Selebriti ini bukan hanya cantik dan berbakat besar dalam industri seni bahkan memiliki kepakaran dalam mengusahakan sebuah perniagaan. Selain pernah terbabit dalam bidang hartanah, Maya Karin juga mempunyai bakat semula jadi dalam bidang masakan. Lihat sahaja bagaimana dia mengendalikan bisnes Burger Bakar secara kecil-kecilan waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas, sampai berjaya membuka beberapa cawangan di Lembah Klang tidak lama kemudian.
Namun, perancangan untuk mengembangkan perniagaan burger bakar tersebut ‘putus’ di tengah jalan selepas Maya mengakui ada pihak cuba mengambil kesempatan atas kejayaan itu. Enggan mengulas lanjut, Maya bagaimanapun pada awal Ogos lalu membuat penghantaran terakhir burger bakar di tempat pengajian anak yatim.
Memetik kenyataan Maya menerusi Harian Metro, “Penghantaran terakhir ini kepada Maahad Taufiq Lil Atyam. Dengan ini, saya ingin mengumumkan burger bakar Maya Karin akan tutup bermula 1 Ogos. Saya juga memberitahu tidak terbabit dengan mana-mana jenama burger. Ditambah, projek burger ini saya mulakan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu untuk mengisi masa terluang.”
Meniti usia 41 tahun, aktres jelita ini tidak sepenuhnya bergantung pendapatan terhadap pembabitannya sebagai pelakon dan penyanyi semata-mata. Sebaliknya, bintang filem Pontianak Harum Sundal Malam ini kreatif menjana pendapatan daripada pelbagai sudut bidang. Paling penting, tiada sedikit pun istilah malu terbit dalam dirinya untuk mencari rezeki halal. Kagum! Malah, Maya turut mendedahkan pernah berkerja di sebuah kedai kek selepas tamat zaman persekolahan suatu masa dulu.
“Jom bake kek! Me trying baking again after so many years. Antara job pertama saya, kerja kat kedai kek keju when I was 17. I dapat RM4 sejam. That was like ‘woo hoo’, better than the RM3 I earned at the book shop,” kongsinya dalam posting di Instagram baru-baru ini.
Bagi peminat setia dan mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan Maya Karin pasti mengetahui betapa personaliti gemar memasak, menjaga pemakanan dan menggemari ulam-ulaman serta sering menyajikan rakan-rakan dengan juadah air tangannya sendiri.
Meskipun Maya seorang wanita yang cantik dan pandai berfesyen tapi dia berjaya membuktikan wanita sepertinya juga tidak kekok berada di dapur. Ini jelas terbukti apabila Maya diundang sebagai tetamu jemputan dalam sebuah program masakan bersama pengarah terkenal, Micheal Ang dan diminta memasak dalam siri program berkenaan. Ternyata, Maya memiliki skil masakan tersendiri.
Sudahlah cantik dan pandai cari duit sendiri, karakter Maya yang penyayang juga dikagumi. Maya yang merupakan aktivis alam sekitar yang cukup merendah diri dan tidak kisah pergi ke suatu destinasi walau hanya menaiki pengangkutan awam. Malah, dalam usia 41 tahun Maya masih kekal anggun dan menawan biarpun tanpa solekan tebal di wajah.
Kredit: Instagram Maya Karin
This website uses cookies.