Penyanyi tersohor, Beyonce mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi penerima trofi terbanyak sepanjang zaman. Beyonce berjaya merangkul empat trofi pada malam kemuncak Anugerah Grammy Ke-65 yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles (LA), California, Amerika Syarikat, jam 8 pagi ini (waktu Malaysia).
Penyanyi R&B dan pop itu memenangi anugerah Album Muzik Tarian/Elektronik Terbaik menerusi album Renaissance, Lagu R&B Terbaik (lagu Cuff It), Rakaman Tarian/Elektronik Terbaik (lagu Break My Soul) dan Persembahan R&B Tradisional Terbaik (lagu Plastic Off The Sofa).
Ia sekali gus melengkapkan trofi Grammy ke-32 dan berjaya memintas rekod yang dipegang oleh Georg Solti dengan 31 trofi.
“Saya cuba tidak terlalu emosi. Saya hanya mahu menerima anugerah malam ini sahaja.
“Saya ingin berterima kasih kepada Tuhan kerana melindungi saya, ibu bapa menyayangi dan menjadi pendorong. Juga buat suami dan tiga cahaya mata yang sedang menonton di rumah.
“Tidak lupa terima kasih kepada peminat dan mereka yang membantu dalam menjayakan setiap karya. Moga Tuhan merahmati kamu.
“Terima kasih Grammy,” kata Beyonce ketika menerima trofi Album Muzik Tarian/Elektronik Terbaik, hari ini.
Anugerah Grammy pada edisi kali ini menyaksikan Beyonce mendahului dengan sembilan pencalonan. – AGENSI