“Bila Ramadan Bertandang… Kelibat Babah Paling Dirindu” Anak Bongsu AZMIL MUSTAPHA

Siapa yang tidak kenal dengan figura yang bernama Azmil Mustapha. Suatu nama yang kekal harum sebagai anak seni tiada galang ganti. Terkenal dengan watak nakal dalam filem Ali Setan dan berubah 360 darjah setelah mendapat hidayah dari Allah SWT. Dijemput Ilahi pada usia 65 tahun, 14 Februari lalu, kehilangan lelaki ini benar-benar memberi kesan kepada ahli keluarganya terutama anak bongsunya, Alya Iman.

Alya Iman, mungkin nama yang agak asing bagi peminat industri seni tanah air tetapi begitu popular di kalangan pengusaha butik Muslimah tempatan. Memiliki rupa paras yang menarik dengan ketinggian 170cm membuat dirinya sering menjadi pilihan sebagai model peragaan butik Muslimah.

Baru berusia 17 tahun tetapi apabila berada di sisinya, nyata kematangan dirinya jelas terpancar. Alya merupakan anak yang paling rapat dan paling manja dengan ayahanda tercinta, Haji Azmil Mustapha. Gadis cekal ini tidak mahu menghapuskan setiap  momen indah yang tercipta bersama insan tersayang yang digelar Babah.

“Saya adalah antara anak yang paling terasa dengan kehilangan beliau. Setiap pagi Babah adalah orang yang paling sibuk akan mengejut saya untuk bangun sahur dan menyediakan juadah bersahur. Begitu juga ketika berbuka puasa. Kalau dia tak rajin nak masak kami akan keluar ke pasar Ramadan membeli juadah berbuka. Air jus mangga adalah antara kegemaran beliau, begitu juga dengan ikan bakar,” tutur Alya sambil menyeka mata yang berkaca.

Alya beruntung kerana merupakan orang terakhir dipandang oleh bapanya sebelum menghembuskan nafas terakhir. “Hari terakhir berjumpa adalah ketika pagi sebelum arwah pergi buat selamanya. Babah kejut saya untuk bangun solat subuh. Kerana terlalu mengantuk saya tidur kembali selepas solat subuh.

Kemudian saya nak tumpang mandi dalam bilik air Babah, lalu saya kejut dia tanya nak makan apa. Lepas tu dia bangun dan jawab, lepas ni Babah akan pergi beli makanan. Kemudian saya masuk bilik mandi dan lepas mandi keluar tengok kenapa Babah tak bergerak macam lain macam jer. Saya kejut namun Babah tak bergerak juga lantas meninggalkan kami buat selama-lamanya,” tutur Alya sambil mengelap pipi yang basah.

Walaupun masih muda tetapi gadis yang ramah ini begitu bertanggungjawab menjaga ayahnya yang sering sakit sebelum dijemput Ilahi. Sukar dilihat nilai jati diri anak muda sepertinya ketika ini. “Seminggu sebelum Babah meninggal dunia, arwah minta saya mandikan dia kerana tangan dah tak sampai nak gosok belakang badan. Tiba-tiba masa sedang mandikan dia, dia menangis. Dia cakap rindukan anak-anak dia. Selalunya saya ada di rumah dengan dia tetapi sejak akhir-akhir ada banyak job yang terpaksa saya penuhi.

Babah cakap dia rindu saya dan terus menangis. Saya adalah orang yang paling rapat dengan Babah. Kalau sakit memang saya yang akan teman di hospital. Mandi, masak dan bangun malam memang saya yang jaga. Walaupun masih lagi muda semangat bekerja saya hanya untuk Babah. Saya sanggup berhabis untuk menggembirakannya.

Saya suka melayan Babah makan mengikut keinginannya. Babah suka makan sushi, kami akan keluar berdua makan sushi bersama-masa. Benda yang paling buat babah happy

sebelum babah meninggal apabila saya dapat tukar cadarnya yang telah usang. Katil dia dah keras jadi saya sendiri rasa tak selesa. Saya banyak berhabis beli tilam baru, alas tilam baru, bantal baru, dan sarung bantal. Walau hanya seminggu babah dapat menikmati hasil titik peluh saya bekerja namun saya tidak berasa ralat,” ujar Alya.

“Namun, saya cuma terkilan kerana tidak dapat membawa Babah bercuti seperti yang pernah saya janjikan. Saya sudah mengumpul dunia hasil memperagakan pakaian Muslimah dan mahu membawa arwah bercuti bersama selepas raya nanti. Tiada rezeki untuk saya bercuti bersama arwah babah buat kali terakhir,” ungkap gadis yang bersemangat tinggi mengakhiri perbualan.

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan