Uncategorized

“Bila Lelaki Sudah Naik Tangan, Segera Angkat Kaki,” – Che Ta ‘Sekolahkan’ Wanita Jangan Terus Diperbodohkan!

Selebriti popular, Rozita Che Wan menasihatkan mana-mana wanita yang dikasari pasangan hingga mendatangkan kecederaan supaya melakukan perkara sepatutnya bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Rozita yang sinonim disapa Che Ta berkata, wanita perlu bijak dalam tindakan bagi mengekang situasi tidak diingini dalam rumah tangga.

Wanita Perlu Bijak, Elak Jadi Mangsa

“Bagi saya, wanita jangan jadi bodoh. Walaupun mungkin lelaki itu yang beli beras, tapi belum tentu dia belikan lauk. Tambah pula sekarang ni lauk ada yang lebih mahal berbanding beras. Saya pernah cakap mengenai hal ini.

“Jadi saya nasihatkan… kalau lelaki itu sudah mulai naik tangan pada anda, anda kena angkat kaki. Bukan terajang muka dia, tapi keluarlah daripada rumah. Anda ada hak, jangan lupa untuk buat laporan terlebih dulu.

“Bila laporan sudah dibuat dan pergi ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan pengesahan, jadi proses selanjutnya akan berjalan lancar (siasatan).

“Akan tetapi kalau anda tak buat laporan polis terlebih dulu, isu boleh jadi rumit. Misalnya suami akan mendakwa anda keluar rumah tanpa izin dan sebagainya,” katanya.

Meski Lelaki Boleh ‘Berubah’, Wanita Harus Waspada!

Che Ta bagaimanapun tidak menafikan, ada lelaki yang boleh berubah menjadi suami yang lebih baik, namun isteri perlu berhati-hati.

“Macam contoh kalau si lelaki itu cuba pujuk balik, maaf janji tak akan buat lagi dan sebagainya, jangan mudah percaya. Sebab apa, anda berkahwin dengan lelaki yang sama.

“Pada saya, dia (pasangan) mungkin sukar untuk berubah. Walau tidak semua tapi itu realiti.

“Kalau wanita pun susah nak berubah, nak harapkan dia pula? Kalau saya, jika ada yang berbuat begitu (berkasar) jangan bagi peluang kedua. Sebab ada potensi untuk dia buat hal lagi,” katanya.

Che Ta juga meluahkan rasa tak puas hati apabila sering terbaca mengenai perkara itu di media massa.

“Memang saya geram, kurang ajar. Kau bila nak nikahi orang itu sanggup bayar mas kahwin bila tak mahu, buat begitu kenapa?,” ujarnya.

Share
Published by
Haifa Nasir