Pemimpin wanita bernama Jacinda Kate Laurell Ardern ini sememangnya sumber inspirasi dan kebanggaan wanita di seluruh dunia. Mana tidaknya, beliau bukan hanya Perdana Menteri New Zealand bahkan memegang status isteri dan juga ibu kepada seorang anak perempuan yang baru berusia dua tahun! Dalam kesibukan mengurus pentadbiran negara dan keluarga namun Jacinda Ardern berjaya membuktikan kemampuan insan bergelar wanita cukup luar biasa dan sukar ditandingi.
Dilahirkan di Hamilton, New Zealand, Jacinda Ardern nyata bukan calang-calang wanita kerana beliau merupakan pemimpin termuda pernah dicatatkan dalam sejarah pemerintahan New Zealand. Meniti usia 40 tahun, kebijaksanaan Jacinda menangani serangan pengganas di Christchurch pada 15 Mac tahun lalu telah melonjakkan nama beliau di persada dunia sekaligus menarik perhatian dunia terhadap kredibiliti pemimpin wanita.
Ketika tragedi tersebut melanda, Ardern dikagumi rakyat di negaranya sendiri termasuk yang beragama Islam kerana ketegasan beliau menentang pengganas selain sikap hormat Ardern terhadap sensitiviti penganut Islam. Meskipun berlainan agama… pemimpin nombor satu New Zealand ini begitu menghormati perbezaan anutan agama di negara tadbirannya dan membiayai kos membiayai kos pengebumian 51 mangsa terkorban akibat insiden itu selain memberikan bantuan kewangan kepada keluarga terlibat.
Awal tahun ini pula kewibawaan Ardern sekali lagi diuji dengan penularan wabak Covid-19. Enggan rakyatnya dijangkiti virus tersebut, Ardern mengambil langkah tegas dengan menutup semua pintu sempadan dan tindakan itu berjaya menghalang pertambahan kes jangkitan. Difahamkan sehingga kini, New Zealand hanya mencatatkan 1,886 kes dengan 25 jumlah kematian.
Atas kejayaan tersebut, tidak hairanlah Pilihanraya Umum New Zealand yang berlangsung pada 17 Oktober lalu menyaksikan wanita hebat ini yang mewakili parti Buruh menang mudah dengan meraih undian majoriti. Kemenangan besar itu merupakan sesuatu yang belum pernah disaksikan New Zealand sebelum ini. Ardern mula menjadi pemimpin parti Buruh sejak tahun 2017 dan menjadi Ahli Parlimen Mount Albert dari Mac 2017.
Pada 21 Jun 2018, Ardern selamat melahirkan bayi perempuan sulung yang diberi nama Neve Te Aroha Ardern Gayford hasil perkongsian hidup bersama suaminya yang juga personaliti televisyen, Clarke Gayford.
This website uses cookies.