Tular beberapa hari ini tentang dakwaan segelintir pihak bahawa penawar COVID-19 telah ditemui. Sejenis ubat (kami namakan Iver-) tiba-tiba popular dan dikatakan lebih berkesan daripada vaksin.
Dakwaan tersebut disanggah oleh Dr Ahmad Samhan, seorang pegawai perubatan yang rajin berkongsi pelbagai ilmu kesihatan di media sosial. Antara pesanan padu beliau adalah jangan sesekali percayakan info-info yang tak terbukti kesahihannya.
“Doktor, betul ke Iver- ni penawar COVID-19?”
Sebenarnya, Iver- adalah ubat yang diberikan kepada binatang untuk bunuh cacing (parasit) dalam tubuh badan mereka.
Setakat ini ia tidak dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia(WHO), CDC Amerika Syarikat, MHRA United Kingdom, Australian Ministry of Health dan Pan American Health Organisation (PAHO).
Ini semua badan-badan regulatori vaksin dan ubat-ubatan. Maknanya, ini adalah pendirian agensi-agensi regulatori negara dan dunia yang tidak membenarkan penggunaan Iver- sebagai pencegahan mahupun rawatan COVID-19.
“Habis tu, kan ada doktor di Amerika yang kata Iver- boleh rawat COVID?”
CDC Amerika Syarikat telah tengok kajian dia dan buat rumusan bahawa kajian itu tak mencukupi data untuk membenarkan Iver- sebagai pencegahan ataupun rawatan.
“Eh doktor, India pakai Iver-. Kes mereka turun.”
Kalau tengok kajian di India, kes COVID dah menurun sebelum Iver- dibenarkan. Sekarang ni pun, India dah MEMBERHENTIKAN penggunaan Iver-.
“Negara-negara yang banyak guna Iver- seperti Amerika Selatan dan Peru macam mana pula doktor?”
Ok baik. Peru dah guna Iver- sejak bulan Mei tahun lepas. Tetapi gelombang COVID berterusan dan langsung tak menurun.
Bulan Mac tahun ini, Peru MEMBERHENTIKAN penggunaan Iver-.
USAH PERCAYA
Sebelum ini ubat Hydroxychloroquine (ubat anti malaria) dikatakan dapat membantu. Lepas tu daun semambu, kemudian daun ketum, bunga cengkih dan sekarang Iver-.
Ramai yang risau kesan sampingan vaksin tapi tahu tak kesan sampingan Iver-? Badan anda akan rasa lemah, muntah-muntah, sakit dada, tangan kaki menggeletar, sakit-sakit sendi, bengkak mata, bengkak kaki dan tangan. Ini semua kesan sampingan Iver-. Tak takut ke?
Risau saya bila ada yang mula makan Iver-.
Buat masa sekarang penggunaan Iver- hanya dalam ujian klinikal, dimana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanannya.
Nasihat saya, jangan terlalu mudah percayakan info-info yang tidak tahu dari mana puncanya. Jangan ambil Iver- untuk mencegah dan merawat COVID-19.
Dr Ahmad Samhan turut dilihat menyuarakan kerisauan beliau terhadap peningkatan kes baharu yang mencecah 9,000.
Sebagai seorang frontliner, beliau sendiri mengakui keadaan rakan sekerja di hospital yang rata-ratanya burn out akibat tekanan kerja yang melampau. Semoga nasihat ini memberi manfaat dan seterusnya membantu mengawal penularan COVID-19, atau sekurang-kurangnya mengelakkan simptom menjadi lebih buruk, insyaAllah.
Sumber: Facebook Dr Ahmad Samhan
This website uses cookies.