Apa rancangan hujung minggu ni? Jom berehat sejenak sambil menghirup udara segar dan nikmati panorama gunung-ganang yang menghijau, rasanya pasti bagai terapi tatkala mengharungi pandemik COVID-19.
Bagi yang teringin berubah angin, pakej Fun & Nature di Resorts World Genting ni antara pilihan terbaik yang dekat, tapi menyeronokkan.
Bayangkan dengan tawaran serendah RM125, anda dapat bercuti untuk dua orang termasuk penginapan satu malam di Resorts World Awana, menjamu selera, trip jungle trekking dengan jurupandu dan tiket pergi-balik Awana SkyWay.
Semua ini pada harga promosi untuk jangka masa terhad iaitu pada 14, 15, 21, 22, 28 dan 29 Ogos 2020.
Anda boleh beristirahat dan merebahkan badan di Resorts World Awana, sebuah hotel dengan padang golf 18-lubang yang terbentang indah. Pakej ini juga merangkumi makan untuk dua orang di High Line Rooftop Market yang bersuasanakan alfresco, tiket Awana SkyWay untuk dua orang termasuk hentian percuma di Stesen Chin Swee bagi yang berminat melawati Kuil Chin Swee Caves.
Kemuncak percutian ini adalah misi jungle trekking dengan jurupandu di laluan Konservasi berdekatan hotel. Peminat alam semula jadi pasti teruja untuk meneroka hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun. Sambil bersiar-siar melalui Encyclopedic Walk, singgah juga di Awana Bio Park dan belajar tentang biodiversiti Montane Timber Forest dan habitatnya.
Di sini anda mungkin bertuah jika menemui haiwan liar yang bebas di tempat tinggalnya. Ada kambing gunung, siamang, harimau black panther, pelbagai spesis ular dan monyet. Aneka flora dan fauna juga memayungi kanopi hutan, selain lebih 60 spesis burung yang menjadikan hutan ini sebagai taman permainan mereka.
KEPERLUAN BERCUTI
- Bagi mematuhi SOP kerajaan, anda mestilah memakai pelitup muka setiap masa.
- Sebaik tiba di hotel, imbas dahulu MySejahtera dan periksa suhu badan.
- Gunakan sanitizer tangan yang disediakan.
- Amalkan penjarakan sosial sepanjang aktiviti.