Natural beauty! Gebu dan mulusnya kulit. Manis sungguh anak dara kepada aktres dan penyanyi terkenal dari seberang, Mulan Jameela yang dikenali sebagai Tiarani Savitri.
Berusia 20 tahun, Tiarani merupakan anak hasil perkahwinan Mulan Jameela yang terdahulu (sebelum bersama Ahmad Dhani).
Patutlah Tiarani jarang terlihat di media sosial kerana dia lebih bersifat privasi. Namun apabila sesekali berkongsi wajahnya yang cantik manis itu di Instagram peribadi, dia sering menerima pujian daripada para pengikutnya.
CANTIK NATURAL
Sering tampil dengan wajah yang polos tanpa solekan di akaun peribadinya, Tiarani dilihat sebagai seorang gadis yang pandai menjaga kecantikan kulit. Malah, raut wajah juga mewarisi kecantikan ibunya yang kini kekal jelita di usia 40an.
Meilhat kepada personalitinya pula, Tiarani seorang yang sederhana dalam soal penampilan, mungkin faktor usianya yang baru menginjak ke fasa remaja. Kesimpulannya, Tiarani punya daya tarikannya yang tersendiri.
Kredit Foto: Instagram @tiaransvtr
Meniti Usia 51 Tahun & Ada 3 Anak, Wajah Jelita GAURI KHAN Tarik Perhatian!
Bertuahnya wanita bernama Gauri Khan. Iyalah, bukan saja mempunyai suami yang setia, penyayang, kacak, dan terkenal bahkan turut dikurniakan tiga orang anak yang cantik dan comel. Tidak bergantung kepada suami semata-mata, ibu glamor ini juga bergelar usahawan yang meneraju empayar niaga sendiri dalam bidang hiasan dalaman. Hebat!
Nama Shah Rukh Khan bukan lagi asing dalam kalangan rakyat di negara ini dan boleh dikatakan terkenal di seluruh dunia. Kehebatan lelaki berwajah tampan ini beraksi di pentas lakonan nyata berjaya mencipta aura tersendiri dan beri kesan mendalam kepada para penonton.
Di sebalik bakat besar dan kesenangan yang dimiliki aktor tersebut, ada seorang wanita yang teguh berdiri di belakang Shah Rukh Khan dan setia memberi menyokong kerjaya suami tercinta iaitu Gauri Khan.
Meskipun sering menerima tempias populariti suami namun Gauri enggan terlalu bergantung kepada kejayaan Shah Rukh Khan semata-mata. Sebaliknya, wanita yang meniti usia 51 tahun ini tetap mahu berdikari dan menjana pendapatan hasil usaha sendiri.
Dilahirkan pada 8 Oktober 1970 di New Delhi, India, Gauri atau nama sebenarnya Gauri Chibber dikatakan mula mengenali Shah Rukh Khan pada tahun 1984.
Perhubungan mereka pada mulanya mendapat tentangan daripada keluarga masing-masing namun pasangan romantis ini nekad melangsungkan perkahwinan pada 25 Oktober 1991, selepas tujuh tahun mengenali hati budi. Waktu itu, Shah Rukh Khan baru ‘bertatih’ dalam industri perfileman India.
Kini, hasil perkahwinan selama tiga dekad mereka dikurniakan tiga anak iaitu Aryan Khan (23 tahun), Suhana Khan (21 tahun) dan AbRam Khan (8 tahun). Paling menarik perhatian, biarpun sudah berstatus isteri dan ibu tapi Gauri masih cantik bergaya. Malah pereka fesyen popular India, Satya Paul turut memuji cita rasa fesyen suri hati Shah Rukh Khan ini.
Tidak sekadar memiliki rupa paras cantik, Gauri sebenarnya graduan Lady Shri Ram College dan pernah mengikuti kursus pendek seni reka fesyen selama enam bulan di Delhi. Kursus fesyen tersebut diambil memandangkan bapa Gauri adalah pengusaha pakaian.
Gauri juga bukan calang-calang wanita kerana dia juga bertindak selaku penerbit filem dan membina syarikat produksi, Red Chilies Entertainment bersama suami tercinta.
Terbiasa dengan rutin harian yang sibuk, Gauri turut meluaskan empayar dengan mengusahakan Gauri Khan Designs iaitu sebuah syarikat hiasan dalaman yang menawarkan perkhidmatan rundingan untuk rekaan ruang bangunan mewah, kediaman, pejabat, restoran termasuk hotel dengan penataan dekorasi serba glamor dan klasik.
Antara personaliti yang pernah menjadi kliennya ialah isteri lelaki terkaya Asia, Nita Ambani, Aishwarya Rai, Kajol, dan beberapa selebriti Bollywood lain. Pandai Gauri mengurus dan membahagikan masa untuk keluarga juga kerjaya. Selain dapat penuhi impian sendiri, penglibatan Gauri dalam perniagaan turut membantu menambah pendapatan keluarga.
Kredit foto: Instagram Gauri Khan
Tak Sia-Sia Ikut Amalan Berpantang Waktu Muda, Ibu ROZITA CHE WAN Maintain Cantik & Sihat Di Usia Lewat 60an!
Tak seperti Che Ta, ibu kepada tujuh orang anak ini sebenarnya seorang yang tak banyak cakap. Tapi jiwanya sarat dengan naluri keibuan dan mudah tersenyum dengan sesiapa saja. Meskipun jelas kelihatan garis usia di raut wajah Zabedah Saad, namun jika diamati fizikal ibu kepada selebriti popular Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah ini… memang cantik orangnya. Tak hairanlah, kelima-lima anak perempuannya sering dapat perhatian ramai. Mewarisi kecantikan ibunda tersayang rupa-rupanya!
Tanpa berselindung, ibu berusia 67 tahun ini membongkar rahsia. Sambil mengakui tidak mengambil sebarang ubat-ubatan, dia menyusun kata. “Tak ada rahsia dan makan apa-apa pun. Tak ambil jamu dan tak ambil juga ubat. Cuma masa dalam pantang lepas bersalin tu je jaga makan.
Dulu, waktu berpantang memang tak sentuh ‘makanan-makanan sejuk’ sampai tiga hingga enam bulan. Sayur pun tak makan termasuk laksa. Rasanya, lebih daripada setahun kot baru makan. Lagi satu, saya amalkan bertungku 4 kali sehari. Makan pula hanya dua kali.
Waktu pagi tu minum kopi O yang ada sedikit gula dengan biskut kering. Tengah hari baru makan nasi. Itu pun dengan lauk ikan masin bakar dan lada. Ikutkan petua orang dulu-dulu, makanan berkuah seperti gulai pun mereka tak bagi ibu lepas bersalin makan. Sudahnya, memang ikut saja apa yang mak ajar.
Bukan kena jaga makan je, masa berpantang dulu pun tak digalak minum air. Sampai kadang-kadang tu terlupa nak minum. Tahu-tahu saja dah sedu,” telus Puan Zabedah sambil tersenyum dan masih menerapkan amalan sama ketika menjaga kesemua anak perempuannya selepas bersalin.
“Che Ta, masa saya sedang berpantang dia akan tunggu je kalau nasi tak habis makan. Dia memang suka lauk orang berpantang ni. Dari dulu lagi pun dalam adik-beradik, Che Ta ni lain sedikit. Saya tak bagi sangat anak-anak pegang adik mereka yang baru lahir. Tapi Che Ta, dia akan beria tolong basuhkan adiknya bila buang air besar atau mandikan mereka. Sebab dia suka pegang baby.”
Pernah lalui hidup susah ketika membesarkan ketujuh-tujuh orang anak memaksanya membuat bermacam-macam pekerjaan demi menyara keluarga. Salah satu cara mendapatkan wang adalah dengan mengambil tempahan baju. “Dulu ada juga ambil tempahan baju daripada jiran-jiran. Dalam sehari tu, dapatlah siapkan tiga pasang baju. Ada yang hantar minta buat baju kurung, mini kurung, kebaya dan sebagainya. Bab sediakan baju raya anak-anak, ada antara mereka yang tak kisah ada juga yang minta pattern tertentu.
Biasanya, Che Ta yang paling suka berfesyen. Kalau orang lain suka satu keluarga pakai warna sedondon tapi kami hanya tetapkan bunga saja perlu sama tapi warna baju boleh lain-lain. Anak-anak tak berapa pandai jahit baju tapi kreatif cantikkan baju dengan jahitan labuci.”
Sebelum menutup bicara, Puan Zabedah yang selesa berbual dalam loghat Kedah ini berkongsi resipi sihat. “Kalau nak buang angin dalam badan, boleh cuba resipi telur ni. Ambil telur ayam sebaiknya ayam kampung dan campurkan bersama lada hitam, halia dan bawang putih.
Pastikan bahan-bahan kering ni ditumbuk sampai lumat sebelum dimasukkan dalam telur. Bubuh garam sedikit dan kacau rata. Goreng tanpa menggunakan minyak dan makan dengan nasi. Ini adalah petua turun-temurun dan anak-anak saya pun masih makan hidangan ni sampai sekarang.”
Pakai KORSET Tiap Hari Walau Tidur, Rahsia LITTLE MISS KHAN Dapat Pinggang Ramping!
Selain terpikat dengan kemulusan kulit Little Miss Khan, pasti ramai wanita di luar sana yang mencemburui susuk tubuh langsing gadis kacukan Arab-Pakistan tersebut. Mana tidaknya, pinggang ramping macam kerengga!
Agak lama adik kepada Neelofa ini menyepikan diri dari dunia media sosial. Namun kenangan bertemu dengan pemilik nama Nur Ameera Khan ketika sesi fotografi bersama Majalah Nona sekitar Januari tahun lalu, penulis sempat bertanyakan tip cantik yang diamalkan hingga mampu memiliki bentuk tubuh langsing. Tanpa berselindung, dia membongkar rahsia.
“Tip cantik? I pakai korset all the time. Sebenarnya I dah mula pakai korset ni sejak tiga bulan lalu dan amalkannya setiap hari walaupun ketika tidur. Ada satu saiz untuk dipakai waktu tidur je.
Tak ada sesiapa pun yang paksa, memang I yang nak pakai sendiri dan mama pun benarkan. Kalau nak tahu, sejak muda lagi dan sebelum ada anak… mama dah start pakai korset. Dengan dah ada 10 orang anak dan body dia maintain macam tu buatkan I pun nak jadi macam mama,” kongsinya sambil ketawa.
Jelas Ameera lagi, “Kakak sulung, Sara yang memperkenalkan I dengan korset ini sebab dia pun pakai. Korset ni dari US.. ada agen yang datang ambil ukuran badan dan dalam masa kurang dari seminggu dah sampai. Selesa pakai korset ni lagipun panjangnya sampai ke peha. Kalau ada photo shoot pun senang, sebab tu I beli tiga color.. putih, nude dan hitam.”
Selain mengamalkan pemakaian korset secara konsisten, Ameera juga rajin pergi ke gym. Patutlah dia nampak fit. “I pergi gym dalam 5 ke 6 kali seminggu. Memang I addicted to gym dan ia macam my stress free zone. Jenis dan rutin senaman semuanya bergantung kepada trainer.
Di rumah, I akan buat senaman yang I tahu atau call trainer dan tanya dia apa yang patut I buat. Kebiasaannya, I akan buat senaman yang lebih tertumpu dekat pinggang dan punggung.”
Wanita mana yang tak suka dengan kecantikan. Seperti wanita lain, Ameera mengakui betapa pentingnya menjaga kecantikan diri termasuk penjagaan kulit wajah. Menariknya, tip penjagaan wajah Ameera cukup mudah dan tidak memerlukan belanja yang mahal.
Tidak lokek berkongsi petua, ini yang lazimnya dia lakukan. “Mungkin ada yang tak percaya tapi I tak pakai pelembap, serum ataupun krim mata. Kalau ada event atau photo shoot, balik je dari rumah I akan mandi dan lepas tu letak mask Kora Organics.
Pencuci muka pun I guna dari Kora Organics sebab ia organik. Setiap pagi dan malam pula I akan ambil ais letak dekat muka selama tiga minit. Ia bagus untuk kecilkan liang pori, mengurangkan dark circle, cegah pembentukan jerawat dan buatkan muka jadi lebih glowing.
Hasilnya, my cheek jadi kemerah-merahan since the day I buat ice facial ni. Pastikan ais diletakkan terus on your skin. Selain itu, I juga minum banyak air kosong sehari. Boleh dikatakan dalam 5 ke 6 liter. Untuk pagi, I akan minum lemon yang direndam dengan air panas. Malam, makan madu sekali dengan ‘sarang’ dia tu. Untuk buah-buahan pula I suka makan buah delima dan mangga.”
Rupa-rupanya tak susah pun nak nampak fit, cantik dan langsing macam Ameera. Kunci utamanya ialah rajin! Kena rajin bersenam, rajin jaga pemakanan dan rajin minum air secukupnya.