Cerita mengenai anak kedua Khairy Jamaluddin dan Nori Abdullah yang menghidap autism bukan lagi rahsia. Baik Khairy mahupun isteri, kedua-duanya cukup terbuka dan enggan berselindung tentang keadaan sebenar anak istimewa mereka, Timor Abdullah Jamaluddin. Timor atau mesra dengan gelaran ‘Puma’ oleh Khairy… disahkan menghidap autism ketika dia baru mencecah usia tiga tahun.
Bertemu ibu berjiwa cekal ini dalam majlis pelancaran program Therapy Through Play (TTP) di gimnasium khas untuk kanak-kanak autism We Rock The Spectrum (WRTS) Damansara, Nori dengan nada tenang menjelaskan kehadiran Timor membuatkan mereka sekeluarga lebih matang menjalani kehidupan. Katanya, dugaan terbesar yang harus ditempuhi apabila dikurniakan anak autism ialah penerimaan.
“Macam-macam cabaran sebenarnya tapi yang paling utama ialah penerimaan. Penerimaan untuk kita faham keadaan dia, untuk kita tetap yakin yang dia juga mempunyai potensi dan untuk lebih memahami keadaan anak-anak kita. Itu antara first step. Timor didiagnosis autism secara rasmi ketika umur tiga tahun.
Jujurnya, ia bukan satu masalah besar kerana sebelum ini pun dalam keluarga kami dah ada anak istimewa. Jadi tak susah untuk faham dan terima bahawa Timor anak istimewa. Cuma sebagai ibu bapa kami perlu membuat sesuatu dan salah satu pendekatan yang kami ambil adalah melalui intervensi awal dan terapi.
Tiga anak kesayangan Nori & Khairy. Dari kiri, Raif, Timor & Jibreil
Memang ambil masa sedikit untuk betul-betul faham dan terima hakikat bahawa inilah keadaan dia. Mungkin masalah yang dia alami ini akan berlanjutan sampai dia dewasa atau sampai bila-bila. Walau macam mana pun, kita kena ada rasa yakin yang dia mempunyai potensi diri.
Sebab itulah ibu bapa kena pentingkan terapi dan intervensi awal yang saya percaya mampu mengubah sikap dan pemikiran anak-anak ini ke arah lebih positif. Sebagai seorang ibu, saya mahu usahakan sebanyak mungkin untuk Timor juga anak-anak autism lain yang perlukan terapi,” ujar Nori yang merupakan anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ads
Jelas Nori lagi, keadaan akan jadi kritikal sekiranya kanak-kanak terlibat tidak diberi bantuan terapi atau rawatan selanjutnya. Sebagai contoh, mereka mungkin tidak dapat pergi ke sekolah atau tidak dapat melakukan aktiviti harian bersama adik-beradik atau ahli keluarga yang lain.
“Bila Timor meltdown, saya dan suami kena pastikan kami yang bersedia dulu. Kalau dia meltdown kami tak boleh terpengaruh sama. Tapi, iyalah kadang-kadang dia meltdown, kita pun boleh terikut sama. Sebaik-baiknya dalam keadaan dia dah terlalu sedih atau mengamuk atau dah tak tahan dengan rangsangan berlebihan ke… kita yang perlu tenang untuk beri dia masa tenteramkan diri dia sendiri atau dalam kata lain, meluahkan perasaan dia dalam keadaan yang selamat.
Jadi kalau dia jenis meronta atau susah nak duduk diam… tangan kaki bergerak-gerak, susah nak kawal, kita pastikan dia ada ruang yang selamat dan kita pun tak nak ada barang pecah dan sebagainya. Kita kena berikan dia masa. Ini bukan anak yang saja mengada-ngada nak mengamuk. Dia memang tak dapat nak mengawal dan perkembangan rangsangan dia kadang-kadang berlebihan.”
Yang pasti, autism melibatkan banyak jenis dan bukan tertumpu kepada satu masalah saja. Ada kanak-kanak yang boleh ditenangkan dengan muzik, gajet, alat mainan dan bermacam-macam lagi. Berbeza pula bagi Timor. Menurut Nori, salah satu cara untuk dia meredakan keadaan Timor adalah dengan memberikan anak kesayangannya itu segelas air.
Ads
“Kalau anak saya, saya akan berikan air. Ingatkan dia untuk minum, bagi dia slow down breathing supaya dia akan tenang. Bergantung kepada ibu bapa itu sendiri macam mana hendak menenangkan anak. Paling penting kita latih diri kita untuk tenang bila keadaan anak kita meltdown.”
Ditanya apa reaksi pertama beliau dan suami apabila anak mereka disahkan menghidap autism, Nori bagaimanapun mengakui terkejut dengan perkara tersebut. “Perasaan malu tu tak ada sebab dalam keluarga kami memang dah ada anak istimewa. Cuma terkejut sebab saya pasti mana-mana ibu bapa pun tak duga yang anak mereka akan ada kelainan.
Alhamdulillah, dari dulu sampai sekarang kami dalam ‘action mode’. Maksudnya, kami akan segera fikir apa langkah seterusnya, cari therapist, cari sekolah yang sesuai untuk Timor dan macam-macam lagi. Itu antara first mode kami.
Ads
Ibu bapa kena ambil masa juga untuk menerima dan betul-betul faham keadaan ini serta apa impaknya kepada keluarga. Impak ni macam-macam… dari segi emosi, rutin harian, termasuk juga kewangan. Macam saya sendiri, saya terapkan kepada anak-anak lain. Jibreil kini 13 tahun manakala Raif pula 5 tahun. Kedua-duanya pun saya terangkan keadaan sebenar Timor supaya mereka faham.
Saya selalu ingatkan mereka yang walau macam mana sekalipun dia tetap abang atau adik dan ahli keluarga kita. Kami suami isteri turut saling mengingatkan bahawa Timor tetap anak kami. Itu tak akan berubah dan seperti mana kami beri sokongan dan kasih sayang kepada Jibreil dan Raif, macam itu jugalah kami beri kepada Timor. Memang perlu tunjuk kesedaran itu bermula dengan keluarga kita sendiri.
Sejak kecil lagi Jibreil sudah didedahkan dengan keadaan adiknya dan kalau apa-apa berlaku, dia antara yang pertama yang akan pertahankan adik dia. Waktu mengandungkan Raif mula-mula dulu pun kami sekeluarga sudah mula buat persediaan untuk Timor melalui social stories. Kami sediakan social stories ini untuk Timor, agar dia lebih bersedia dan memahami sesuatu perkara melalui gambar dan teks yang mudah. Jadi kami terangkan yang dia bakal ada adik dan tidak terkejut.
Bagi anak-anak autism, mereka agak susah untuk terima pengalaman baru atau perkara yang di luar daripada rutin harian mereka. Sebab itu kami cuba sampaikan perkara baru kepada Timor melalui social stories memandangkan dia boleh membaca.
Mungkin bagi kanak-kanak yang tak mampu membaca lagi, kita boleh bagi visual saja. Tidak kisahlah melalui telefon ke, iPad atau apa-apa pun. Ikut kreativiti ibu bapa itu sendiri. Ini adalah antara tip yang boleh dipraktikkan kepada anak-anak autism yang masih kurang faham tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka,” telus Nori yang tidak pernah lelah mengasuh Timor berusia 12 tahun.
Nori dan Khairy mendirikan rumah tangga sejak tahun 2001 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jibreil Ali, Timor Abdullah dan Raif Leo Averroes.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kagum melihat gaya hidup puteri diraja Thailand, Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya. Biarpun berstatus puteri diraja namun personaliti beliau yang cantik, merendah diri dan berbakat membuatkan dirinya disenangi ramai. Apatah lagi Puteri Sirivannavari sering mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai kejayaan membanggakan.
Meniti usia 33 tahun pada 8 Januari lalu, tidak keterlaluan jika penulis menyatakan bahawa Puteri Sirivannavari seorang yang bergaya sederhana dalam penampilan. Ini dibuktikan apabila kebanyakan foto-foto beliau memperlihatkan sisi santai apabila gambarnya dirakam ketika mengenakan persalinan ringkas seperti T-shirt dan berwajah polos tanpa solekan.
Malah, rata-rata rakyat Thailand yang melihat gambar Puteri Sirivannavari mengagumi wajah anggun semula jadi anakanda Raja Maha Vajiralongkorn tersebut.
Berkongsi aktiviti pada April lalu ketika Thailand turut dilanda pandemik Covid-19, Puteri Sirivannavari tanpa berselindung mempamer kehidupan peribadi kepada khalayak. Selain menunjukkan bakat memasak dan berkongsi resipi hidangan Thailand di media sosial, beliau turut berkongsi persekitaran kebun sayur di kediamannya. Memang besar, luas dan subur kebun sayur puteri ini. Macam-macam tanaman sayur dan herba ada pula tu!
Seronok tengok beliau petik hasil tanaman antaranya tomato ceri, daun pandan, kacang bendi, cili, terung, rosemary, daun selasih dan sebagainya.
Di samping persekitaran kebun sayur yang tersusun cantik dan menarik perhatian, penampilan Puteri Sirivannavari tanpa mekap, memakai T-Shirt, berseluar jeans dan hanya berselipar pastinya menjadi tumpuan utama rakyat. Ramai dalam kalangan mereka mengagumi cara Puteri Sirivannavari dan menyifatkan ia sisi berbeza puteri diraja Thailand
tersebut kerana sebelum ini beliau sering dilihat bergaya mewah dan anggun di majlis-majlis rasmi.
Enggan hanya menikmati gaya hidup selesa dan mewah di istana, puteri kesayangan Negara Gajah Putih berkenaan lebih selesa mendekati rakyat dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain yang bebas bersukan, berkarya dan berbakti kepada negara. Menelusuri latar belakang puteri bertubuh tinggi lampai ini, beliau merupakan puteri hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand.
Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX. Namun, terdapat desas-desus yang mengatakan perkahwinan tersebut tidak direstui bonda Raja Maha Vajiralongkorn iaitu Permaisuri Sirikit.
Bagaimana pun jodoh di antara Raja Maha Vajiralongkorn dan bekas anak seni berkenaan tidak berpanjangan yang akhirnya membawa kepada penceraian kerana Sujarinee dituduh curang. Ia sekaligus menyebabkan Sujarinee dilucutkan status diraja.
Pun begitu, Puteri Sirivannavari kekal berstatus puteri dan ternyata beliau disayangi ayahandanya yang kini menaiki takhta pemerintahan Thailand. Anak perempuan Sujarinee ini tidak hanya menjadi buruan media tempatan dan antarabangsa bahkan beliau turut disayangi rakyat jelata yang ‘dahagakan’ perkembangan semasa beliau. Percaya atau tidak, Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005!
Bukan hanya sukan badminton, beliau juga mewakili Thailand dalam sukan berkuda dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 yang lalu. Selain kemampuan bersukan, beliau turut memiliki bakat melukis dan merupakan aktivis hidupan laut serta pemilik label fesyen Sirivannavari.
Pada pertengahan April lalu, Puteri Sirivannavari melancarkan produk hand sanitizer dan mask jenamanya sendiri untuk diagihkan kepada hospital kerajaan terlibat dalam usaha memerangi wabak Covid-19. Melihat kredibiliti, bakat dan pesona Puteri Sirivannavari… terbukti beliau sememangnya seorang puteri berjiwa rakyat, penyayang dan sumber inspirasi wanita Thailand!
Wanita yang bernama Dato’ Sri Vida ini memang tidak pernah sepi dengan viral. Siapa yang belum tengok lagi video rayanya yang penuh meriah? Rugi kalau belum tengok. Video raya yang mendapat sambutan ramai itu sehingga ramai selebriti yang mengikut step tariannya. Namun, di sebalik wajah cerianya tersimpan suatu kisah duka ketika zaman kecilnya dahulu.
“Kenangan menyambut hari raya ketika zaman kanak-kanak merupakan nostalgia yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Nostalgia ini membesar bersama-sama untuk dikenang. Kehidupan saya waktu kecil dahulu membesar dalam keluarga yang susah. Istilah memiliki sepasang baju raya ketika itu sangat besar maknanya.
Namun, saya bukan seorang kanak-kanak biasa yang akan menangis teresak-esak kerana tidak memiliki sepasang baju baru yang digelar baju raya. Saya tahu tak ada duit tak beli baju raya jadi, saya berniaga kacang putih pada bulan puasa untuk beli sepasang baju. Sampai sekarang saya ingat tiap kali nak beli baju raya. Kenangan yang tak akan saya lupa apabila mengimbau waktu saya susah dulu.
Kehidupan manusia tidak akan berubah andai kita sendiri yang tidak mengubahnya. Saya berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dan tidak mahu anak-anak saya mencipta pengalaman seperti saya dahulu. Kini, biasanya saya tak ada banyak baju raya sebab saya hanya menyambut raya hanya dua atau tiga hari sahaja, selepas itu saya akan terus bekerja. Insyaallah tahun ini saya memperuntukkan baju raya hanya 5 pasang sahaja.
Seperti keluarga yang lain keluarga saya juga mempraktikkan pakaian sedondon setiap kali tiba pagi Syawal. Kami akan menetapkan satu warna dan semua orang akan menempah atau membeli baju mengikut tema yang telah ditetapkan. Semua sedara mara saya akan sedondon di pagi raya. Anak dara saya yang seorang itu pun akan pakai baju kurung walaupun hari-hari biasa dia tak suka pakai baju kurung,” kata Dato’ Sri Vida yang terkenal dengan baju kurung moden potongan peplum ini sambil menyakat Cik B.
Kebahagiaan yang terindah menyambut Aidilfitri sudah tentu ketika dikelilingi dengan keluarga yang tercinta. “Bagi saya hari lebaran adalah masa yang berharga untuk diluangkan bersama keluarga. Meniti kehidupan bernama Dato’ Sri Vida membuatkan saya terpaksa berkorban masa dengan keluarga terutama anak-anak. Saya jarang ada masa diluangkan untuk bersama mereka. Jadi kehadiran Syawal ini saya kaut sepenuhnya untuk bersama insan-insan tersayang dalam keluarga.
Tradisi Aidilfitri keluarga kami tidak banyak berbeza dengan keluarga yang lain. Setiap kali tibanya pagi Syawal kami sekeluarga akan bersalam-salaman dan memohon ampun dan maaf seandainya andai ketelanjuran kata sehingga menggores hati yang tidak disengajakan. Kanak-kanak sudah pasti orang yang paling gembira ketika di pagi raya untuk menerima duit raya. Memang seronok melihat anak-anak saudara datang berkunjung dan beratur ramai-ramai menanti giliran menerima duit raya.
Hari raya tidak akan sempurna tanpa menikmati juadah raya yang begitu istimewa. Menu Aidilfitri yang paling digemari dan wajib dibuat tiap-tiap tahun sudah pasti ketupat dan sambal ikan bilis. Dua menu ini merupakan juadah wajib buat kami sekeluarga. Biasanya keluarga kakak dan adik saya akan datang menyambut Syawal bersama-sama di kediaman ini. Suasana riuh apabila berkumpul beramai-ramai memang mencipta suasana,” ungkap Dato’ Sri Vida sambil membetulkan selendang yang jatuh di atas bahu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apa kata anda cuba amalkan diet telur rebus seperti yang disarankan wanita ini yang dikenali sebagai Emy Mellisa ini. Jangan lupa, cuba sekali Salmon Masak Cili Padi versi Emy Mellisa yang dikongsi di hujung arikel ini.
Seronok melihat perkongsian Emy Mellisa Mohd Kasim di Instagram miliknya. Penuh dengan gambar pelbagai jenis menu termasuklah olahan menu sihat untuk diet telur rebus yang diamalkan. Bagi memudahkan para pengikutnya, Emy Mellisa meletakkan #eggdietemymellisabdk sebagai rujukan.
Diet jenis ini sememangnya menjadi trend masakini untuk memiliki berat ideal. Ternyata, Emy Mellisa berjaya mencapai berat idealnya berkat amalan yang konsisten.
Antara menu-menu sihat yang diolah Datin Emy Mellisa.
“Saya memang jenis yang kurus sejak kanak-kanak sampailah ke zaman kampus. Namun semasa umur 25-26 tahun saya tak sedar berat badan naik mendadak. Lalu saya nekad untuk berhenti kerja dengan niat nak turunkan berat badan dan sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.
Saya google macam-macam jenis diet. Akhirnya saya tertarik dengan diet Atkins lalu mencubanya. Dari berat 75kg, saya berjaya dapatkan berat 57kg. Tapi semasa dalam fasa maintain tu pernah jugalah tersasar sedikit. Berat saya naik ke 62kg!
Lepas berkahwin, saya ada melakukan minor surgery. Disebabkan itu berat saya kembali naik sampai 68kg. Saya cuba untuk diet semula. Saya terbaca kisah viral Amylia AF yang kembali kurus dengan hanya mengamalkan diet telur tanpa ke gim. Saya terus google berkaitan diet telur.
Walaupun saya bukanlah penggemar telur rebus tapi saya nekad juga demi kurus. Kini telur rebus menjadi signature food saya setiap hari. Saya berjaya mencapai berat ideal semasa zaman sekolah menengah. Dari 68kg saya berjaya mendapat 52kg dalam masa tiga bulan setengah.
Emy Mellisa sebelum capai berat badan ideal.Gambar terkini Emy Mellisa yang semakin langsing dan cantik!
Saya idamkan untuk capai berat 48-49kg walaupun sebenarnya dengan berat sekarang dah cukup ideal dengan ketinggian saya iaitu 160cm. Empat bahan yang mesti ada dalam diet ini ialah telur rebus, epal hijau, kacang kuda dan teh hijau. Bila berlaku penurunan berat yang banyak, saya mula mempelbagaikan makanan sihat lain dalam menu harian.”
PERNAH DIPANDANG SINIS
“Semasa bujang ada yang cakap badan saya macam perempuan yang dah kahwin anak lima. Bentuk badan saya dipertikaikan. Lepas berkahwin pula, ada yang menegur badan saya lebih berisi tak macam sebelum berkahwin.
Sokongan suami membuatkan saya lebih konsisten semasa berdiet. Suami tahu saya tak suka telur rebus tapi setiap pagi suami masakkan telur rebus. Rupa bentuknya sangat cantik sehinggakan saya tiba-tiba boleh sukakan telur rebus.
Ramai juga followers di Instagram yang turut mencuba cara diet saya. Kebanyakannya mengucapkan terima kasih kepada saya kerana berkongsi tentang diet telur.
Kebanyakan menu sihat yang saya sediakan adalah daripada imaginasi sendiri. Saya tak merujuk mana-mana buku walaupun di rumah ada banyak buku resipi. Kadang-kadang apa yang saya makan di luar, saya akan olah menjadi versi yang lebih sihat. Resipi rakan-rakan di Instagram juga menjadi rujukan saya.
Menu sihat kegemaran saya ialah salad yang ditambah protein. Saya amalkan sayuran hijau dan ulaman untuk awet muda. Saya juga gemar ke gim 4-5 hari dalam seminggu dan meluangkan masa sejam setengah ke dua jam untuk senaman kardio dan strength training.”
NASIHAT BUAT YANG SEDANG BERDIET
“Buat wanita-wanita yang sedang berdiet, untuk kawal nafsu makan anda haruslah bijak membezakan rasa lapar atau nafsu. Kawal stres kerana ia membuatkan kita sentiasa rasa nak makan. Kurangkan minuman manis, gantikan dengan air kosong.
Berhenti membandingkan makanan kita dengan orang lain, tak perlu fikir makanan yang terlalu fancy kerana makanan biasa pun mampu membuatkan kita kurus dan kekal sihat. Paling penting jangan jadikan makanan ringan sebagai stok di rumah sebab potensi untuk ‘termakan’ tu sangat tinggi.”
Emy Mellisa berusia 38 tahun dan merupakan suri rumahtangga sepenuh masa. Dia berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap dari UTM Skudai.
SALMON MASAK LEMAK CILI PADI VERSI EMY MELLISA
Bahan-bahan:
Kepingan isi ikan salmon
1 kotak kecil santan
Cili padi (dikisar/ditumbuk kering)
Kunyit (dikisar/ditumbuk kering)
Garam secukup rasa
Asam keping
Sedikit air
Daun selasih
Hirisan daun kunyit
Cara Membuat:
Masukkan santan ke dalam periuk diikuti bahan yang dikisar atau ditumbuk kering. Tambahkan air dan hirisan daun kunyit. Biarkan mendidih seketika, masukkan kepingan isi salmon. Tambahkan garam, asam keping dan daun selasih. Kacau sebentar kemudian angkat.
Kredit Foto: Instagram Emy Mellisa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terinspirasi dengan kesungguhan Hazlin Hussain dalam menimba ilmu dan berusaha menjadi hambaNya yang lebih baik. Nama wanita serba boleh ini dikenali ramai selepas dia menyertai pencarian bakat ‘Gadis Melayu’ Musim Kedua pada tahun 2009 dan kemudian ...