Gaya Hidup

‘Kunci Mulut’ Hal Cinta Daripada Umum, VANIDAH IMRAN Sah Bergelar Isteri Jurutera!

Tahniah! Tanpa khabar angin mengenai perhubungan cintanya, Vanidah Imran selamat melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan hari ini. Tampak berseri-seri di atas pelamin sambil ditemani dua anak tersayang, pelakon cantik tersebut sah bergelar isteri Arifabillah Idris dengan sekali lafaz.

Vanidah berusia 49 tahun menjadi milik Arifabillah iaitu seorang jurutera berusia 43 tahun. Malah, Arifabillah juga pernah meraih pingat perak Chungju World Martial Arts Masterships (WMC) di Korea Selatan pada tahun 2016.

Menerusi kenyataan media yang dikongsikan kepada Nona, majlis pernikahan pasangan berkenaan dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi.

Berwalikan adik lelaki kandungnya iaitu Johan Imran, pasangan ini disatukan di sebuah premis di Titiwangsa, sekitar pukul 12.12 tengah hari. Majlis pernikahan mereka dihadiri 50 tetamu terdiri ahli keluarga dan teman rapat.

Foto: @luxurycapturephotography
Foto: @luxurycapturephotography
Foto: @luxurycapturephotography

Vanidah dan suami bagaimana pun sepakat untuk tidak berkongsi jumlah wang hantaran demi memenuhi permintaan keluarga.

Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir dan Red Kebaya itu turut menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai leher emas daripada suami selain berbalas dua dulang hantaran.

Dalam majlis yang berlangsung sederhana namun penuh bermakna itu, Vanidah mengenaikan persalinan rekaan Rizman Ruzaini dan solekan Syed Faizal. Majlis turut mendapat sentuhan perancang perkahwinan EZS Concept.

Kembali bergelar isteri, kata Vanidah, ia bukan sesuatu yang mudah namun berkat restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, niat baik itu dipermudahkan oleh Allah. Justeru, sebelum tiba hari bahagia itu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 tersebut selesa ‘mengunci mulut’ tanpa menghebahkannya.

Foto: @luxurycapturephotography
Foto: @luxurycapturephotography
Foto: @luxurycapturephotography

“Sejujurnya yang hanya tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

Kawan rapat pun hanya dimaklumkan saya beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada di antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa sama tumpang gembira dengan keputusan dibuat.”

Ujarnya, dia gembira dan bersyukur kerana bertemu jodoh dengan suami yang berkongsi banyak persamaan. Apatah lagi kedua-dua mereka berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama dan dikurniakan anak. Jadi, persefahaman lebih mudah dicapai.

“Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.

Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan,” kata Vanidah yang kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Share
Published by
Suzi