Bertudung & Kecil Molek Tak Halang NUR SABRINA Bergelar Pengajar Selam Skuba, Umur 19 Tahun Dah Ada Lesen Menyelam

Untuk bergelar pengajar selam skuba bukanlah sesuatu yang mudah kerana seseorang itu perlu mengharungi pelbagai latihan dan ujian mencabar.

Namun, bagi si kecil molek berketinggian 157 sentimeter, Nur Sabrina Mohamad Fuad, 25, bukanlah halangan untuknya menceburi profesion itu yang didominasi kaum lelaki dan warga asing.

Kredit Foto: Nur Sabrina

Berkongsi pengalamannya kepada Bernama, gadis berhijab yang berasal dari Perak ini berkata dia mula menjadi pengajar selam skuba pada 2017. Ketika itu Nur Sabrina baru berusia 19 tahun namun sudah memperoleh lesen menyelam peringkat Divermaster.

“Perjalanan ini tidak dirancang. Ia bermula Ketika saya menunggu keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), ibu bapa saya telah tawarkan kepada saya untuk tinggal di Pulau Perhentian bagi mengikuti latihan selam skuba peringkat Divermaster,”

katanya yang kini mengajar di sebuah operator menyelam di pulau tersebut.

Katanya lagi, selepas setahun menimba pengalaman sebagai Divermaster, dia meneruskan latihan ke peringkat pengajar dengan mengambil kursus pembangunan pengajar (IDC) dan peperiksaan pengajar (IE) sebelum layak bergelar pengajar selam skuba yang diiktiraf Persatuan Jurulatih Selaman Profesional (PADI).

Kredit Foto: Nur Sabrina

Ditanya mengenai pemilihan kerjaya itu yang jarang diceburi golongan wanita, Nur Sabrina berkata dia meminati bidang itu kerana terinspirasi melihat kebanyakan pengajar selam skuba yang ada di pulau di Malaysia adalah warga asing.

“Pengajar selam skuba ramai orang luar (warga asing), mereka golongan professional seperti pekerja bank dan jurutera tapi sanggup berhenti semata-mata untuk tinggal dan kerja di pulau.

“Jadi, saya rasa ini peluang saya untuk membuka mata orang ramai terutamanya wanita Melayu dan yang berhijab bahawa kita juga mampu memikul kerjaya ini, sekali gus menggalakkan lebih ramai untuk menceburinya,”

katanya.
Kredit Foto: Nur Sabrina

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata melatih pelajar selain skuba sehingga mereka berjaya mendapat lessen adalah satu kepuasan dan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Ada pelajar yang asalnya fobia, panik dengan kedalaman air dan ada juga yang hamper putus asa, tapi apabila saya berjaya pujuk dan mengatasi ketakutan mereka itu sehingga menamatkan kursus, saya rasa puas dan gembira,” katanya.

Sementara itu, ibunya Noorazizah Yusof berkata selain Nur Sabrina, beliau dan suuami serta dua anaknya yang lain turut meniliki lessen selam skuba dan aktif menyelam di beberapa pulau seperti Pulau Perhentian, Sipadan, Phuket, Gili Asahan dan Maldives.

“Dulunya apabila setiap kali tiba cuti persekolahan, kami akan bawa anak-anak bercuti ke pulau dan secara tidak langsung pada 2013, kami ambil lessen permulaan selam skuba di Pulau Perhentian selepas tertarik dan timbul minat ingin mencuba aktiviti ini.

Kredit Foto: Nur Sabrina

“Tidak sangka, dengan hanya suka-suka, kini ia menjadi hobi kami sekeluarga dan akan melakukan selaman bersama setiap kali bercuti di pulau sehingga ke hari ini,”

katanya.

Suri rumahtangga itu berkata, beliau bangga dengan pencapaian Nur Sabrina yang menjadikan jurulatih selam skuba sebagai kerjayanya.

“Kami akan sentiasa menyokong apa yang Nur Sabrina buat kerana itu minatnya. Walaupun masih berhijab dan perlu menjaga batas sebagai seorang Muslimah tetapi masih mampu melakukan tugas yang mencabar,” akhirnya.

Sumber: Bernama

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Amy Mohd