Bila Pelitup Muka Jadi ‘Aksesori’ WAJIB, Doktor Ini Saran Tip Penjagaan & Elak Jerawat

Sejak penularan pandemik COVID-19, pengunaan pelitup muka adalah salah satu langkah untuk menghalang virus ini terus merebak. Namun, pemakaian pelitup muka ini telah mencetus masalah kulit muka bagi sesetengah individu. Kali ini Nona telah mendapatkan pandangan Dr Nur Diana Abd Razak dari Klinik Medissa Senawang tentang masalah ini.

Foto: Koleksi Peribadi Dr Diana

Akibat penularan COVID-19, penggunaan pelitup wajah menjadi wajib bagi kebanyakkan negara yang tinggi kes penularan virus tersebut. Seiring dengan itu, laporan daripada pakar kulit dan doktor estetik menunjukkan peningkatan kes jerawat berkaitan dengan penggunaan pelitup wajah menjadi semakin meningkat.

Penggunaan pelitup wajah yang kerap dan ketat boleh mengakibatkan friction atau gesekan, iritasi, dan regangan pada kulit menyebabkan terjadinya jerawat atau dikenali sebagai acne mechanica. Hal ini pernah dikongsi oleh pakar kulit kerana sering terjadi kepada atlet menggunakan topi keledar atau pakaian mempertahankan diri yang ketat dan memerangkap peluh.

Foto: Koleksi Peribadi Dr Diana

Kawasan yang kerap berpeluh, lembap dan terperangkap di sebalik pelitup muka boleh mengakibatkan penyumbatan liang pori menjadi semakin teruk daripada kebiasaan.
Liang pori yang tersumbat akibat peluh, kotoran, kulit mati dan sebum wajah ini mengakibatkan pembentukan jerawat, whiteheads atau blackheads apatah lagi jika pemakai juga menggunakan solekan yang berunsur comedogenic iaitu yang mudah menyumbat liang pori.

Pemakaian pelitup wajah yang lama atau berulang meningkatkan suhu dan kelembapan, menjadikan medium yang yang subur untuk membiakkan jangkitan kuman penyebab jerawat.

Foto: Koleksi Peribadi Dr Diana

Beberapa masalah kulit lain yang boleh terjadi selain jerawat akibat pemakaian pelitup wajah;

Dermatitis kontak (contact dermatitis) – adalah alahan terhadap sesuatu bahan yang bersentuhan dengan kulit, contohnya dalam hal ini adalah fabrik pelitup muka. Formaldehyde dan bronopol boleh dijumpai dalam polypropylene surgical masks yang sering mengakibatkan alergi. Boleh menyebabkan ruam yang kemerahan, kering, iritasi dan gatal.

Jangkitan folikel rambut (foliculitis) – akibat pembiakkan kuman pada liang folikel rambut yang ada pada wajah, contohnya pada kawasan dagu untuk kebanyakkan pesakit lelaki. Menyebabkan terjadinya vesikel seakan jerawat yang sakit, bernanah dan mungkin memerlukan rawatan dengan antibiotik.

Rosacea – bagi penghidap rosacea

, suhu yang meningkat dan stres boleh mengakibatkan kondisi kulit meradang semula menjadi merah, kering dan mengganggu penampilan serta keyakinan seseorang.
Foto: Koleksi Peribadi Dr Diana

Apakah langkah mudah mengelakkan ‘MASKNE’

Jika anda gemar menggunakan pelitup wajah dari jenis fabrik, pastikan anda memilih jenis fabrik yang lembut dan tidak mengiritasi kulit, mempunyai banyak helaian yang boleh ditukar dengan kerap, dan dicuci setiap hari.

Jika anda menggunakan pelitup muka pakai buang (disposable mask), sesuai namanya hanya untuk digunakan dalam jangka waktu yang singkat dan ditukar dengan kerap. Berikan waktu rehat untuk kulit anda dari pelitup wajah selama paling kurang 15 minit setiap 4 jam penggunaan pelitup wajah, ini berdasarkan perkongsian daripada American Acedemy of Dermatology (AAD). Pelitup wajah seharusnya ditukar jika sudah lembap atau kotor.

Jika anda merupakan tenaga kesihatan yang menggunakan pelitup wajah jenis N95, pastikan anda menggunakan strip silikon gel pada kawasan kulit yang bersentuhan rapat dengan pelitup wajah untuk mengurangkan gesekan dan iritasi.

Foto: Koleksi Peribadi Dr Diana

Jika jerawat sudah mula terjadi;

  1. Tenang dan jangan terlalu agresif dengan kulit anda.
  2. Hentikan penggunaan solekan.
  3. Pastikan kulit wajah dalam keadaan bersih sebelum mengenakan pelitup wajah.
  4. Pastikan anda mengunakan gentle skincare atau pencuci wajah yang bersifat soap-free cleanser
    iaitu bebas sabun dan pelembap yang sesuai. Pelembap boleh menjaga kelembapan dan membentuk lapisan pelindung pada kulit anda. Pastikan kulit anda tidak terlalu kering akibat penjagaan kulit yang berlebihan.
  5. Rawat jerawat menggunakan krim anti jerawat yang boleh didapati di farmasi, seperti, benzoyl peroxide, krim asid salycilic dan sebagainya. Mulakan produk tersebut dengan konsentrasi paling rendah dahulu dan lihat respon kulit terhadap krim tersebut bagi mengelakkan keradangan kulit memburuk.
  6. Jika jerawat tidak memberikan respon terhadap rawatan yang telah anda lakukan, dan semakin memburuk, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan awal, juga mampu mengurangkan risiko terjadinya parut.
  7. Bagi mengenalpasti masalah kulit yang lain seperti dermatitis kontak, folikulitis, rosacea dan sebagainya, anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan doktor supaya rawatan sesuai dengan masalah yang anda hadapi.

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed