Biasa Hidup Susah, AMELINA Ibu Tunggal Anak 6, Buang Rasa Malu Jual Nasi Minyak

Ketika dan saat ini ramai yang terkesan dengan situasi semasa. Tidak kira golongan yang berada mahupun yang susah tetap merasa perit menempuh kehidupan kala mendepani pandemik COVID-19 ini.

Walaupun susah namun, tidak suka amalkan sikap meminta-minta adalah suatu sikap yang terpuji. Ratu Dangdut Malaysia, Amelina antara contoh terbaik wanita yang sanggup menyinsing lengan demi menyara hidup keluarganya.

Foto: Instagram @amelinaamirsharipuddin

Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin akui, pada mulanya rasa malu nak menjual nasi minyak dan nasi ayam di musim pandemik COVID-19 ini. Sifat malu tak boleh buat dapur berasap, ya tak?

Amelina telah memberanikan diri dan buang sifat malu dengan masak dua menu tersebut untuk dijual kepada orang ramai termasuk peminat tersayang. Rezeki tak pernah salah alamat dan siapa sangka percaturan wanita yang sudah terbiasa hidup susah ini berniaga makanan itu membuahkan hasil.

Foto: Instagram @amelinaamirsharipuddin
Foto: Instagram @amelinaamirsharipuddin

“Dulu setakat masak untuk makan sendiri dan anak. Tapi sekarang untuk memasak dan bagi orang lain merasainya ia satu nikmat berbeza. Pada mula berniaga saya akui dibayangi rasa takut.

Bimbang tak menjadi atau tak ada sambutan. Kali pertama jual pun saya tak promosikan pun di media sosial. Saya cuba buka tempahan sebanyak 15 bekas. Tapi saya optimis rezeki manusia itu akan ada diiringi usaha,” kata ibu tunggal kepada enam cahaya mata ini.

Foto: Instagram @amelinaamirsharipuddin

Penyanyi lagu Di Dadaku Ada Kamu ini turut terharu apabila ada individu termasuk peminat yang dari jauh tapi menyokong bisnesnya. “Peminat saya banyak membantu. Mereka beri semangat. Mereka kata buat saja, nanti boleh ‘order‘.

Daripada situ mereka memuji kata sedap dan mula berkongsi dengan orang lain di media sosial. Sampai ada yang mengulangi tempahan banyak kali.

Foto: Instagram @amelinaamirsharipuddin

“Hari demi hari, tempahan mula meningkat. Daripada masak untuk 10 orang kebiasaannya, saya cabar diri untuk siapkan 50 bekas dalam satu hari. Tak hanya peminat dan pengikut di media sosial, rakan artis pun turut menyokong dengan membeli,” tutur Amelina.

Tambahnya lagi, “Ada yang buat saya tersentuh hati biarpun jauh dari KL dan Selangor, tapi tetap nak beli dan menyokong. Saya pun suka cara begini, tak perlu beri bantuan wang. Tapi cukup dengan membeli makanan yang saya jual.

“Ada yang duduk di Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka, dan Sarawak sanggup tempah tapi untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Malah ada yang beli untuk disumbangkan kepada pekerja barisan hadapan,” katanya.

Foto: Instagram @amelinaamirsharipuddin, kredit foto @blackpepperproduction

Dalam setiap rezeki kita ada bahagian untuk orang lain. Mungkin rezeki Amelina murah kerana berniaga sambil bersedekah. “Di saat ramai bergelut sekarang ini, bukan senang orang nak keluarkan duit beli itu ini.

Jadi saya niat masak yang sehabis baik dan penuh kasih sayang. Kadang kadang, saya tak fikir pun bab terlebih termasuk kuantiti atau bahagian tertentu seperti ayam. Saya anggap itu cara bersedekah,” katanya.

“Macam resipi nasi minyak pun saya belajar daripada mak. Setiap orang tahu menu berkenaan hanya dibuat mak masa hari raya. Nak masak menu ini memang leceh.

Foto: Instagram @amelinaamirsharipuddin

Jadi saya selama ini ambil kesempatan melihat cara mak memasaknya termasuk berkongsi resipi. Kalau nasi ayam pula, saya memang menyukainya. Kalau makan di restoran, saya banyak memerhati dan memantau dari kejauhan.

“Jadi apabila mula berniaga, saya akan olah ikut sedap dan rasa hati. Contohnya macam mana nak melembutkan ayam sampai tahan ke malam. Saban hari saya memperbaiki rasanya,” kata Amelina yang turut menghasilkan lagu popularnya, Memori Daun Pisang bertukar dalam bentuk motivasi kepada masyarakat diberi judul Memori Lockdown.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed