Kala perginya syurga dunia, pastinya membawa satu kehilangan buat Iqbar Hakim, yang kini membuka langkah besar dalam usaha meneruskan perjuangan arwah ibunya, Faziani Rohban Ahmad dalam usaha mengukuhkan empayar perniagaan Dnars Skincare. Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, pastinya dalam usia 21 tahun, Iqbar melalui proses kehidupan yang berbeza dan nyata mengubah kehidupan peribadinya secara total. Kala berbicara bersama anak muda ini, jelas kematangannya dalam dunia perniagaan mampu membawa beliau melangkah lebih jauh bersama Dnars.
Ads
Lebih membanggakan, Dnars Skincare merupakan salah satu penerima Anugerah NONA Top Beauty Enterprenuer 2020 yang memberi penghargaan terhadap produk kosmetik lokal yang berjaya mencipta fenomena tersendiri dalam industri kosmetik. Selain menerima anugerah tersebut, Dnras Skincare turut diberi penghormatan menerima Anugerah Khas Inspirasi Nona Beauty Award Dnars Skincare buat menghargai penglibatan pengasas Dnars Skincare, Allahyarhamah Hajjah Faziani Rohban Ahmad.
Pada majlis NONA Top Beauty Enterprenuer Hi Tea baru-baru ini, Rita Sosilawati selaku salah seorang sahabat Allahyarham diberi penghormatan menyampaikan penghargaan dan memoir indah yang disimpan bersama pengasas Dnars Skincare itu.
Dnars di dalam industri kecantikan sudah mencecah 13 tahun, langkah seterusnya yang diatur untuk mengukuhkan lagi empayar perniagaan ini? “Alhamdulillah sebelum arwah ibu pergi, Dnars telah berjaya mengembangkan sayapnya di Indonesia. Bukan mudah sebenarnya untuk meneroka pasaran di sana, arwah mengambil masa selama 2 tahun untuk bertapak di Indonesia. Dan saya meneruskan usaha ini dengan membawa matlamat pada tahun 2021, Dnars BOOM di Indonesia, insyAllah.
Melalui strategi pemasaran dan sistem penyelidikan yang betul, kita boleh! Penduduk Indonesia sangat besar 300juta, kalau saya boleh dapat 10% kepercayaan penduduknya kepada jenama kecantikan Dnars, saya sudah bersyukur. Alhamdulillah kini kolaborasi bersama Airasia Indonesia, telah banyak membantu meningkat jualan Dnars di sana.
Sedekad berada di dalam industri kosmetik, kini percaturan Dnars Skincare semakin berkembang dengan menghasilkan dan mengeluarkan produk terbaharu daripada rangkaian Dnars Skincare iaitu Dnars Gold. Ia semakin mendapat tempat di kalangan pengguna. Rangkaian produk Dnars Gold kini menjadi bualan kerana keberhasilan dalam merawat hampir kesemua masalah kulit wajah yang di alami wanita pada masa kini.
Dengan ‘tagline’ Menyerlahkan Keanggunan & Kecantikan Berganda Kulit Wajah Anda Dnars Gold merupakan rangkaian produk keluaran terbaru Dnars Skincare yang dirumus daripada bahan semulajadi berasaskan ‘Pure Essential Oil’. Terdapat 5 produk terkandung di dalam Set Penjagaan Wajah iaitu B-Tox Soap, Blew Serum (siang), Choco Cream (siang), Lifthing Serum (malam) & Debalen Cream (malam). Bahan yang digunakan adalah bahan yang terpilih dan berkualiti tinggi.
Usai meniti kejayaan di Indonesia, Iqbar berhasrat membawa produk kecantikan ini ke India. Ya! Bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan perancangan betul serta tahap kesabaran tinggi.
“Saya perlu mengukuhkan institusi kewangan Dnars Skincare kerana ia memerlukan margin yang besar. Dalam usaha ini, kualiti produk perlu dipertingkatkan dan Alhamdulillah selama berada dalam industri, produk Dnars Skincare tidak perlu diragui keberkesanannya. Saya ingin Dnars terus berada dalam kelas dan cara tersendiri untuk membezakan produk ini dengan yang lain.
Ads
Selain itu, saya sendiri perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu perniagaan yang cukup luas perspektifnya. Kalau di lihat melalui sosial media peribadi, saya suka membaca dan menulis tetapi bahan-bahan ilmiah yang saya peroleh itu belum mencukupi untuk membawa kita mencapai satu tahap kejayaan kerana saya percaya pengalaman hidup yang dilalui adalah antara kuasa penting dalam merealisasikan keputusan dan tindakan yang kita lakukan dalam hidup. Ilmu jalanan itulah yang bakal melengkapkan pakej diri kita sebagai seorang usahawan profesional. Saya perlu berusaha untuk buat yang terbaik, tiada istilah berputus asa atau melangkah separuh jalan. Paling penting, saya perlu fokus dengan perancangan dan apa yang saya ingin lakukan,” ujarnya dengan yakin bahawa pengalaman hidup tidak boleh di beli dengan duit. Itulah ilmu dan harta paling bernilai.
Bila jika di tanya tentang kepuasan peribadi yang diperoleh sejak menerajui empayar Dnars? “Kepuasan yang saya peroleh sekarang, apabila saya berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan, walaupun dalam susah atau penat tetapi semuanya akan hilang dengan rasa syukur dan senyuman bahagia bila semua telah terlaksana. Saya tidak nafikan, mungkin ada yang mempertikaikan tentang usia saya yang masih muda untuk meneruskan perjuangan empayar arwah ibu ini tetapi bagi saya usia itu hanya sekadar angka. Saya dibesarkan dalam suasana berniaga dan sejak dari dahulu lagi saya dilatih untuk bekerja untuk mendapatkan sesuatu. InsyaAllah bila saya pikul tanggungjawab sebesar ini, tiada masalah selagi saya punya usaha untuk mencapai apa yang saya inginkan.
“Kita tidak boleh berhenti apabila perjuangan dan usaha yang kita laksanakan itu belum sempurna. Selagi nyawa di kandung badan, selagi itulah kita perlu buat apa yang kita usahakan. Jika kita lihat, arwah ibu sendiri pergi meninggalkan dunia ini kala melaksanakan tugas-tugas perjuangannya. Untuk itu, tiada istilah berhenti dalam hidup saya, kecuali berehat,” bicara Iqbar sambil mengenang kembali saat arwah ibu menyuruhnya mengedarkan risalah selepas sekolah yang menjadi antara pengalaman hidup yang banyak mendewasakan dirinya. Semuanya itu punya hikmah dalam perjalanan hidupnya bersama arwah ibu dalam mempersiapkan dirinya menjadi seorang yang cekal sejak dari usia muda.
Ads
“Saya dan arwah pernah mengalami keadaan kereta di tarik tepi jalan, sewaktu ingin menghantar barang kepada pelanggan. Di bawah matahari terpacak di tengah dunia, kereta di tarik, gara-gara tidak mampu bayar. Oh! Kalau ingin diimbas kenangan sewaktu kecil bersama arwah ibu terlalu banyak untuk dikongsi. Mungkin saja air mata saya bisa tertumpah. Detik terakhir saya bersamanya, arwah banyak berpesan jangan tinggal solat dan jaga adik-berdaik bersatu sampai mati” ujar Iqbar sayu.
“Dua bulan sebelum arwah meninggal saya ada luahkan hasrat untuk bantu ibu dari segi pemasaran. Tetapi tidak sangka pula, arwah ibu minta saya untuk muncul siaran secara langsung di kaca televisyen. Saya tampil untuk mempromosikan produk Dnars dan penampilan ketika itu amat mengecewakan arwah ibu. Saya kena marah oleh arwah kerana kurang persediaan dari segi pengetahuan produk, bahasa tubuh yang tidak meyakinkan dan mata meliar sana sini. Sebenarnya semua itu adalah sebaik perancangan Allah. Arwah ibu terlebih dahulu mempersiapkan saya untuk perkara lebih besar selepas ini. Saya mengambil semua berlaku ini untuk memperbaiki kelemahan diri dan sentiasa buat yang terbaik,” tambah Iqbar mengenang kenangan bersama arwah ibu tercinta.
Siapa yang menjadi tulang belakang dan kekuatan Iqbar sekarang? “Papa adalah tulang belakang utama. Dia adalah sumber ilmu saya, jika ada perkara yang saya tidak tahu atau sulit berlaku, pastinya papa menjadi tempat untuk saya rujuk dan mendapat khidmat nasihat. InsyaAllah, papa akan bersama saya dan keluarga selamanya. Sebenarnya, selepas sahaja pengebumian arwah ibu, malam itu saya sudah fikir tentang tanggungjawab besar yang bakal saya pikul. Saya ada lapan orang beradik, satu perniagaan besar dan juga perniagaan sendiri, komitmen yang bertambah ini membuatkan saya fikir perlu ubah diri saya menjadi remaja yang lebih baik dari sebelum ini. Saya mengambil semua ini membuka ruang diri untuk belajar secara perlahan-lahan. Saya percaya ini adalah kurniaan dan dugaan Allah berikan saya untuk saya belajar jadi matang dari usia saya sebenarnya.”
Jelas, Iqbar antara inspirasi terbaik anak muda sekarang. Bermula dengan belajar tentang realiti kehidupan dan pengalaman, berniaga sendiri secara kecil-kecilan dan sehinggalah takdir-Nya, beliau perlu menguruskan empayar perniagaan keluarga. Iqbar mampu berdiri dengan tenang dan kukuh menghadapi cabaran dunia. Nasihat terbaik, Iqbar buat generasi muda yang baru berjinak dalam dunia perniagaan, “Bila kita berniaga, tidak semestinya dengan sekali sentuhan semuanya akan berjaya dan sukses. Jalan penceritaan setiap orang itu berbeza dan semuanya bergantung pada kekuatan diri kita sendiri. Jika kita jatuh sekali, mungkin beberapa kali, adakah kita akan bangkit dan bangun kembali! Atau kita terus berputus asa setelah jatuh. Bagi saya kita harus punya semangat yang kuat, disiplin dan fokus kepada sesuatu yang kita lakukan agar konsisten. Kita perlu bijak menguruskan masa secara profesional,” jelas Iqbar menutup bicara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perniagaan berasaskan kecantikan sememangnya menjanjikan pasaran meluas dan tidak hairanlah mengapa ramai pengasas kosmetik tempatan mampu meraih gelaran usahawan berjaya termasuk mencapai status jutawan. Menyedari betapa bidang kosmetik amat dekat di hati para wanita, Wan Nur Syuhada Bt Wan Norzie tidak teragak-agak menceburkan diri dalam perniagaan kosmetik dan tekstil sejak empat tahun yang lalu.
Memilih nama SoBella sebagai jenama kosmetik keluarannya, Wan Nur Syuhada boleh berbangga dengan produk yang dihasilkan di bawah jenama tersebut antaranya merangkumi kosmetik dan produk penjagaan diri buat wanita. Antara produk di bawah jenama SoBella termasuklah SoBella Honey Matte Liquid Lipstick, SoBella Fruit Liptint, SoBella Eyeshadow 2 minit, SoBella Wonderlove Blush, SoBella Honey Gold Serum dan SoBella Printed Scarf.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang empat tahun mengusahakan jenama SOBELLA COSMETICS, Wan Nur Syuhada yang lebih mesra dengan panggilan Syu berkata sejak jenamanya mula dikenali dan mempunyai ramai stokis,antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian khusus adalah untuk memastikan stokis di bawahnya mampu menjadi usahawan yang berjaya di bawah jenamanya.
“Alhamdulillah, sehingga kini, SoBella Squad mencecah 6000 orang dan menjadi seorang ketua kepada satu squad yang besar bukan perkara yang mudah. Saya mahu terapkan semangat kerjasama yang kukuh antara mereka supaya selari dengan motto team SoBella iaitu “Together we are stronger”. Jadi proses untuk menyatukan pasukan ini bukan mudah kerana mereka terdiri dari pelbagai latar belakang, berbeza cara pemikiran dan sebagainya. Dalam masa yang sama, saya turut bergiat aktif mengadakan sesi coaching bersama agen stokis dalam usaha memantapkan ilmu perniagaan mereka dalam menghadapi cabaran perniagaan yang lebih mencabar di tahun 2020,” ujar Syu penuh yakin dalam usaha melebarkan lagi sayap perniagaannya.
“Kesempitan hidup juga merupakan faktor pendorong untuk saya bergiat aktif dalam bidang perniagaan . Saya masih ingat saya dengan suami cuma menaiki motor saban hari untuk ke tempah kuliah dan tempat kerja. Keadaan kewangan yang tidak stabil membuatkan kami sentiasa merasa rendah diri dan ramai yang menjauh. Saya ambil segala ejekan dan kata-kata hinaan tersebut sebagai booster untuk saya maju melangkah ke hadapan tanpa mempedulikan mereka”.
Empat tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan banyak memberi motivasi untuk Syu berfikiran positif bagi memastikan empayar perniagannya mampu memberi daya saing apatah lagi terhadap saingan dunia kosmetik yang mempunyai pelbagai cabaran dan dugaannya. Pelbagai kenangan pahit dan manis telah ditempuh oleh wanita berusia 29 tahun ini.
“Antara kenangan pahit yang menjadi pengajaran buat diri saya ialah apabila saya pernah ditipu oleh kilang di mana saya terpaksa menanggung kerugian hampir RM 60 ribu ringgit. Jumlah tersebut agak besar bagi saya yang ketika itu baharu memulakan langkah dalam bidang perniagaan. Waktu tu kilang tersebut memberikan stok yang rosak di mana lipmatte yang dihasilkan sangat teruk kualitinya. Akibatnya ramai agen stokis mula angkat kaki. Dari 500 orang agen stokis ketika itu cuma 20 orang sahaja yang kekal dengan saya. Pelanggan juga hilang kepercayaan terhadap produk dan ini sekaligus membuatkan saya hampir berputus asa untuk meneruskan perniagaan.
Tetapi saya yakin cabaran sememangnya ada di dalam perniagaan dan ia menjadi pendorong untuk saya bangkit meneruskan perjuangan. Berbekalkan semangat yang diberikan oleh suami dan keluarga, kini saya boleh berbangga SoBella Squad sudah mencapai angka seramai 6000 orang,” ujar Syu ternyata berbangga dengan kepercayaan yang diberikan oleh SoBella Squad dibawahnya.
Melihat persaingan dalam bidang perniagaan yang semakin sengit, Syu sentiasa meletakkan jenama SOBELLA COSMETICS selangkah dari pesaing dan menjadi unik dengan cara tersendiri.
“Pada pandangan saya,setiap jenama mempunyai cara unik dan tersendiri. Saya tidak boleh terikut-ikut dengan cara jenama lain. SOBELLA COSMETICS harus kreatif dan memilih cara pemasaran tersendiri. Contohnya , SOBELLA COSMETICS merupakan jenama lokal yang pertama mengamalkan konsep edisi terhad dalam pengeluaran lipmatte.Tiga tahun lepas,belum ada lagi jenama lain yang mengamalkan konsep edisi terhad ini.Jadi, konsep tersebut akan membuatkan pelanggan merasa istimewa apabila memilikinya. SOBELLA COSMETICS juga amat menjaga kuantiti produk yang dikeluarkan dan mengamalkan konsep exclusivity brand .”
Tidak lengkap bercerita mengenai kejayaan seseorang usahawan kecantikan tanpa berkongsi momen indah yangtelah dikecapinya.Ternyata usia muda bukanlah halangan untuk Syu melengkapkan portfolio perniagaannya apabila berjaya menganjurkan satu majlis terbesar dalam sejarah syarikatnya iaitu Konvensyen Keusahawanan Wanita by SOBELLA COSMETICS pada penghujung tahun lalu.
“Alhamdulillah,konvensyen tersebut yang memakan kos sebanyak RM300 ribu itu berjaya mengumpulkan seramai 1500 orang usahawan wanita.Pengisiannya cukup padat dengan ilmu perniagaan dari empat orang pakar hebat dalam dunia perniagaan.Apa yang lebih membahagiakan saya apabila tahun lalu,saya berjaya menghasilkan lapan orang jutawan di bawah naungan SoBella.Kejayaan mereka adalah sesuatu yang amat membanggakan dan sekaligus saya menanam azam dan impian untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya tahun ini. Rezeki yang dikongsi bersama adalah lebih bermakna,” ujar Syu yang amat merendah diri.
Selain itu, permulaan tahun baharu 2020 menyaksikan SOBELLA COSMETICS menerima pengiktirafan sebagai salah satu jenama kosmetik lokal terbaik di NONA TOP BEAUTY ENTERPRENUER anjuran majalah NONA terbitan Nu Ideaktiv Sdn Bhd. Satu majlis hi tea telah diadakan untuk menghargai pelapis baharu industri kosmetik tempatan yang mencipta nama dalam bidang kosmetik serta mempunyai misi dan visi yang besar untuk membawa jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Syabas SOBELLA COSMETICS!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebut sahaja kosmetik, sudah tentu pelbagai jenama ksometik tempatan mahupun antarabangsa mula berlegar di benak fikiran. Mana tidaknya, produk kosmetik menjadi sebahagian gaya hidup wanita untuk kekal jelita demi untuk penampilan diri sekaligus membangkitkan aura seseorang wanita. Tidak hairanlah mengapa semakin ramai usahawan menceburkan diri dalam bidang kosmetik memandangkan ia mendapat sambutan hangat di kalangan wanita.
Antara jenama kosmetik yang semakin mendapat tempat di hati pengguna termasuklah Skindara Global di bawah jenama Skindara yang diasaskan oleh Iskandar Abdillah Suffian dan isteri tersayang, Nur Hidayu Zorkafli. Walaupun jenama Skindara baharu ditubuhkan kurang setahun yang lalu, namun ia semakin mencuri tumpuan pengguna kosmetik yang mementingkan jenama tempatan yang membawakan produk berkualiti setaraf antarabangsa.
Ketika ditanya di sebalik jenama Skindara, ia sebenarnya mempunyai kisah menarik di sebalik terbitnya jenama yang dekat di hati masyarakat Melayu.
“Skindara telah ditubuhkan lebih kurang setahun yang lalu. Tetapi kami suami isteri tidak terlalu fokus terhadap perniagaan ini kerana mempunyai perniagaan lain iaitu fesyen dan tekstil,” ujar Iskandar mewakili jenama Skindara.
Iskandar dan Nur Hidayu merupakan pengasas jenama fesyen terkemuka Shawlpublika dan Sp.casual. Namun begitu, pasangan suami isteri ini kami kembali aktif beberapa bulan lepas dengan mengeluarkan lipmatte pertama Skindara. Mereka juga tidak menyangka lipmatte yang dikeluarkan di bawah jenama Skindara mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Alhamdullilah sambutan yang kami terima terhadap produk lipmatte ini amat menggalakkan. Lipmatte dan wanita sememangnya berpisah tiada. Pasti setiap hari masa ada sahaja wanita yang hendak mendapatkan lipmatte baharu dan mencuba lipmatte baharu,” ujar Iskandar yang turut berkongsi strategi pemasaran turut memainkan peranan penting dalam menguruskan perniagaan.
“Antara perkara yang amat kami titikberatkan dalam perniagaan adalah membuat kajian tentang tabiat pengguna. Alhamdulillah setelah kami membuat market survey dan market research, kami dapati permintaan terhadap produk ini amat tinggi. Itu adalah antara sebab utama kami mengambil keputusan menceburkan diri dalam satu lagi cabang perniagaan berasaskan kosmetik dan menghasilkan lipmatte,” ujar Iskandar lagi.
Tidak lengkap perjuangan seorang ahli perniagaan tanpa berhadapan dengan cabaran untuk memajukan lagi jenama yang diperkenalkannya. Walaupun Shawalpublika sudah mempunyai followers yang ramai dan tidak sukar untuk memperkenalkan jenama baharu untuk para pengikut setianya, namun bagi Iskandar dan Nur Hidayu atau lebih mesra disapa Ayu berkata cabaran dalam perniagaan kosmetik dan tekstil mempunyai cabaran tersendiri dan ia perlu ditangani dengan bijak dan professional agar setiap cabaran mampu diatasi sebaik mungkin.
“Antara cabaran yang dihadapi ialah dari segi kelewatan supply dari pembekal memandangkan permintaan terhadap produk ini begitu baik wlaupun baharu sahaja diperkenalkan di pasaran. Ia merupakan sesuatu yang diluar jangkaan kami apabila produk tersebut mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pengguna lipmatte,” ujar Ayu yang menggunakan pendekatan lokal untuk memperkenalkan jenamanya.
Tambah Ayu lagi, terdapat beberapa faktor mempengaruhi penjualan mendadak produk lipmatte Skindara antaranya termasuklah penggunaan nama untuk setiap jenis lipmatte yang dihasilkan.
“Skindara lipmatte sangat berbeza dengan produk lain yang berada di pasaran kerana lipmatte kami sangat ringan, tidak melekat, mempunyai efek pemakaian yang tahan lama dan tidak mudah merekah di bibir selepas penggunaannya. Selain itu, lipmatte Skindara jugak tidak menghitamkan bibir seperti sesetengah lipmatte yang lain kerana kandungan minyak chamomile dan vitamin E yang membantu melembabkan kulit.
Lebih istimewa, kami memperkenalkan nama-nama yang unik untuk setiap lipmatte antaranya Along, Angah, Achik dan sebagainya. Nama-nama ini lebih dekat di hati masyarakat Malaysia untuk dikomersilkan ke peringkat antarabangsa,” ujar Ayu lagi.
Ayu turut berkongsi kisah lucu disebalik munculnya nama Skindara yang pada pandangan penulis mencuit hati dan amat dekat di hati pasangan suami isteri ini.
‘Ramai yang bertanyakan dari mana inspirasi nama Skindara itu. Sebenarnya nama itu diambil sempena nama suami iaitu “Iskandar” dan sedikit penambahan melengkapkan nama jenama ini,” ujar Ayu yang ternyata gembira dengan perkembangan perniagaan lip matte itu.
Perniagaan yang diasaskan oleh pasangan suami isteri ini juga menggunakan mottoMan Jadda Wa Jadda yang membawa maksud sesiapa yang berusaha pasti berjaya sekaligus melambangkan usaha tanpa mengenal jemu pasangan ini untuk mengembangkan lagi sayap perniagaan yang diusahakan oleh mereka. Walaupun mengetahui bahawa sejak kebelakangan ini sudah ramai di kalangan usahawan dan golongan selebriti yang menceburkan dalam bidang perniagaan, Iskandar secara jujurnya mempunyai pandangannya tersendiri.
Menjadi salah satu jenama kosmetik tempatan yang menerima anugerah NONA TOP BEAUTY ENTERPRENUER baru-baru merupakan satu permulaan terbaik buat jenama Skindara mengorak langkah memeriahkan lagi industri kosmetik tempatan.
“Secara jujurnya, sesuatu produk itu tidak mampu berdiri hanya kerana pengasasnya semata-mata tetapi kerana kualiti produk yang dihasilkan serta sistem pemasaran yangg proaktif. Saya yakin rezeki Allah amat luas di muka bumi ini dan usaha adalah kunci utama untuk mengecapi kejayaan. Saya yakin, satu hari nanti jenama Skindara bukan sahaja mampu menguasai pasaran Malaysia tetapi mampu menembusi pasaran luar negara dan diterima oleh semua lapisan masyarakat. Saya ingin menjadikan jenama skindara sebagai household name di Malaysia,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seperti bayi yang belajar berjalan, begitulah tawakal seorang usahawan dalam menstabilkan bisnes yang dijalankan. Dari merangkak mencari tapak, kemudian belajar berdiri dan bertatih memasarkan jualan, proses jatuh bangun itu berkembang sebagai latihan yang normal. Fasa inilah yang mematangkan Pengasas Kayman Beauty, Fatin Nabila Binti Khairul Anuar hingga produk yang diusahakannya menempa nama dalam industri.
Bermula dengan keuntungan berniaga kecil-kecilan, wang modal yang dikumpul oleh Fatin Nabila atau Belle, dilaburkan untuk membina empayar perniagaan yang diimpikan. “Saya mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ketika berusia 23 tahun. Akhirnya pada tahun 2017 dan bermodalkan RM15,000 hasil perniagaan baju, kasut, dan bag secara dropship agent, saya menubuhkan perniagaan sendiri yang diberi nama Kayman Beauty.
Usaha saya banyak dibantu oleh ahli keluarga terdekat termasuk nenek. Paling sukar dilupakan, saya pernah membuat business proposal dan disuruh membentangkannya di depan nenek semata-mata bagi mendapatkan pinjaman pada ketika itu untuk memulakan perniagaan. Dengan modal tersebut juga saya jalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk pertama saya iaitu CoalFace Soap dan Alhamdulillah sampai sekarang masih mendapat sambutan hangat,” tutur Bella memulakan bicara.
Sepanjang dua tahun di pasaran, Kayman Beauty telah memasarkan empat produk iaitu Coalface Soap, CoalFace Cleanser, Rosa Glow Treatment Essence dan terbaharu, Skintella Repairing Serum. “CoalFace Soap adalah sabun pencuci muka yang diformulasikan daripada arang dan madu. Manakala CoalFace Cleanser pula menggunakan formula yang lebih lembut untuk menangani kulit kering dan sensitif.
Rosa Glow Treatment Essence pula adalah esen pencerahan yang difokuskan kepada pengguna yang mempunyai masalah parut jerawat dan kulit kusam. Manakala Skintella Repairing Serum yang baru memasuki pasaran sekitar Jun tahun lalu, mengambil masa selama lebih satu tahun untuk dihasilkan. Ia berasaskan bahan centella dan bifida ferment filtrate, sesuai untuk memperbaiki kulit yang rosak akibat jerawat.”
Jelas wanita berusia 27 tahun ini lagi, sepanjang menjalankan perniagaan ada banyak dugaan dan halangan yang ditempuh sebelum melakar kejayaan. Namun, Belle menganggap setiap cabaran yang mendatang sebagai kenangan manis jika ia dilalui dengan penuh kesabaran.
“Tidak dinafikan, setiap perniagaan ada cabarannya. Bukan senang nak dapatkan kepercayaan masyarakat tentang kualiti produk keluaran Kayman Beauty, jadi itulah cabaran utama kami. Tapi saya yakin sebagai produk keluaran tempatan, Kayman Beauty juga boleh berdiri setanding dengan produk antarabangsa kerana selaku pengasas produk, saya hanya mahu yang terbaik. Tahun 2020 ini saya merancang untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti tinggi dan menembusi pasaran antarabangsa,” terangnya bersungguh-sungguh.
Biarpun menggalas tugas sebagai usahawan dan isteri dalam satu masa, itu tidak sesekali membuatkan Belle mengabaikan tanggungjawab hakiki. Malah, wanita yang memiliki senyuman manis ini menjadikan keluarga sebagai pendorong utama di sebalik kejayaan yang dikecapinya.Menjadikan dua usahawan wanita yang merupakan Pengasas Glow Recipe iaitu Sarah Lee dan Christine Chang sebagai sumber inspirasi dalam dunia perniagaan dan kecantikan, tidak hairanlah jika Belle mampu membuktikan produk keluarannya boleh diterima baik oleh masyarakat.
“Pengetahuan mereka tentang dunia kecantikan yang sangat terperinci membuatkan semangat saya semakin membuak-buak untuk belajar lebih mendalam lagi tentang sains kecantikan terutamanya dari segi penjagaan kulit wajah, sesuai dengan usaha Kayman Beauty untuk membantu pengguna fokus kepada kesihatan kulit wajah mereka. Tak cukup dengan itu, kegigihan mereka dalam mendidik masyarakat tentang penjagaan kulit wajah dan pada waktu yang sama membina jenama sendiri sentiasa membuatkan saya kagum.”
Ketika diajukan pertanyaan apa lagi impian yang belum tercapai sepanjang bergelar usahawan, Belle menjawab, “Menjadi impian saya untuk melihat Kayman Beauty menembusi pasaran antarabangsa dan dapat berdiri setanding dengan produk-produk jenama antarabangsa di pasaran sekarang.
Selain itu, saya juga ingin menubuhkan persatuan yang mengumpulkan semua usahawan wanita baru di bawah satu bumbung untuk berkongsi permasalahan dan pengalaman masing-masing dalam dunia perniagaan. Kita tahu usahawan muda yang baru ingin bermula agak clueless dengan dunia perniagaan dan diharapkan dengan wujudnya persatuan ini, sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang baru ingin bertapak dalam dunia perniagaan,” jawabnya penuh harapan.
Sebelum mengakhiri perbualan, Belle sempat menyatakan syukur ke atas penghargaan yang diterima oleh Kayman Beauty. “Alhamdulillah, terima kasih Majalah Nona kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima Anugerah Nona Top Beauty Entrepreneur. Saya teruja kerana masyarakat mula sedar potensi yang ada pada Kayman Beauty dan diri saya sendiri walaupun masih setahun jagung menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Pengiktirafan ini juga membuatkan saya lebih bersemangat dan berazam meningkatkan lagi usaha untuk terus memajukan diri dalam perniagaan. Selain itu, saya juga berharap jenama Kayman Beauty dapat memberi banyak manfaat kepada pengguna pada masa akan datang,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...