Gaya Hidup

Berurut Untuk Betulkan KANDUNGAN SONGSANG, Selamat Ke? Adakah Pembedahan Caesarean Saja Pilihan Yang Ada?

Menerima berita gembira sebaik disahkan oleh doktor bakal bergelar seorang ibu sangat menguja hati. Lebih-lebih lagi apabila telah lama menanti perkhabaran indah ini.

Namun, dilaporkan hampir 20% ibu hamil akan mengalami keadaan bayi dalam kandungan dengan keadaan kaki di bawah dan kepala di atas atau dalam dikatakan dalam keadaan songsang.

Kedudukan songsang bayi di dalam rahim adalah perkara biasa ketika awal kehamilan. Proses perubahan kedudukan bayi berlaku secara semula jadi pada minggu ke-28 hingga minggu ke-32.

Jika kedudukan bayi masih tidak berubah, maka ibu hamil tersebut diklasifikasikan sebagai kandungan songsang. Namun, terdapat juga sebilangan kecil kes bayi mengubah kedudukan selepas dari tempoh tersebut.

Cara hidup tidak pengaruhi kedudukan bayi

Kandungan songsang bererti kedudukan yang paling bawah (berdekatan dengan pangkal rahim) adalah kaki atau punggung bayi. Kedudukan bayi songsang selalunya berlaku secara spontan, tidak ada sebab tertentu dan TIDAK dipengaruhi oleh cara kehidupan seseorang ibu tersebut.

Ramai yang bertanya adakah ia disebabkan oleh faktor pemakanan, faktor pekerjaan dan adakah kerana ibu hamil sering tidur ketika mengandung. Semuanya tidak berkaitan dan tidak menyebabkan kandungan menjadi songsang.

Namun ada beberapa faktor yang didapati boleh menggalakkan kedudukan songsang bagi bayi di dalam kandungan.

Faktor-faktor berikut adalah:

  • Bayi yang besar dalam kandungan.
  • Masalah air ketuban; terlalu banyak (polyhydramnios) atau kurang air ketuban (oligohydramnios).
  • Ibu yang pernah mengalami kandungan songsang sebelum ini.
  • Masalah uri di bawah atau placenta previa.
  • Masalah kedudukan uri di sudut rahim (cornual placenta).
  • Masalah bentuk rahim yang tidak normal (bicornuate misalnya).
  • Masalah fibroid di dalam rahim ketika hamil.
  • Kandungan kembar.

Kaedah membetulkan kedudukan bayi

Tidak ada cara tertentu untuk merawat kandungan songsang. Namun, ramai doktor boleh membantu untuk melakukan External Cephalic Version

(ECV) untuk mengubah kedudukan bayi daripada songsang kepada cephalic agar lebih ramai wanita boleh bersalin secara normal.

Syarat-syarat sebelum prosedur ECV dilakukan

  1. Bayi hendaklah matang.
  2. Kedudukan uri adalah normal.
  3. Air ketuban dalam keadaan normal.
  4. Dilakukan oleh doktor di hospital yang mempunyai kemudahan lengkap.
  5. Pesakit perlu sedar dan sanggup mengambil risiko-risiko yang diterangkan oleh doktor.

Risiko-risiko yang dikaitkan dengan ECV

  • Bayi akan bertukar menjadi songsang semula.
  • Bayi boleh mengalami masalah lemas (fetal distress) ketika atau selepas prosedur ECV tadi.
  • Ibu mengalami sakit atau sengal di bahagian otot abdomen selepas ECV.
  • Ibu mengalami pendarahan akibat abruptio placenta yang berlaku akibat ECV.
  • Ibu terpaksa tinggal di hospital selepas ECV untuk pemantauan ibu dan bayinya.

Memandangkan risiko-risiko tersebut, ECV tidak boleh dilakukan oleh bidan-bidan atau mana-mana kakitangan kesihatan di luar hospital. Begitu juga dengan kelahiran, bayi yang songsang hendaklah dilahirkan di hospital.

Bagi kandungan songsang, cara kelahiran yang paling selamat adalah melalui Caesarean Section

atau pembedahan.

Namun begitu, terdapat ibu dan bapa yang mahukan bayi mereka dilahirkan secara normal melalui faraj walaupun kedudukannya songsang. Semua pesakit yang ingin cuba melahirkan bayi songsang melalui faraj hendaklah bersetuju mengambil risiko-risiko di bawah:

  • Risiko bayi lemas.
  • Risiko tali pusat jatuh keluar dahulu sebelum bayi dilahirkan.
  • Risiko bayi meninggal dunia akibat kedua-dua masalah di atas.

Kadangkala, dalam mencuba untuk bersalin secara normal, bayi yang songsang tidak juga turun dan keluar walaupun si ibu mengalami kontraksi dan kesakitan yang kuat. Kes begini akan melalui Emergency Caesarean Section. Hamizatul Maizan Mohamed

Share
Published by
Norzalina