripada mereka ialah Ahli Parlimen
dari Kuching, Sarawak yang disahkan positif Covid-19. Sebaik berita tersebut tersebar, sepasukan doktor dan jururawat tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana iaitu
tempat Tun Dr Mahathir bekerja dan mereka melakukan pemeriksaan ke atasnya, mengambil sampel selain diminta untuk kuarantin diri selama 14 hari dari tarikh
pertemuan itu.
Meskipun pergaulan dan pergerakan Tun Dr Mahathir terbatas dari dunia luar, namun tokoh pemimpin negara ini tetap aktif melakukan pelbagai aktiviti. Sambil mengakui
agak bosan ‘terkurung’ di rumah tetapi demi kebaikan semua, beliau harus akur. Sebagai seorang pemimpin yang kerap bertemu ramai orang dan prihatin dengan kebajikan
masyarakat, Tun Dr Mahathir terpanggil untuk memuatnaik video terbarunya di media sosial bagi menitipkan pesanan kepada semua mengenai bahaya wabak Covid-19 yang
sedang melanda negara.
Terubat rindu dapat tengok beliau walau hanya sekejap dalam video berdurasi 1.33 saat tersebut. Menerusi video berkenaan, kelihatan Tun Dr Mahathir berada dalam
keadaan sihat. Alhamdulillah.
Ujar Tun, “Saya sedang menjalani kuarantin kurung di rumah. Amat membosankan tetapi saya cubalah hendak kurangkan perasaan itu dengan membaca buku, menulis, dan
sebagainya. Saya juga menonton cerita-cerita yang ada.
Walau pun hendak duduk di rumah sampai berhari-hari bosan, tetapi apa boleh buat. Kalau kita tak buat macam ni, penyakit ini akan merebak dan ramai akan meninggal
dunia. Sebab itu janganlah tolak arahan dan kita bergerak sana-sini seperti keadaan biasa.
Ini akan menyebabkan penyakit ini berterusan dan lebih ramai akan meninggal. Saya berterima kasih pada mereka yang di barisan hadapan, pegawai-pegawai hospital,
polis, tentera dan lain-lain yang terpaksa menjalankan tugas supaya kita terselamat. Kepada mereka kita ucap, terima kasih.”
Tun Dr Mahathir berkata Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang boleh membawa maut dalam beberapa kes. Bagi membendung penularannya, orang ramai perlu diasingkan
dan mengelak melakukan perjalanan. Biarpun bukan lagi Perdana Menteri tetapi Tun Dr Mahathir tetap memikirkan keadaan negara sepanjang berada di rumah. Katanya,
Covid-19 memberi impak besar kepada negara khususnya dalam sektor penerbangan dan pelancongan.
“Hotel, pengangkutan darat, restoran juga akan kerugian. Pekerja akan menderita kerana mereka mungkin dibuang kerja. Majikan mereka tidak mampu menjana pendapatan
yang mencukupi untuk membayar gaji mereka. Pakej rangsangan ekonomi susulan penularan Covid-19 menyebabkan peningkatan perbelanjaan kerajaan.
Keadaan lebih teruk di hadapi perusahaan kecil dan kerajaan yang mungkin terpaksa menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka. Apa yang berlaku di Malaysia turut
berlaku di seluruh dunia dan akan berlaku kemelesetan ekonomi di seluruh dunia malah negara-negara kaya akan turut terjejas. Sememangnya kita semua sedang berdepan
dengan satu bencana yang amat dahsyat,” akhirinya.
This website uses cookies.